Difitnah Bekas Kekasih

Nama aku Lara. Berumur 41 tahun. Ibu tunggal anak 2. Aku merupakan HR manager di sebuah syarikat di Shah Alam. Dah menjanda selama 8 tahun.

Setahun selepas bercerai aku berkenalan dengan seorang lelaki bujang melalui dating apps.

Aku namakan dia Man. Dia berasal dari kulim tapi bekerja di ipoh, pegawai kerajaan. Kami bercinta melalui telefon kerana faktor jarak dan masa.

Kami jarang berjumpa kerana aku yang sibuk dengan kerja dan anak anak. Selama 2 tahun bercinta kami jumpa hanya 3 kali, sekali semasa aku kursus di ipoh, 2 kali semasa dia ada mesyuarat di putrajaya, itu pun setakat makan makan dan bual borak.

Pada suatu hari dalam tahun 2019 tiba tiba aku dihubungi oleh seorang perempuan, namanya Az yang memperkenalkan dirinya sebagai tunang Man.

Az bercakap dengan baik dan sopan minta aku jangan hubungi Man lagi.

Mula mula aku tak percaya sebab masa awal awal kenal berkali kali aku tanya Man statusnya dia kata dia single, aku dah tegaskan kepada Man aku tak akan teruskan hubungan kalau dia ni tunang atau suami orang,

Man bermati mati bersumpah bahawa dia masih single. Rupa rupanya menurut Az mereka bertunang 4 bulan yang lepas.

Jadi aku katakan bukan salah aku yang kacau perhubungan dia dengan Man. Dia yang patut berundur. Namun lain pula cerita Az. Katanya Man yang tackle dia dulu,

Az ni seorang guru sekolah menengah. Dia berkawan dengan adik Man yang juga guru di sekolah yang sama di Ipoh. Oh ya, Man menyewa rumah dengan adiknya di Ipoh.

Man selalu kirim salam dan hadiah untuk Az, hampir 3 bulan dia usaha pikat Az sehingga terbuka hati nya untuk terima Man.

So, selama ini 7 bulan Man berhubungan dengan aku, berjanji bulan bintang bagai rupanya dalam masa yang sama dalam hatinya dah ada Az.

Aku pun cerita pada Az macam mana aku kenal Man dan perjalanan percintaan kami, tapi Az kata aku banyak menipu, apa yang aku cerita tak selari dengan cerita Man.

Man bagitau Az aku yang tergila gilakan dia, dia dah beberapa kali cuba putuskan dengan aku tapi aku ugut dia nak bunuh diri, aku sanggup turun Ipoh tinggal anak anak aku sendirian di rumah semata mata nak jumpa dia,

Aku sanggup sewa hotel untuk ajak dia bermesra kerana dah lama menjanda. Sebab tu dia tak mahu kat aku kerana aku ni janda murahan.

Allahuakbar. Mengalir air mata aku bila dengar Az cerita semuanya. Nasib baik Az ni cakap dengan tenang dan sopan. Siap nasihat aku jaga maruah kita sebagai wanita.

Sedar tak sedar hampir 2 jam aku bergayut dengan Az. Selepas bercakap dengan Az aku menangis semahu mahunya. Nasib baik aku berada di rumah kalau di ofis mesti malu kat staff bawahan lain.

Malamnya aku cuba telefon Man, tapi tak berjawab. Aku whatsapp dia minta hubungi aku semula tapi hanya bluetick. Aku kata kita perlu selesaikan beberapa perkara.

Namun sampai esoknya Man tak juga hubungi aku. Aku cuba bertenang. Tapi tiap hari aku ws dia, minta penjelasan. Aku nak dengar dari mulut dia sendiri tentang Az, namun tiada respon.

Genap seminggu Az hubungi aku lagi, melalui mesej ws. Kali ini dengan maki hamun.

Az : Hey betina kau tak faham bahasa ker, aku kan dah kata jangan kacau Man lagi. Dia dah tak nak kat kau sebab tu dia pilih aku, kalau kau baik takkan dia buang kau walaupun dah lama kenal.

Makin lama makin nampak sikap kau yang kaki kikis, mentang mentang dia berpangkat dan gaji besar kau nak perangkap dia.

Dah berapa banyak dia habis duit kat kau?. Tu pun tak cukup lagi ker, dasar perempuan ***dal, kaki kikis, janda m***g. Kalau dah g**** sangat pergilah lorong offer body kau. £#&_##

Allahuakbar. Tak sanggup nak tulis di sini. Tulisannya tak macam seorang guru yang berakhlak tinggi. Dia hina aku tanpa tahu hal yang sebenar.

Aku tak pernah minta duit atau hadiah dari Man sepanjang kenal dia. Aku sendiri merupakan manager dan gaji aku masa tu RM12k. Aku dah ada rumah dan kereta, anak anak aku maid jaga masa aku keluar bekerja.

Pendek kata aku lebih mewah dari Man tapi aku tak pernah cerita kerana berpegang kepada nasihat kakak aku selagi belum kahwin jangan tunjuk harta takut ada yang ambil kesempatan.

Berkenaan hotel, aku cuma minta pendapat hotel yang menarik di Ipoh atas urusan pejabat tapi di putarbelit cerita kepada tunang dia. Aku benar benar tak puas hati. Aku perlu dengar dari mulut Man sendiri.

Aku ws dia, kalau dia tak nak bercakap dengan aku melalui telefon aku akan turun ke ipoh untuk jumpa dia. Aku nak tahu sendiri kenapa dia fitnah aku kepada Az.

Namun masih tiada jawapan dari Man. Akhirnya dia blok aku, aku call pejabatnya dan dapat tahu rupanya dia dah pindah ke penang. Pengecutnya kau Man.

2 minggu kemudian Az hubungi aku, kali ini tiada suara lembut macam awal awal dulu. Dia bersuara dengan tegas. Tapi tak adalah maki hamun macam dalam mesej ws dulu.

Az: Dengar sini Lara, aku dah kata berundur jangan kacau Man lagi, tapi kau asyik dok call dan whatsapp dia. Kau tak malu ke dia tak nak kat kau dah Lara.

Lagi sekali kau hubungi dia kacau dia aku tak teragak agak akan sebarkan hal kau kat media sosial kau. Aku tahu fb kau, instagram kau, tiktok kau dan linkedln, aku boleh jer hack dan sebarkan kau janda terdesak kacau tunang aku.

Aku boleh pm, dm follower kau bagitahu perangai kau yang sebenarnya, biar kawan kawan dan keluarga kau tahu manusia jenis apa kau ni.

Aku tahu anak anak kau sekolah kat mana, aku boleh jer hubungi guru guru sekolah tu cerita tentang kau. Sekarang kau pilih nak kejar tunang aku atau nak jaga maruah kau.

Lagi sekali aku terkedu. Az tak bagi peluang untuk aku bela diri, aku tak sempat bagitau aku cari Man bukan nak kacau hubungan mereka tapi nak penjelasan dari dia, aku nak minta dia tarik balik fitnah dia tentang aku.

Tapi tak sempat kata apa apa Az matikan panggilan dan blok nombor aku.

Aku sedih. Tak sangka seorang yang aku kenal hampir 2 tahun, yang berjanji nak jaga aku dan anak anak aku sanggup fitnah aku wanita s****l sedangkan aku pegang tangan dia pun tak pernah.

Dia lebih jahat dari bekas suami aku yang biawak hidup. Sekurang kurangnya bekas suami aku tak pernah burukkan kau selepas bercerai.

Aku di kata kaki kikis sedangkan dia yang hadiahkan bunga dan baju masa birthday aku, aku tak pernah minta pun.

Aku bernasib baik kami tak sempat berkenalan dengan keluarga masing masing, kalau tak mungkin aku lagi malu di fitnah.

Setelah berbincang dengan kakak aku, aku ambil tindakan tutup semua akaun media sosial, terutama akaun linkedln.

Rasanya tak berbaloi maruahku di permainkan hingga boleh menjejaskan karier aku sebagai manager yang sedang meningkat.

Aku seorang yang tegas di pejabat dan dihormati oleh ramai staf bawahan. Aku perlu jaga status aku sebagai orang yang dihormati di syarikat.

Aku sebenarnya agak terkesan akibat putus cinta yang dah lama disemai, aku jadi takut untuk berkenalan dengan lelaki. Aku takut dipermainkan lagi. Namun aku percaya ada hikmahnya semua terjadi.

Kini aku bersyukur sangat Allah hadirkan Az untuk tunjukkan siapa Man sebenarnya.

Nasihat aku kepada wanita di luar sana.. Masa bercinta jangan lebih², lelaki ni boleh berubah hati dalam sekelip mata. Sayangi diri dan karier anda.

Tanpa lelaki boleh hidup tapi kehilangan karier yang dibina selama ini amatlah tak berbaloi.

Akhir sekali jangan tolak bila jumpa jodoh yang sepadan, hehehe. Sebab aku kini dah bertunang dengan duda pilihan keluarga aku.

Doakan aku bahagia hingga ke Jannah.

Sekian,

– Lara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *