Di’guna’kan Bekas Kekasih

Assalammulaikum, aku Siti ingin berkongsi kisah sahabatku yang terkena oleh amalan ‘guna-guna’ oleh bekas kekasihnya. Aku telah meminta keizinan Mila (bukan nama sebenar) untuk menceritakan kisah ini.

Mila adalah sahabat karib ku pada zaman belajar dan merupakan rakan sebilik di IPTA, walaupun berbeza course namun aku dan Mila sering bersama.

Mila mempunyai teman lelaki bernama Shah, mereka telah pun berkawan sejak semester 1 dan official pada semester 3.

Shah sering keluar bersama aku dan Mila tetapi aku tak kisah kerana Shah seorang yang mesra dan sikapnya sangat disenangi.

Aku merasakan bertuahnya Mila mendapatkan kekasih yang baik, menjaga agama dan lelaki yang budiman.

Setelah kami graduasi, aku dan Mila memilih untuk bekerja di ibukota kerana kekurangan peluang pekerja. Aku mendapat kerja di Klang Selangor, manakala Mila diterima bekerja di sebuah syarikat di Melawati.

Disebabkan jarak yang agak jauh, kami memilih untuk sewa bilik berasingan namun setiap kali cuti, kami akan keluar bersama. Kadang kala bersama dengan Shah yang turut bekerja di berdekatan Melawati.

Pada tahun 2019, Mila dan Shah membuat keputusan untuk bertunang. Dan Mila meminta bantuan ku untuk menguruskan majlis.

Dengan senang hati, aku menemani Mila dan membantu Mila untuk memilih pakaian untuk bertunang.

Aku juga telah berulang alik ke Utara pulang ke kampung Mila untuk membantu menyiapkan menyiapkan majlis. Namun seminggu sebelum majlis tunang Mila dan Shah, Mila telah menghilangkan diri.

Dia telah ‘block’ aku dan Shah serta rakan-rakan yang lain. Aku cuba untuk menghubungi keluarga Mila namun tiada yang sudi mengangkat panggilan .

Dua hari sebelum majlis, aku dan Shah berangkat ke Utara untuk bertemu dengan Mila.

Namun setelah tiba di rumah Mila. Aku dan Shah dihalau oleh keluarga Mila, Abang Mila hampir memukul Shah namun ditenangkan oleh ibunya.

Aku cuba untuk bertanya kepada ibu Mila namun ibu meminta kami pulang terlebih dahulu, dan mengatakan bahawa majlis pertunangan tak dapat diteruskan.

Abang Mila memberikan amaran kepada Shah, jangan bertemu dengan adiknya lagi.

Shah yang berasa sedih pulang sendiri ke ibu kota. Namun aku memilih untuk pulang ke kampung aku dan mencuba untuk menghubungi Mila namun hampa.

Pelbagai cara untuk aku menghubungi Mila, namun nombornya tidak aktif. Aku juga mencuba dengan menghantar dm di IG dan FB namun media sosialnya tidak aktif.

Aku sedih kerana kehilangan rakan baik ku dan dalam masa yang sama, Shah menghubungi ku untuk meluahkan perasaan sedih dan kecewa.

Dia menyalahkan Mila kerana menyangka Mila mempermainkan hatinya. Malah dia menuduh Mila mempunyai lelaki lain.

Aku menyangkal tuduhan Shah, kerana aku lebih mengenali Mila. Kami selalu berkongsi rahsia dan Mila seorang yang setia.

Dia tak pernah memandang lelaki ataupun curang dengan Shah. Malah Mila sangat mencintai Shah dan sanggup melakukan apa sahaja untuk Shah. Aku percayakan Mika dan menunggu Mila untuk memberi penjelasan.

Pada akhir tahun 2022, Mila yang telah berdiam diri selama tiga tahun telah menghubungi ku semula.

Mila meminta untuk aku datang ke rumahnya di Utara. Aku bersetuju, setelah mengambil cuti aku berangkat ke Utara seorang diri.

Mila tidak benarkan aku memberitahu Shah mengenai perkara ini.

Setibanya aku di rumah Mila, aku disambut oleh Mila dan ibunya. Kami memeluk untuk melepas rindu dan yang aku perasan Mila sangat kurus sedangkan sebelum ini Mila agak berisi.

Mila mengajak aku ke biliknya dan membuka cerita tentang perkara yang berlaku pada dirinya selama tiga tahun ini.

Seminggu sebelum kehilangan Mila, ibunya meminta dia untuk pulang ke kampung. Ibunya menangis dan Mila yang merisaukan keadaan ibunya terus pulang ke kampung dan mengambil cuti kecemasan.

Namun apabila tiba di rumah , ibu dan abang serta ahli keluarga yang lain menunggu kepulangan Mila.

Ibunya memberitahu Mila yang mereka tidak bersetuju dengan pilihan Mila. Ibunya meminta Mila untuk memutuskan hubungan dengan Shah.

Namun Mila berkeras tidak mahu memutuskan Shah dan memarahi ibu dan keluarganya kerana cuba memisahkan Mila dan Shah.

Abang Mila menjadi baran kerana merasakan Mila yang menderhaka kepada ibu dan bermula perang antara Mila dan abangnya.

Ibu dan adik perempuan Mila cuba untuk menghentikan pergaduhan namun tiba-tiba Mila menjerit seperti kerasukan dan cuba untuk membunuh abangnya. Namun sempat dihentikan oleh adik lelaki Mila.

Adik perempuan Mila menghubungi pak cik mereka yang tinggal berdekatan kawasan rumah dan minta untuk membantu mereka sekeluarga.

Apabila Pak Din (bapa saudara Mila) datang ke rumah, beliau terus beristighfar kerana keadaan Mila yang semakin teruk.

Pak Din adalah Imam di masjid kampung Mila dan merasakan sesuatu yang pelik berlaku pada Mila. Pak Din meminta abang Mila untuk melaungkan azan dan Mila makin kuat menjerit.

Risau dengan keadaan Mila, Pak Din menghubungi rakannya Ustaz Adnan (bukan nama sebenar) pakar dalam perubatan islam untuk membantu Mila.

Ustaz Adnan tiba di rumah Mila pada jam 3 pagi dan ketika itu Mila sudah pun berhenti menjerit.

Namun ketibaan Ustaz Adnan membuatkan Mila menjadi marah dan cuba menghalau Ustaz Adnan. Setelah habis merawat Mila, keadaan Mila membaik dan tertidur dengan tenang.

Ibu Mila bertanya kepada Ustaz Adnan berkaitan Mila dan Ustaz Adnan memberitahu bahawa Mila telah di guna-guna oleh seseorang yang rapat dengan Mila. Abang Mila terus memikirkan antara Shah dan aku.

Ustaz Adnan hanya memberikan nasihat supaya jangan menuduh dan fokus dengan pengubatan Mila. Setelah itu, Ustaz Adnan datang untuk merawat Mila.

Mengambil masa yang berbulan dan makan hampir dua tahun untuk Mila pulih seperti biasa. Disebabkan Milah telah pun terkena terlalu lama bukan sahaja melalui barang namun melalui makanan juga.

Aku bertanya kepada Mila, siapa yang dia syak yang membuat perkara syirik ni. Mila cakap Shah yang buat semua ni. Mila mengatakan yang dia tak rapat dengan lelaki lain selain Shah.

Dia ingat Shah pernah membawa Mila pulang ke rumahnya untuk bertemu keluarga Shah. Dia berasa pelik kerana ayah Shah telah menghidangkan lauk yang berbeza dengan ahli keluarga yang lain.

Shah juga sering berikan Mila bau minyak wangi miliknya. Selain itu, Shah sering meminjam baju Mila dengan beralasan baju basah disebabkan hujan sedangkan Shah tak pernah memakai baju tersebut.

Perbuatan Shah sama seperti ciri-ciri yang digambarkan oleh Ustaz Adnan.

Aku tak menyangka orang yang selama ini aku kenal yang menjaga agama dan prilaku yang baik merupakan syaitan yang bertopengkan manusia.

Mila juga membuka cerita bahawa selama ini Shah hanya berlakon di hadapan aku dan kawan-kawan yang lain. Shah yang sebenar adalah seorang yang baran dan pernah memukul Mila.

Aku pernah bertanya tentang lebam di bahu Mila tetapi Mila mengatakan yang dia terjatuh ketika itu. Aku tak bertanya lebih lanjut kerana Mila seorang yang agak clumsy sejak dulu lagi.

Mila juga memberitahu aku bahawa Shah sering mengikis duit gajinya. Shah tak pernah pun belanja Mila makan sejak zaman belajar lagi.

Mila yang keluarkan semua duit dan menanggung perbelanjaan majlis tunang. Boleh dikatakan semuanya 100% duit Mila. Shah beralasan bahawa gaji Mila lebih tinggi darinya.

Malah hutang motorsikal Shah juga dibayar oleh Mila setiap bulan. Patutlah Shah seperti orang gila apabila Mila menghilangkan diri rupanya kerana sudah tiada tempat bergantung.

Aku merasa geram dengan perbuatan Shah namun Mila meminta aku untuk merahsiakan ini dan berhenti menghubungi Shah lagi.

Kerana Ustaz Adnan ada memberitahu Mila bahawa lelaki itu mencuba untuk mengenakan kawan baik Mila iaitu aku.

Dan setiap hari Mila berdoa supaya menjauhkan aku daripada niat jahat Shah.

Aku menceritakan pada Mila, setelah sebulan kehilangan Mila. Shah cuba untuk mendekati aku. Dia menghubungi aku hampir setiap hari dengan alasan sedih dengan tindakan Mila.

Aku yang berasa kasihan dengan Shah dan kononnya ingin membantu Shah supaya menerima takdir yang tiada jodoh antara dia dan Mila.

Tetapi sikap Shah yang agak ‘clingy’ menjengkelkan aku. Dia menghubungi ku setiap hari dan cuba mengajak ku makan malam hampir setiap hujung minggu.

Setelah tiga bulan melayan sikap Shah, aku mula bosan dan memberikan alasan untuk mengelakkan diri dari Shah.

Jauh dalam hati, aku syak dan was was dengan Shah. Seolah ada merasakan ada sesuatu yang pelik dengan Shah.

Dalam tiga bulan melayan si Shah tu, aku sering mimpi yang mengerikan dan Mila juga mengatakan ketika berkawan dengan Shah, dia juga selalu mimpi yang pelik dan seram.

Bukan itu sahaja, Mila sering diganggu oleh benda-benda pelik namun tidak ambil peduli kerana menyangka hanya mainan perasaan.

Aku dan Mila agak serupa, kami kurang percaya dengan perkara mistik dan hanya berpikir dengan logik akal. Namun perkara yang berlaku telah mengubah tanggapan Mila mengenai perkara ini.

Ini sahaja yang dapat aku kongsikan mengenai kisah Mila. Alhamdulillah keadaan Mila semakin pulih, dan akan berumah tangga dengan jejaka pilihan keluarganya pada tahun ini.

Aku telah memutuskan segala ‘contact’ dengan Shah dan berdoa agar tiada lagi perempuan yang menjadi mangsa dia setelah Mila.

– Siti (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *