Apa yang aku kongsikan ini ialah pengajaran kepada mereka-mereka yang terlalu naif dalam soal perkerjaan. Maaf sekiranya bahasa penulisan aku ni tidak menepati tatabahasa dan konteks bahasa sebab aku nak korang semua selami keperitan yang aku alami hampir 2 tahun aku bekerja sebagai cikgu subjek sains ditempat tuisyen yang boleh dikatakan agak famous ditempat tinggal aku.
Tahun pertama mengajar semua ok. Aku dengan students tersangat ok aku dan pihak management pun ok. Namun ada 1 hal yang buat aku tersangat pelik. Kerani yang bekerja dekat tempat tuisyen aku tu kerap silih berganti. 3 bulan kerja lepas tu berhenti. Diganti dengan orang lain. Sama juga situasinya 3 atau 4 bulan bekerja lepas tu berhenti. Dalam hati aku mula rasa yang kerani-kerani ni tak faham ke sekarang dah lah susah nak cari kerja, bila dah dapat senang-senang je nak berhenti. Sampai ke kerani yang ke 3. Bermula lah keperitan dalam hidup aku.
Suatu hari aku dapat wasap dari bos tempat tuisyen aku mengajar. Bos aku ni perempuan. Dia cakap kerani yang ke3 tu dah berhenti lepas 4 bulan kerja. Kerani tu cuma tinggal kan kunci pada staf yang lain dan tinggalkan tempat tuisyen macam tu je. Aku mula terbit rasa kesian pada bos aku sebab kerani ibarat kaki dan tangan bagi sesebuah tempat tuisyen. Tak lama lagi kelas dah nak mula kalau kerani tak ada macam mana nak uruskan student, bayaran yuran, fotostet bahan mengajar dan juga bayaran gaji guru-guru. Bos aku minta aku TOLONG atas sebab aku pada masa itu tak ada komitmen lain melainkan mengajar ditempat dia dan aku pada masa itu tak berkahwin lagi. Ok fine aku tolong atas dasar perikemanusiaan dan belas kasihan. Ibarat kan pada masa itu aku lah cikgu aku lah kerani. Letih yang teramat sangat rasa badan aku pada masa tu.
Lepas 2 bulan baru ada kerani baru masuk. Aku pulak ditugaskan untuk training kerani baru tu. Nak dijadikan cerita bila kerani baru tu dah mula bertugas timbul isu bayaran gaji sebab bos aku ni berkira pasal tu. Nak bayar aku lagi nak bayar kerani lagi. Bila dan timbul isu gaji maka timbul pulak isu nak cari kesalahan aku atas sebab nak mintak aku tak payah uruskan tuisyen dah sebab dah ada kerani. Dia boleh pilih cara yang lebih elok dengan berunding dengan aku dan minta aku untuk serahkan hal-hal management pada kerani tetapi dia lebih suka guna cara yang kejam dengan mencari segala macam kesalahan aku yang aku tidak sengaja lakukan dan yang aku langsung tak lakukan tetapi sengaja dijadikan isu supaya timbul permasalahan. Ok fine dia buat aku macam tu. Kesalahan aku dia canang pada staf lain sampai staf lain pandang serong pada aku. Kesalahan staf lain dia canang pada aku sampai hal rumahtangga staf dia boleh jadikan sebagai isu. Sampai 1 ketika kami staf-staf berkumpul dan bercerita apa yang dia dah canang pada kami semua. Maka terbongkarlah segala perangai buruk bos aku tu. Ibarat talam 2 muka depan dan belakang tak sama. Kami staf-staf tak sangka sebegitu rupa bos kami bercerita.
Yang paling menyedihkan ialah keadaan aku, aku yang bos aku cari masa dia susah kerani berhenti kerja serta merta tanpa alasan dan notis tapi bila dah timbul isu tak dapat nak bayar gaji, bos aku ni buruk kan aku dengan alasan yang dia tak pernah pun mintak aku datang tolong dia kerana aku yang beria nak tolong. Aku pada waktu itu ialah seorang guru yang mengajar ditempat dia. Namun disebabkan sedikit kesilapan dia boleh marah aku depan cikgu-cikgu yang lain dan depan students. Maruah aku sebagai seorang guru pada waktu tu macam kena pijak.
Selepas perangai sebenar bos aku terbongkar, aku baru sedar kenapa dia buat baik dengan aku masa kerani dia berhenti tanpa notis dulu. Sebabnya hanya 1 kerana dia perlukan aku untuk tolong dia kerana pada masa tu dia tak ada sesiapa yang boleh diambil tanpa perlu bayar gaji mahal-mahal dan tanpa perlu surat lantikan. Ibarat aku ini kambing hitam untuk dia. Lepas dia dah ada pengganti dia cuba untuk keluarkan aku secara halus. Dia akan cuba sogok dan jaga staf sebaik mungkin untuk kepentingan diri dia selama mana dia rasa staf tu boleh dia kulikan sebanyak mungkin dan dia akan cuba secara halus mahupun kasar untuk buang staf yang pada mata dia dah tak berguna.
Untuk bos-bos diluar sana, kita selalu menekankan SOP untuk pekerja, pekerja harus patuh pada SOP. Namun, bagaimana pula dengan bos? Ingat! Dunia akan terus berputar. Kekejaman yang telah kita lakukan Allah akan balas semula. Cuma masa yang menentukan. Untuk bos yang terbabit, apa yang kamu lakukan pada kami Allah jadi pemerhati. Untuk mereka yang baru dalam dunia pekerjaan, anda berhak untuk membela diri anda dibawah akta buruh sekiranya anda ditindas. Bos yang baik akan bantu staf menjadi lebih baik. Bos yang sebaliknya hanya akan mempergunakan staf demi kepentingan diri mereka.
– Elisa
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit