Assalamualaikum, terima kasih kepada admin kerana sudi menyiarkan coretan saya.
Saban hari, di ruangan IIUM Confession ini, saya lihat perkongsian yang berbahasa Inggeris mesti akan dikritik kerana tidak menggunakan bahasa Melayu. Saya bingung memikirkan kenapa hal tersebut menjadi suatu isu yang besar hingga mesej perkongsian tersebut ditolak ke tepi tetapi kesalahan tatabahasa dsbgnya yang dijadikan isu. Sejujurnya, saya merasakan hal tersebut sangat tidak rasional.
Saya sendiri pernah dilayan dengan kasar kerana menggunakan bahasa Inggeris. Kejadian tersebut berlaku semasa saya berusia 16 tahun. Ketika itu, saya berada di suatu taman tema tertutup (indoor theme park) dan sedang menunggu giliran untuk bermain ‘flying fox’. Sampai giliran saya, dua lelaki yang menjaga permainan tersebut berbual dengan saya sambil-sambil memakaikan saya alatan keselamatan badan. Saya tidak ingat butir bicara kami, yang pasti saya ada menyebut, “oh, wait eh”, dan terus kedua-dua lelaki tersebut menjadi kecoh.
“Perghh, speaking English siot”
“Takpayah acah sangatlah, speak in Malay lah, why you don’t speak in Malay”
(sangatlah ironi kerana mereka menegur saya supaya bercakap dalam bahasa Melayu tetapi tegur dalam bahasa Inggeris hahahah)
Oleh sebab saya ini merupakan pendebat Bahasa Melayu sekolah saya, jadi saya tidak dapat diamkan diri (darah mudalah katakan) lalu berdebat dengan mereka: di mana salahnya bertutur dalam bahasa Inggeris? Malah, saya pasti penguasaan bahasa Melayu saya agak baik kerana saya pendebat di sekolah, pemantun, penulis cerpen dan sajak. Ibu dan ayah saya kedua-duanya guru Bahasa Melayu, malah ayah saya ialah guru Bahasa Melayu kelas saya di sekolah hahaha dan beliau sangat menekankan penggunaan tatabahasa dan ejaan yang betul. Bilamana saya tidak bertutur dalam bahasa Melayu, bukanlah bermakna saya tidak mencintai bahasa ibunda saya, malah sebenarnya saya sangat mencintai bahasa Melayu dan berusaha menguasainya sebaik mungkin. Tetapi adakah itu bermakna saya tidak perlu untuk berusaha menguasai bahasa-bahasa asing? Jati diri saya sedikit pun tidak goyah dengan penggunaan bahasa Inggeris. Malah, saya menguasai kedua-dua bahasa dengan sebaiknya.
Namun, kedua-dua lelaki tersebut masih tidak berpuas hati dengan saya dan memekakkan telinga mendengar hujah-hujah saya. Dia masih terus mengejek saya kononnya saya acah-acah hebat dsbgnya. Dalam keadaan masih bertikam lidah, tiba-tiba salah seorang daripada mereka menolak saya terus dengan sangat kasar dan saya pun ber’flying fox’ dalam keadaan yang sangat terkejut. Bayangkan, saya masih belum bersedia! Tiba-tiba kena tolak! Terkejut dan kecut perut saya kerana sangat deras dan sangat kasar tolakannya. “Bahayalah manusia! Kau nak bunuh aku ke apa?!”, monolog saya dalam hati dengan penuh amarah.
Sejak dari hari itu (ada beza ya penggunaan ‘dari’ dan ‘daripada’. ‘Dari’ digunakan untuk masa, arah dan tempat), jika saya terbaca komen-komen manusia yang mengutuk orang menggunakan bahasa Inggeris, saya akan teringat peristiwa tersebut dan berasa amat geram. Apa yang diributkan sangat? Bahasa hanya merupakan suatu wadah untuk menyampaikan idea dan pemikiran. Pada pendapat saya, penggunaan bahasa bukanlah parameter terbaik untuk mengukur jati diri seseorang. Ya, benar, bahasa jiwa bangsa, tapi kalau berbahasa dengan bahasa ibunda pun ‘kelaut’, takpayah acah sangat berjiwa bangsalah. Penguasaan bahasa Melayu sendiri pun merosot, bahasa Inggeris pun teruk, aku rasa ni macam masalah kau sendirilah, masalah tak puas hati dan termakan doktrin konon cakap bahasa Inggeris nak nampak pandai/korporat/bajet hebat. Aduhai, salah sangat.
Fahamilah, setiap orang ada bahasa jiwa dia yang berbeza-beza. Daripada perspektif saya, seseorang ada tiga situasi penggunaan bahasa yang boleh berbeza-beza. Bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa jiwa. Bahasa komunikasi saya ialah bahasa Melayu dan Inggeris. Bahasa ilmu saya lebih kepada bahasa Inggeris (kerana saya pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara jadi nak tak nak saya kena menguasai bahasa Inggeris dengan sebaiknya untuk pelajaran saya). Bahasa jiwa saya ialah bahasa Melayu, kerana apabila saya ingin berbicara daripada hati, secara automatik saya akan menggunakan bahasa Melayu dan hasilkan sajak atau cerpen. Bahasa Melayu adalah bahasa jiwa saya, dan orang lain mungkin bahasa jiwa dia ialah Bahasa Inggeris. Oleh sebab itu, ada yang selesa meluahkan perasaan dalam bahasa Inggeris, seperti beberapa perkongsian di IIUM Confession ini yang berbahasa Inggeris.
Antara impian dalam hidup saya, adalah untuk menguasai banyak bahasa kerana saya ingin menguasai ilmu pengetahuan sebanyaknya dan tidak mahu menjadikan bahasa sebagai penghalang (language barrier). Kini, saya sedang berusaha untuk mempelajari bahasa Arab dan bahasa Jepun, dan sekali lagi saya tekankan, jati diri saya sebagai rakyat Malaysia sedikitpun tidak goyah apabila saya menggunakan bahasa asing. Saya harap di alaf globalisasi ini, masyarakat Malaysia dapat membuka minda dan lebih bertolak ansur.
Akhir kalam, saya budak baru belajar, kalau salah tolonglah tunjukkan ;)
– Kirana
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit