Dilema

Assalamualaikum. Namaku Mawar (bukan nama sebenar). Aku berusia hujung 20-an. Aku sebenarnya ingin meluah tetapi aku tidak yakin dengan orang di sekelilingku.

Jadi aku buat keputusan untuk meluahkan apa yang aku alami di sini untuk memohon pandangan kalian, tanpa kalian mengenali siapa aku. Pandangan, nasihat mahupun kecaman dan sebagainya aku sangat hargai untukku perbaiki diri.

Oh ya, aku bukannya ada masalah dengan orang sekelilingku tetapi aku tidak ingin menyusahkan orang di sekelilingku untuk mendengar kisahku yang tidak ‘berapa penting’, tapi aku rasa memenatkan diriku dan fikiranku.

Maaf jika tulisanku panjang dan susah difahami, aku tidak ada bakat menulis sebenarnya…

Kisahnya begini, aku ada seorang teman lelaki merangkap seseorang yang kuanggap istimewa. Dia adalah cinta pertamaku. Aku pernah suka dengan seorang lelaki ketika zaman belajar tetapi cuma setakat suka, bukannya ‘cinta’.

Lagipula masa itu aku rasa aku belum cukup matang, tapi untuk teman lelakiku yang sekarang, aku sayang bahkan aku berdoa dipermudahkan urusanku untuk bernikah dengannya.

Aku mulai menyukainya ketika aku pertama kali melihat dia menjadi imam solat. Dia seorang yang menjaga solat, dan sebab itulah aku menyayanginya.

Perhubungan kami sememangnya masih baru. Kami bercinta sekadarnya, sangat jarang keluar berdua bahkan jika terserempak pun akan tersipu-sipu malu jika bersama kawan-kawannya yang lain.

Aku tidaklah bercinta hingga bertelefon atau video call seperti pasangan lain, kami cuma ber’whatsapp’ untuk berhubung.

Oh ya, kami baru habis belajar dan tinggal di daerah yang sama cuma berbeza tempat. Aku mengenali ahli keluarganya, dan dia juga mengenali keluargaku.

Bagi aku, aku inginkan restu keluarga jika bercinta kearah yang lebih serius. Hubungan kami berdua direstui, cuma terkadang aku rasa aku ini terlalu menyebalkan untuk dia. Mungkin…..

Kami cukup rapat, tetapi cuma dalam telefon, sebab aku juga malu jikalau keluar berdua sedangkan belum ada ikatan yang sah.

Setiap yang aku buat, aku tanyakan pendapatnya adakah itu baik atau tidak. Dia kuanggap istimewa, dalam masa yang sama dia juga kuanggap sebahagian daripada keluargaku.

Tapi aku keliru sebenarnya. Aku rasakan dia seolah-olah anggap aku ini ‘menghalang’ dia beribadah. Kadang, bila dia terlewat bangun untuk solat, dia akan mulai dingin dan bila aku desak apa masalahnya, dia akan menjawab ‘aku lewat bangun kerana chat kau malam tadi’.

Masalahnya dia tidak maklumkan aku untuk berhenti ber’chat’, kerana pada anggapanku bila dia membalas itu bermakna dia tidak sibuk. Tetapi aku akui juga ia mungkin juga disebabkan oleh salahku kerana memulakan chat selepas isya…..

Terkadang aku juga rasa diri akulah sebenarnya punca semua ‘overthinking’ ini berlaku walaupun aku bukanlah jenis wanita yang kuat merajuk.

Aku hargai kesudian dia memberiku sokongan ketika aku perlu, cuma bila sampai satu masa dia ‘dingin’, aku tidak dapat memujuknya hingga kadang aku terasa dia tiada usaha untuk berbaik denganku.

Malah terkadang aku terasa dia seperti ingin lupakan aku. Aku keliru, aku sedih, fikiranku kacau bilau, saat confession ini ditulis pun fikiranku masih kacau bilau, tidak dapat berfikir secara betul.

Untuk hubungan ini kami ada berbincang bagaimana untuk kami kearah yang lebih serius. Kami telah pun mulakan langkah dengan mengikut ‘kursus pra perkahwinan’.

Cumanya aku….. keliru. Aku memang inginkan dia untuk menjadi pasangan hidup tetapi aku tertanya-tanya adakah aku boleh bertoleransi dengan sikapnya yang kadangkala ‘dingin’ bila marah.

Dia juga tidak akan mulakan untuk berbaik, kadang aku merayu-rayu bahkan kadang menangis sendiri, sedih sebenarnya bila memujuk tetapi tidak mampu memujuk.

Dan yang membuatkan aku lagi keliru bila dia pernah katakan aku ini seolah mengganggu ibadahnya. Sungguh tidak aku terniat untuk membuat dia jauh dari Allah….

Aku keliru…. dan aku juga trauma. Aku tidak suka lelaki yang panas baran atau suka memaki, memukul atau kasar. Aku tidak sanggup lagi mendengar cacian mahupun kata-kata makian, marah dari seorang lelaki yang akan bergelar suami.

Cukuplah dalam keluargaku aku terasa hati dimarah, dibebel hingga kadang terasa sebagai anak yang tidak berguna….aku penat menangis mendengar kata-kata yang cukup tajam, aku penat menjadi penurut, emosiku cukup terluka.

Aku ingin ubah hidupku, keluargaku jika aku panjang umur dan berkeluarga sendiri nanti, InsyaAllah. Bukan maksudku memburukkan keluargaku, tetapi aku ingin keluar dari kehidupan yang seperti itu. Emosiku penat…..

Aku buntu… aku keliru tetapi aku tidak tahu bagaimana cara untuk aku legakan perasaanku. Kadang aku rasa akulah manusia paling bodoh di dunia, diberi kesempatan untuk menghadap Ilahi tetapi menangis bukan kerana taubat tetapi kerana seorang lelaki.

Menangis untuk diberi kelegaan fikiran, aku tidak suka dikasari walau dengan perkataan. Dia tidak memaki, cuma bila dia marah, dia akan bercakap secara kasar. Bila hubungan kami baik, cukup sulit aku mendengar kata ‘maaf’ darinya.

Kadang yang aku mahu hanya satu, dia meminta maaf sahaja……maka aku akan okay. Untuk meluah kepada keluarga juga bukanlah suatu yang mudah untuk aku kerana aku lebih bersifat tertutup.

Tolonglah aku kalian…. tegurlah aku di sini. Berilah nasihat kamu. Aku tidak mampu ceritakan kisahku dengan kawan-kawan.

Aku bukanlah tergolong dalam golongan orang yang mempunyai sahabat baik. Aku takut menganggap seseorang itu kawan baik, dan dalam diam dia menikamku.

Aku sayang hubungan ini. Aku juga sayang dia. Agamanya yang elok. Cuma aku belum cukup tahu bagaimana sikapnya dengan ahli keluarganya, adakah kadang berkasar jika marah atau tidak. Tetapi dia pernah memberitahuku dia pernah marah kepada adiknya.

Dan dia membaling barang ke arah adiknya sebab kata-kata adiknya yang mengguris hati. Itu kata si dia.

Aku tidak mahu buta dalam mencintai. Tapi aku tidak tahu bagaimana….. aku takut bila berumah tangga, aku pendam hati. Makan hati. Dan banyak lagi yang menyesakkan kepalaku.

Entahlah, aku juga tidak tahu kenapa aku begini hinggakan benda yang belum terjadi sudah kubayangkan.

Cukuplah itu sahaja tulisanku hari ini. Rasanya terlalu panjang, maaf jika kalian tidak memahaminya.

Aku ingin nasihat dari orang yang sudah berumah tangga. Yang lebih dulu makan garam daripadaku. Kumohon jangan ada yang kecam aku kerana memilih tempat ini untuk meminta pendapat.

Aku tidak ingin menjadi bahan jika kukatakan kepada orang sekeliling. Lega fikiranku sekarang setelah selesai menulis. Terima kasih ya…

Sekian.

– Cik Mawar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *