Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca dan admin yang luluskan penulisanku hari ni.
Aku seorang surirumah dan pembaca senyap dalam page IIUM CONFESSIONS ni. Tidak biasa berada dalam sesuatu keramaian dalam tempoh yang lama.
Mungkin anda boleh klasifikasikan aku seorang introvert.
Mungkin juga kerana itulah aku terpanggil untuk menulis di sini memandangkan apa yang terbuku di dada sukar untuk diluahkan kepada kenalan.
Kalau pun ada, sukar juga untukku mendapat maklum balas seperti yang aku harapkan.
Persoalan yang selalu bermain di mindaku dan menyesakkan dada tika dan saat ini bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah terpendam untuk satu waktu yang agak lama.
Kisahnya begini, aku mempunyai beberapa orang anak hasil perkahwinanku yang belum sampai pun satu dekad. Alhamdulillah, perkahwinanku baik-baik saja. Suami yang baik dan memahami.
Cumanya, apabila berhadapan dengan masyarakat di sekelilingku ni, aku merasakan seperti mereka selalu memandang rendah akan statusku seorang surirumah sepenuh masa.
Tiada kerja. Tiada harta. Mengharapkan suami menanggung segala belanja.
Ini kerana, apabila bertemu muka, mereka akan membawa perbualan kearah pekerjaan.
Tambahan pula pada fasa pemulihan pandemik penularan penyakit berjangkit Covid19 ini, tidak memadai hanya suami yang bekerja.
Aku hanya mampu tersenyum. Natijahnya, pahit itu aku pendam dan membuatkan aku tidak suka bertemu sesiapa.
Ya, mulut orang tidak mungkin aku boleh tutup. Tapi, telinga aku juga tidak mungkin dapat ditutup dari mendengar kata-kata menjurus penghinaan bagiku.
Hati terlalu rapuh rasanya bila memikirkan hal ini. Sering air mata jatuh tanpa dapat dibendung lagi.
Dilema antara kuatkan hati keluar bekerja didakap kerisauan anak-anak dalam jagaan pengasuh atau bertahan memendam rasa asalkan anak di depan mata?
Mungkin penulisanku ni sampai kepada yang memahami dan boleh menelusuri sebahagian dilema seorang surirumah sepertiku.
Mungkin juga tidak sampai kerana aku tidak dapat mengarang dengan teliti.
Tidak tahu mana satu perlu ku tuliskan dahulu kerana setiap sudut hati dan jiwa penuh dengan luka dan tanda tanya yang sukar untukku jawab sendiri.
Terima kasih pihak admin mewujudkan ruangan seperti ini. Dapat aku meluahkan dan menghembuskan nafas kelegaan, walau untuk masa yang sekejap cuma.
Bagaimanakah harus aku teruskan kehidupan biasa bersama kegembiraan?
Masih adakah waktu untukku merungkaikan sesak di jiwa?
Segalanya sentiasa meruntun hati dan rasa. Sedih, ku tersenyum. Ketawa, ku menangis. Hati luka, tidak dapat dibalut. Luka lama, tidakkan sembuh jua.. Merana.
– Sorrow (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit