Aku seorang anak bongsu daripada 5 orang adik beradik. Aku berumur 25 tahun. Aku menjadi anak harapan dalam keluarga kerana pencapaianku yang cemerlang di sekolah.
Kerana pencapaian itu, aku berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Aku lah satu-satunya anak yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah.
Pada saat itu, aku bangga kerana dapat mengenggam segulung ijazah buat kedua orang tuaku.
Tetapi, dilema aku bermula apabila aku sudah menamatkan pengajian dan ingin mencari kerja. Kerana aku adalah anak bongsu, maka aku yang bertanggungjawab untuk menjaga kedua orang tuaku.
Adik beradikku yang lain masing-masing sudah mempunyai keluarga sendiri. Hanya tinggal aku yang masih bujang.
Tetapi, sehingga kini aku masih belum mendapatkan pekerjaan yang menjamin pendapatan yang stabil untuk menyara kehidupan aku dan juga kedua orang tua ku.
Sudah berkali-kali aku bertukar kerja, kerana setiap pekerjaan itu ada kesan-kesan yang tersendiri pada diri aku.
Sudah dapat kerja yang senang, rakan sekerja yang membuat masalah. Sudah mendapat rakan sekerja yang baik, perihal kerja pula yang membuatkan aku hilang keseronokan untuk bekerja.
Adakalanya aku bertanya pada diriku sendiri. Adakah kerana aku anak bongsu, maka mental aku begitu senang untuk goyah?
Aku tidak mudah untuk bertahan lama di sesuatu tempat kerja apabila mental ku teruji. Aku selalu berfikir bahawa tidak guna untuk bekerja jika hati tidak senang melakukannya.
Tetapi, aku juga berfikir, aku masih ada orang tua yang perlu aku sara.
Maka, dengan pemikiran itu, aku tidak berputus asa untuk selalu mencari kerja yang baru. Aku sering berfikir bahawa aku mungkin bukan lagi anak yang dibanggakan.
Aku anak yang mengecewakan kerana masih tidak mampu untuk mendapatkan perkerjaan yang betul-betul sesuai, di mana aku dapat bertahan lama, walaupun aku mempunya sijil tertinggi di kalangan ahli keluarga.
Sering kali aku berprasangka buruk di mana adik beradikku juga kecewa denganku.
Aku mudah untuk mendapatkan pekerjaan, tapi aku juga mudah untuk membuat keputusan untuk meninggalkan pekerjaan tersebut apabila aku mulai merasa kemurungan.
Aku jadi merasa takut pada masa depanku sendiri. Bagaimana kalau aku masih melompat kerja pada 5 tahun akan datang? Bagaimana sekiranya mental aku tidak mampu menjadi seteguh orang lain?
Orang lain juga merasakan tekanan di tempat kerja, tetapi masih mampu untuk bertahan.
Sedangkan aku? Aku sering membenci diri ku sendiri apabila aku berhenti kerja, kerana aku tidak setabah orang lain.
Tetapi aku juga merasa kesian pada diri sendiri jika terus mendera untuk paksa bertahan.
Adakah aku anak bongsu yang mempunyai mental yang rapuh kerana sering berhenti kerja, atau seorang anak bongsu yang tidak mudah putus asa untuk mencari kerja yang menjamin kesihatan mentalnya?
– Ly (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit