Dilema Diri Sendiri

Assalamualaikum. Aku kenalkan diri aku sebagai D berumur lewat 20 an. Telah berkahwin selama 5 tahun dan dikurniakan sepasang cahaya mata.

Serba sedikit tentang aku. Aku merupakan anak bongsu daripada 8 orang adik beradik. Dibesarkan dalam keluarga yang sederhana. Aku walaupun anak bongsu tidak pernah rasa manja macam anak-anak bongsu yang lain. Hasil didikan dari mak yang pendiam dan ayah yang garang, aku menjadi seorang yang sangat keras hati, degil, pendiam dan tidak mudah bergaul dengan orang.

Aku berkahwin dengan suami atas pilihan aku sendiri. Aku kenalkan dia sebagai A. Aku mengenali A di laman sosial dan mengambil keputusan untuk berkahwin selepas 6 bulan perkenalan. Kebetulan semasa mengenali A dia baru sahaja putus tunang yang dia telah kawan selama 4 tahun.

A mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan kami walaupun baru 6 bulan berkenalan kerana ingin bercinta selepas nikah katanya dan aku pun bersetuju. A bekerja di sektor swasta. Pekerjaan A memerlukan dia berurusan dengan klien terutamanya perempuan. Lagipun aku bukanlah seorang kaki cemburu jadi aku tidak pernah kisah dengan pekerjaan dia.

Semasa kami ingin berkahwin A telah menyuruh aku membuat loan sebanyak 10K untuk majlis perkahwinan kami. 5K digunakan sebagai hantaran aku dan dia berjanji untuk memulangkannya selepas kahwin tetapi sehingga sekarang tidak memulangkannya dan aku menanggung hutang loan itu setiap bulan.

Sebulan selepas berkahwin aku di sahkan mengandung dan A berasa sangat gembira. Tetapi semasa dalam tempoh berpantang anak pertama, seorang lelaki telah menghantar messenger di akaun laman sosial aku mengatakan yang A cuba untuk mengganggu tunang beliau. Dia sertakan sekali screenshot perbualan A dengan wanita tersebut.

Dari perbualan itu aku simpulkan A cuba untuk mengorat wanita tersebut yang bernama Lin tetapi tidak di layan. Tapi bagi aku itu cuma perbualan biasa. Aku malas nak berfikir negatif. Aku tidak memberitahu A mengenai hal itu dan kami jalani kehidupan macam biasa.

2 tahun kemudian, A sekali lagi kantoi berbual mesra dengan isteri orang di messenger sebuah laman sosial. Perbualan itu kantoi semasa aku memeriksa telefon A selepas seminggu aku pulang bercuti dari kampung aku. Waktu ini kemarahan aku memuncak.

Aku bersemuka dengan A untuk mencari kebenaran. Dan jawapan A adalah wanita itu hanya kawan lama. Aku tanya pada A kalau aku berbual begitu dengan kawan lelaki macam yang dia buat boleh tak. Dan jawapan A adalah tidak. Waktu itu lah aku buka kisah yang dia cuba mengorat wanita bernama Lin. A ternyata terkejut kerana aku mengetahui mengenai hal tersebut.

Malam itu aku meluahkan apa yang terpendam dalam hati aku. Aku bertanya A apa kurangnya aku sebagai isteri dia sampai dia mencari wanita lain. A menangis teresak-esak dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan seperti itu lagi. Aku maafkan A dan memberi amaran jika perkara berikut berulang aku takkan maafkan dia lagi.

2018, aku mendapat tawaran sambung belajar. Aku meminta izin A dan A memberi keizinan untuk aku belajar dan menyewa rumah supaya aku boleh beri tumpuan pada pelajaran. Manakala anak-anak kami akan dijaga pengasuh pada waktu siang dan A akan menjaga mereka pada waktu malam. Setiap hujung minggu aku pulang ke rumah dan aku jalani kehidupan sebagai pelajar tanpa sebarang masalah.

A sangat supportive. Kalau aku ada assignment yang perlu di lakukan, dia akan jaga anak-anak dan tidak bagi anak-anak menggangu aku. Cuma kadang kala jika aku pulang ke rumah setiap hujung minggu dan rumah bersepah agak stress juga pada aku. Tetapi A akan bantu juga aku waktu aku kemas rumah.

Awal 2019, A telah mendapat tawaran mengerjakan umrah oleh syarikat tempat dia bekerja kerana pencapaian terbaik dia. A berasa serba salah untuk menerima tawaran tersebut kerana memikirkan aku dan anak-anak.

Aku cakap dengan A supaya terima sahaja tawaran tersebut kerana tawaran seperti itu tidak semua orang dapat dan semua orang pun mengimpikan untuk pergi ke tempat tersebut. Lagi membuatkan A serba salah adalah tarikh dia berangkat ke umrah adalah tarikh yang sama aku menduduki peperiksaan akhir semester 1.

Alhamdulillah Allah mempermudahkan kerja kami kerana pengasuh sudi menjaga anak-anak kami sepanjang ketiadaan A dan aku boleh fokus sepenuhnya untuk menduduki peperiksaan. Sepanjang A di tanah suci dua hari sekali dia akan telefon aku untuk bertanyakan khabar cuma kami jarang berwasap kerana aku sibuk untuk study dan dia sibuk melakukan ibadah.

14 hari di sana dan A pulang dengan selamat ke Malaysia. Aku dan anak-anak tunggu A di rumah dengan perasaan yang sarat dengan kerinduan. Pada hari A pulang, sewaktu dia tidur akibat keletihan aku memeriksa telefon A. A tidak pernah kisah kalau aku memeriksa telefon dia kerana passwords juga aku tahu. Tetapi sesuatu yang aku tidak jangka aku jumpa di aplikasi wasap telefon A. Perbualan A dengan kerani tempat kerja dia bernama Iza.

Aku kenal Iza, aku tahu mereka rapat tetapi aku tahu juga yang dia rapat dengan lelaki-lelaki lain di tempat kerja mereka kerana mereka dalam satu office tidak ramai dan A juga rapat dengan staf wanita lain dan aku mengetahuinya kerana A selalu bercerita mengenai mereka. Iza sama usia dengan aku belum berkahwin dan kami pernah berjumpa beberapa kali.

Di wasap tersebut A menyatakan rindu pada Iza hampir setiap hari A di sana dan mereka saling bertukar-tukar gambar. Dan ada juga A memuji Iza cantik. Di saat aku sedang bertarung dengan peperiksaan akhir,A pula bermadu cinta dengan Iza sewaktu A di Mekah.

Aku fikirkan A sibuk melakukan ibadah. Aku berasa sangat sedih, sangat sakit hati. Lebih aku sedih bila A tidak pernah langsung menyatakan rindu pada aku, tidak langsung meminta gambar aku dan sepanjang kami kawin A dah lama tidak memuji aku cantik.

Untuk pengetahuan pembaca hubungan kami sangat sempoi, santai waima aku bukanlah wanita yang jenis cakap mendayu-dayu, melentok-lentok dan lemah lembut dan A bukanlah seorang yang romantic, dia juga berperwatakan seperti aku cuma A seorang yang talkative. Memandangkan aku jenis pendiam dan bagi aku kami saling melengkapi. Kali ini aku betul-betul patah hati.

Aku screenshot perbualan mereka sebelum A delete wasap tersebut. Aku cuba berlagak tenang sehingga malam selepas anak-anak tidur aku ajak A berbual di dapur. Aku tunjukkan screenshot tersebut dan aku bertanyakan A apa sebenarnya. Macam biasa jawapan A mereka hanya kawan dan tiada hubungan yang istimewa. Aku betul-betul hilang sabar pada malam itu. Aku ungkit semua pengorbanan yang aku lakukan pada dia tetapi ini balasan dia.

Sepanjang kami kahwin, aku yang selalu support kewangan dia sebab gaji dia tidak menentu. Aku dah set dekat mind awal perkahwinan mesti akan di uji dengan kesempitan dan aku tidak pernah kisah. Awal-awal kahwin hampir setiap bulan A akan pinjam duit aku. Nafkah dia tidak pernah bagi pun aku tidak pernah kisah.

Aku beli rumah sebab tidak sanggup untuk duduk dengan mertua. Aku gadai segala barang kemas, aku jual motor aku supaya kami boleh hidup selesa. A beli kereta baru guna nama aku pun aku turutkan. Sampai aku terpaksa gadai barang kemas peninggalan mak aku sebab nak sambung belajar sebab nak buat loan dah tak lepas. Hutang A pada aku hampir berpuluh ribu tapi aku tak pernah kisah sebab kami nak hidup bersama.

Tapi selepas kali ketiga A kantoi, aku betul-betul patah hati. Aku sampai cakap lepas kan aku kalau dia nak bersama dengan perempuan tu. A merayu rayu sampai melutut kat kaki aku mohon maaf. Tapi aku tidak boleh terima sebab dia buat perbuatan tu semasa dia di tanah suci tempat sepatutnya dia melakukan ibadah.

Hampir seminggu aku berdiam diri, bermuhasabah diri. Cuba melihat kekurangan diri aku juga. Aku fikirkan anak-anak yang masih kecil dan aku terima A balik. Tetapi dah 6 bulan kejadian itu,aku sebenarnya masih tidak boleh memaafkan A lagi, terngiang ngiang lagi perbualan mereka di fikiran aku. Mereka masih lagi berurusan atas dasar kerja dan masih lagi sepejabat.

3 kali A kantoi yang aku tahu, dibelakang aku Allah je yang tahu. Aku cuba layan A macam biasa tapi dibelakang A aku menangis bila mengenangkan perbuatan dia. Sehingga lah bulan lepas aku jumpa artikel ni yang bertajuk “bercerai kerana suami curang, mungkin itu tandanya Tuhan mahu selamatkan isteri solehah”.

Aku cuba cari jawapan dari artikel ni. Aku mintak pandangan dari pakar, aku rujuk ustaz, aku lakukan solat istikharah dan hati aku kuat memilih untuk bercerai. Tetapi sekarang aku berbelah bagi bila fikirkan anak-anak. Tetapi ibu tunggal pun boleh berjaya kan didik anak-anak. Aku dah tawar hati pada suami.

A selalu cakap aku gemuk. Aku mula gemuk lepas lahirkan anak kedua dan mengamalkan suntikan perancang keluarga. Sekarang gaji A agak selesa dan bagi duit nafkah pada aku RM50 setiap bulan. Bila ada duit lebih dia modified kereta dia. Anak-anak sejak aku belajar dah makin rapat dengan ayah diorang. Didik anak-anak pula A serah sepenuhnya pada pengasuh sepanjang aku sambung belajar ni.

A keluar kerja pukul 8 pagi dan balik pada 8 malam. Kadang kala pulang lewat sebab melepak dengan kawan-kawan. Aku kesian pada pengasuh mesti kepenatan, beberapa kali aku suarakan pada A supaya tidak melepak tetapi A tidak hiraukan. Rumah kami, dia buat tempat untuk tidur sahaja. Alhamdulillah aku dapat pengasuh yang sangat baik tetapi aku tak nak ambil kesempatan atas kebaikan pengasuh.

Sekarang aku nak belajar pun dah tak semangat. Lagi sebulan aku nak menempuhi peperiksaan semester 2, korang doakan aku ye. Lulus pun dah cukup bagi aku. Sebenarnya banyak lagi aku nak cerita tapi nanti korang bosan pulak. Ayat aku dah lah berterabur.

Aku rasa tertekan sangat sekarang sebab nak hadapi benda ni. Aku dah takde perasaan dengan perkahwinan kami. Mungkin lepas ni A boleh curang lagi kan. Pada aku 3 kali Allah tunjuk, aku rasa aku ingin cari bahagia aku sendiri dengan anak-anak. Aku dalam dilema.

– D (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *