Dilema Ibu Bekerjaya Yang Stress Ketika PKP

Assalamualaikum pembaca semua.. Ini cerita tentang situasi diri saya sepanjang tempah PKP, PKPP dan PKPB.

Saya seorang isteri, ibu kepada tiga orang anak dan seorang wanita bekerjaya dalam bidang profesional di sebuah syarikat swasta bertaraf antarabangsa.

Suami saya pula seorang yang agak berpangkat di sektor awam. Anak yang pertama saya berumur 8 tahun, yang kedua 6 tahun dan ketiga 2 tahun.

Sejak negara kita dilanda virus Covid 19, kerajaan telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan perintah kawalan pergerakan untuk membendung virus merebak dengan lebih serius.

Saya faham. Memang faham sangat dan bersetuju dengan apa yang dilakukan. Sekolah juga ditutup. Rasa bersyukur juga bila sekolah ditutup sebab risau keselamatan anak-anak di luar.

Syarikat yang saya bekerja juga masih meneruskan berkerja secara dari rumah (WFH). Walaupun sedikit sebanyak saya kurang gemar bekerja cara ini, sekurang-kurangnya saya tidak perlu fikir ke mana akan dihantar anak-anak sekiranya saya bekerja di pejabat.

Suami saya pula, walaupun mempunyai jadual penggiliran bekerja di pejabat dan di rumah, tetapi kebanyakan harinya perlu ke pejabat.

Saya faham kedudukannya kenapa dia perlu hampir setiap hari ke pejabat walaupun giliran hari tersebut adalah bekerja dari rumah. Oleh sebab itu, saya tidak pernah pertikaikan.

Dari segi kewangan pula, Alhamdulillah kami tidak terkesan kerana gaji masih diterima seperti biasa kerana urusan kerja juga perlu berjalan seperti biasa walaupun berada di rumah tidak kira apa jua situasi pekerja semasa di rumah.

Disebabkan masa saya di hadapan komputer agak terbatas, saya perlu melanjutkan kerja saya sehingga lewat malam.

Sebenarnya bukanlah sebab nak jujur sangat, cukupkan masa 8 jam bekerja, tetapi tuntutan kerja yang memang perlu dihantar secepat mungkin.

Untuk itu, banyak kali jugak la kejadian tidak tidur malam berlaku. Hujung minggu juga macam tiada beza kerana masih perlu menyiapkan kerja.

Cerita setakat ini sahaja dah cukup menggambarkan sedikit tekanan yang telah saya alami. Ya. Ramai yang kata, kerja memang takkan habis, kenapa perlu utamakan kerja? Beginilah jika kita berkerja di dalam kumpulan dan kita adalah golongan bawahan.

Kumpulan kita pula adalah penentu dan penggerak kepada ekonomi syarikat kita. Syarikat kita kejar “deadline”, kita lah yang kena berhempas pulas nak siapkan sebelum “deadline” tu. Kalau tak, syarikat kita akan menanggung kerugian.

Sejak mula PKP, sehingga kini, dah lebih setengah tahun sistem pembelajaran anak-anak diteruskan secara atas talian.

Sepanjang tempoh ini juga, saya terpaksa berpenat-lelah menghadapi semua perkara ini sendiri disamping kerjaya saya yang perlukan tumpuan lebih dalam pelaksanaannya,

Ditambah pula dengan urusan harian seperti mengemas rumah, memasak dan menguruskan anak-anak.

Saya pasti kebanyakan ibu-ibu yang bekerja juga sama situasi macam saya. Kalau anda semua dapat hadapi dengan tenang, saya memang kagum dengan anda. Ya. Saya juga pengguna setia Food Panda dan Grab Food, tapi kadangkala rasa menipis jugak la wallet tu.

Perkara yang membuatkan saya bertambah tertekan adalah, saya risau anak-anak saya ketinggalan dalam pelajaran.

Disebabkan urusan kerja saya yang sentiasa nak kejar progress, kalau tak kejar nanti bos kejar saya, saya tak sempat nak bimbing anak-anak saya belajar.

Walaupun anak yang sulung dah agak besar, dia sentiasa perlukan bimbingan, kalau tak memang kelautlah dia dengan youtube tak henti-henti. Hari-hari terpaksa maknya jadi singa dulu nak suruh mandi, solat dan sebagainya.

Maka, tak belajarlah dia hari tu. Masalahnya bukan setakat hari itu sahaja, hari-hari berikutnya masih berulang perkara yang sama. Ya. Saya cuba “catch up” di hujung minggu. Tetapi tetap terbatas kerana hujung minggu saya tidak seperti dahulu.

Anak yang kedua pula walaupun masih di peringkat tadika, saya risau dia masih belum pandai membaca.

Bagi saya, itu yang paling penting untuk peringkat umurnya. Sekurang-kurangnya dia dah bersedia untuk bersekolah darjah 1. Walaupun sistem pembelajarannya diteruskan secara kelas “online”, namun, sangatlah susah nak memujuk dia supaya join.

Kalau berjaya pun, maknya perlu berada di sebelah juga sebagai pembakar semangat agaknya. Kalau tak dipujuk dan diajak, yang ini juga akan kelaut dengan game dan youtubenya juga.

Mungkin ada silap juga disini di mana kami memberikan mereka gajet dengan “wifi” yang tersedia. Namun apakan daya saya, saya tak mampu nak “handle”. Semasa di peringkat awal PKP dulu, saya terlalu stress kerana terlalu banyak gangguan semasa bekerja.

Sekurang-kurangnya, dengan adanya gajet, sedikit perhatian mereka teralih kepada gajet. Maafkan saya. Mohon fahami saya yang menguruskan aktiviti harian tanpa bantuan sesiapa. “Work From Home Is a Real Struggle”.

Anak ketiga pula, buat masa ini kurang menambah tekanan saya. Cumanya dia masih menyusu badan. Kadang-kadang ada perkara yang terbatas sebab memenuhi kehendak yang ini.

Maaf, kalau ada yang tidak senang kalau saya kata saya masih menyusu badan kepada anak yang 2 tahun ini.

Yang ini saya jadi kesian, sebab tabiatnya perlukan maknya kalau mahu tidur. Jadi kalau saya terpaksa bekerja sampai pukul 4 pagi sekali pun, dia masih setia bersengkang mata tunggu di sebelah saya.

Macam inilah sedikit sebanyak gambaran rutin harian saya sepanjang tempoh WFH. Semua perkara perlu terkejar-kejar.

Pendek kata, perjalanan “Work From Home” saya adalah penuh dengan emosi. Bukan suami tak tolong, tapi masanya di rumah adalah terhad.

Tak ketinggalan juga, satu lagi perkara yang menyumbang kepada tekanan saya ialah, sepanjang tempoh ini, berat badan saya dah naik lebih 10 kilo.

Stress saya fikir macam mana nak berhadapan dengan kawan-kawan pejabat nanti bila dah kembali bekerja. Anak-anak pun pandai menegur perkara ini. Ya. Saya stress.

Mohon doakan suami saya dimurahkan rezeki. Sebab saya nak berhenti kerja.

– Nor Aini (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *