Assalamualaikum. Pertama sekali aku minta maaf jika kandungan penulisanku tidak teratur. Aku seorang duda yang melepaskan isteri aku sebab keadaan tersepit dan dipaksa oleh mertua. Kami bercerai tanpa memiliki cahaya mata.
Setelah tempoh sekian-sekian, aku melihat banyak perkara yang menimpa bekas isteri. Pada asalnya aku sudah tetapkan fikiran untuk tidak lagi mendirikan rumah tangga kali kedua dengannya. Tetapi lama kelamaan terutama selepas memikirkan keadaan buruk yang menimpanya, aku cuba untuk menggagahkan diri mengambilnya kembali.
Dari segi keadaan diri aku, aku bahagia hidup berseorangan sekarang. Boleh kata, aku sudah ada kehidupan aku sendiri dan banyak perubahan positif yang aku alami selepas cerai. Keadaan kewangan aku juga semakin stabil. Tetapi jika aku mengambilnya kembali, banyak perkara yang aku perlu pertaruhkan. Aku cuba fikir positif yang dengan mengambil saranan agama bahawa Allah sentiasa membantu seseorang selagimana dia membantu insan lain.
Tetapi satu sudut, ada satu perkara yang menjadi kebimbangan aku. Aku melihat cara bekas isteriku ini selalu kongsi berkenaan tips rumah tangga dan kadang kala perkara itu sebenarnya boleh membayangkan perhubungan yang pernah dialaminya secara tak langsung membuka sedikit sebanyak gambaran perwatakan bekas suaminya (atau dalam makna lain menggambarkan cara dia memandang diri suami tanpa penilaian yang adil).
Aku pula paling tidak suka perkara berkaitan rumah tangga dihebohkan kepada orang lain terutama kekurangan diri dan kekurangan pasangan. Jika orang yang tahu pasal perceraian kami, aku akan elak sedaya upaya dari hebohkan atau paparkan di media sosial walaupun semata-mata tentang tips rumah tangga.
Contoh tips rumah tangga ni seperti berkongsi tentang sikap isteri yang patut dijauhi. Ataupun juga contohnya kesedihan berpisah dengan isteri atau sesuatu yang jika dikongsi berulang kali akan membuatkan orang boleh membayangkan keadaan hubungan atau rumah tangga. Biasanya perkara ini berlaku di kalangan perempuan.
Sebagai contoh dia paparkan di facebook tentang kesedihannya akibat ditinggalkan. Tak lama kemudian dia paparkan keratan status yang menyatakan suami sebenarnya bertanggungjawab atas segala keadaan rumah tangga. Dalam makna lain, jika aku yang membacanya, aku akan terfikir yang dia sebenarnya satu sudut menunjukkan sisi buruk perhubungan yang dialaminya dan faktor kepada keburukan itu terletak kepada suami yang kurang mengambil peranan.
Entah la. Aku cuba positif, malas nak ambil kira sangat emosi perempuan yang kena lalui fasa selepas perceraian ni. Tapi satu sudut, aku rasa kecewa juga. Pernah aku baca dari ayatnya sendiri yang mengatakan aku pentingkan diri dengan lari dari konflik. Sebelum ni aku pernah dengar ura-ura dari keluarga terdekat aku, dia dengar dari mulut kenalannya yang juga kawan kepada bekas isteriku yang mana kalau tak silap aku, aku culas bagi nafkah.
Secara logiknya aku cuba fikir, siapa yang cerita benda ni kalau bukan dia? Cerita pula benda tak betul. Lepas cerai pun aku bagi lebih dari tempoh iddah berbulan-bulan duit sara hidup dia. Ada juga aku perasan ada orang terhormat dalam komuniti kami yang seolah-olah sinis terhadap golongan suami yang bila aku fikir balik ciri-ciri manusia yang dimaksudkan tu memang dekat sangat dengan ciri yang ada pada aku.
Sekali lagi, siapa yang buka kalau bukan dia? Tapi, bagi aku kalau datang dari mulut orang lain tu tak penting. Cuma bila dia sendiri yang selalu pamerkan dirinya di media sosial sebagai seorang yang bujang dalam keadaan ramai dari kenalan kami yang tahu kami pernah berkahwin, tunjukkan pergaulan yang bebas berbalas komen dengan lelaki lain di medsos, tunjuk keadaannya yang seolah-olah menjadi mangsa rumah tangga, apa lagi nak diharap?
Faktor dari pihak keluarganya tidak pernah pula disebut. Tidak pernah pula dikongsi tips yang berkaitan campur tangan mertua. Bahkan dipamer hubungan akrab dengan ibu bapa dalam masa yang sama diberi bayangan seolah-olah bekas suami berperilaku negatif dalam mengendalikan rumah tangga.
Lepas aku cerita semua ni, tak tahu la kalau ada orang akan cakap aku hanya cerita sisi baik aku tanpa cerita dari sisi bekas isteri. Ikutlah. Itu bukan kerja aku kena kawal apa yang orang fikir.
Ini pun aku cuba tapis supaya pembaca tak dapat agak siapa kami sebenar. Yang paling utama, aku malas nak bagi bekas isteri dapat agak siapa penulis luahan ini. Nanti dia emo tak habis pula. Aku asalnya nak ambil dia, nak bantu dia bina life dia balik. Oh ya, dia yang berkali-kali cuma dekati aku lepas cerai. Tapi sekarang ni aku dilema dengan sikap dia yang bagi aku buat rahsia rumah tangga mudah terbuka.
Kalau ada pandangan, boleh la kongsikan ye semua. Terima kasih.
– Abe (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit