Dilema OKU Penglihatan Buta Dewasa

Terima kasih admin IIUM Confession atas penyiaran penulisan saya. Lama rasanya tak menulis di ruangan ini setelah sibuk dengan kehidupan seharian.

Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan, saya banyak terlibat dengan aktiviti luar bersama golongan senasib OKU Penglihatan. Dan pelbagai latar belakang serta ragam manusia yang saya jumpa. Walaupun mata buta, tetapi tetap penuh dengan 1001 macam al-kisah itu ini.

Kali ini saya lebih tertarik pada perjalanan sebagai OKU Penglihatan buta dewasa atau adult blind. Kalau dibandingkan dengan buta sejak lahir / buta ketika usia sekolah rendah & menengah, sememangnya perkara ini sangat besar jurang perbezaannya dalam menjalani kehidupan seharian.

Kebanyakan mereka akan memulakan fasa peralihan kehidupan baru melalui program pemulihan di Lembah Kinta dan juga di persatuan OKU Penglihatan di negeri masing-masing.

Dari situ mereka mula menyesuaikan diri dengan rakan senasib, berperang dengan emosi yang masih belum menerima hakikat buta, membiasakan diri dengan titik braille, serta menggunakan telefon / komputer berbantukan pembaca skrin bersuara (screen reader).

Itu belum lagi urusan kehidupan seharian nak asing baju, nak padankan baju, basuh baju, memasak, dan sebagainya.

Lepas tu perlu biasakan diri untuk banyak bertanya waktu nak pilih barang di kedai. Tanya itu ini pada staf kedai. Kalau tak, nanti silap barang pulak. Masalah lagi bila nak beli baju ke seluar ke kasut. Memang terpaksa cerewetlah katanya.

Itu belum lagi bila tiba part nak pilih bidang kursus & cari kerja yang sesuai. Selalunya lepas menjalani latihan pemulihan macam belajar guna tongkat putih & asas kemahiran hidup, masing-masing akan fikir nak pergi mana pula lepas ni. Takkan balik rumah tanam anggur kot (penganggur).

Dulu masa celik bukan main belajar diploma akaun, degree admin, kerja swasta, dan lain-lain. Habis tu, takkan tak ada kerja yang boleh dibuat ikut kelulusan sedia ada. Lepas tu, pakat dengan member untuk masuk belajar kursus di KL / negeri masing-masing.

Kebiasaannya kursus utama yang ditawarkan ialah kursus urut badan dan refleksologi. Kursus lain macam perkeranian, operator telefon, dan kemahiran komputer tu ikut nasiblah kalau ada rezeki kan.

Bila dah daftar & masuk belajar lebih kurang sebulan, ada pula yang nak tukar kursus. Alasannya kursus yang dipilih ni susah nak dapat kerja. Kemudian tukar ke kursus urut badan / refleksologi pula.

Yang mana rasa dapat bertahan dengan kursus masing-masing, teruskan perjalanan. Tapi bila dah habis praktikal, rasa macam susah nak dapat kerja kalau bahagian perkeranian, operator telefon, dan kemahiran ICT. Walaupun ada NGO buta sekalipun, kuota jawatan kosong pun tak banyak.

Kalau nak mengharapkan syarikat luar, majikan tak berani nak ambil pekerja OKU sebab takut menjejaskan prestasi syarikat. Lagipun persepsi majikan yang OKU ni banyak nak diurus dan belum tentu boleh buat kerja. Polisi 1% pekerja OKU hanyalah angan-angan kosong.

Jadi mahu tak mahu, lepas habis belajar, pergilah ambil kursus part time untuk urut badan / refleksologi. Kalau untung nasib, ada kedai yang mencari pekerja.

Tapi selalunya kedai orang celik yang banyak cari tukang urut ni terutamanya kawasan bandar. Kalau nak harapkan kedai urut majikan OKU Penglihatan ni, kebanyakannya dah ada regular worker & regular customer.

Dan majikan ni pun nak jaga regular customer daripada lari tempat lain bila urutan tak sedap, jadi tak mudah juga pekerja baru nak mula bekerja di kedai.

Memang tak dinafikan, kedai golongan OKU Penglihatan ni bayaran lebih murah berbanding spa. Tapi bila pengurusan marketing tak seberapa, customer pun jadi tak seberapa kan.

Bila dicadangkan untuk rekrut generasi muda OKU Penglihatan yang mahir ICT untuk uruskan bahagian marketing, majikan beri alasan susah nak bayar gaji mereka. Jadi? Terpulanglah pada kedai masing-masing untuk terus maju.

Nak buka kedai sendiri, kena ada modal 10k ke atas ya. Nak urut rumah ke rumah, risiko sekarang tinggi kalau pergi seorang diri. Silap hari bulan kena ragut. Kalau tak pun, kita pula dituduh mencuri barang rumah pelanggan.

Kalau nak minta pelanggan datang rumah untuk diurut pun satu hal lagi. Ada yang bawa anak & kawan ke rumah. Lepas tu rumah disepahkan dengan sisa makanan, air tumpah, dan ada barang hilang. Tak ke menyusahkan diri-sendiri tu?

Kedai urut dan spa ni pun berlambak jugak di kawasan bandar. Kalau kedai orang celik ni, macam-macam demand. Selain nak ada sijil tauliah, nak pandai berdikari, panai komunikasi, urut sedap. Lepas tu guna tenaga pekerja OKU ni macam robot. Kerja berterusan tak ada rehat yang secukupnya.

Nak mohon MC bila betul-betul sakit pun susah nak lepas. Majikan ni ingat urut badan / refleksologi ni tak penat macam orang kerja bahagian dokumentasi? Cuba try urut seorang customer selama dua jam. Baru tahu rasa macam mana tinggi langit bumi.

Tapi belum lagi majikan tak bayar gaji / lambat sangat bayar gaji. Ada juga jumlah gaji tu sengaja dikurangkan kalau kita sendiri tak kira betul-betul. Majikan boleh jer bagi 1001 alasan kenapa gaji tak dibayar ikut kiraan sepatutnya. Kos kedai tinggilah, itulah, inilah.

Ada juga majikan yang sediakan tempat tinggal. Tapi bercampur lelaki & perempuan kan. Tu belum lagi kedai yang kurang pelanggan. Dua tiga hari di kedai, baru ada seorang pelanggan datang nak urut badan.

Macam mana nak teruskan hidup kalau dah macam ni peluang pekerjaan yang ada? Hujung-hujung, buatlah part time lain lagi macam busking & berniaga bisnes jual tisu.

Nak harapkan persatuan? Persatuan pun tak dapat membantu apa dalam hal ni. Sembang kencang jer lebih. Setakat yang kami tahu, persatuan ni hanya sediakan tempat latihan. Cari kerja tu sendiri punya hal yer.

Sistem sokongan langsung tak boleh harap sebab tak ada kerjasama antara persatuan dengan syarikat / majikan luar.

Nak harapkan family? Family kebanyakannya overprotective & susah nak bebas berdikari bila dah berada di rumah satu family. Nak naik Grab sendiri, nanti dikata bahaya takut sesat. Nak harapkan family hantar, nanti sambil tolong tu merungut itu ini dan kadang-kadang masing-masing sibuk dengan komitmen.

Nak harapkan kawan? Kawan pun dua kali lima nak cari kerja kat kedai mana lagi. Peluang kerja yang sesuai dengan perkeranian, operator telefon, dan berkaitan ICT? Mimpi dalam ilusi jer lah kan.

Itulah yang saya perhatikan apabila pemikiran ilusi melebihi pemikiran realiti. Kursus yang ditawarkan di pusat latihan bukan main gah. Tapi tetap berkesudahan dengan bidang urut bila dah tak ada pilihan kerja lain.

Saya sendiri ada cuba berusaha untuk bekerjasama & menyumbang idea kepada persatuan / NGO blind sendiri serta beberapa individu yang celik mengenai peluang kerjaya selain bidang urut, busking, jual tisu. Tapi tidak ada satu respon yang positif yang saya terima setakat ini.

Idea yang saya cadangkan adalah mewujudkan satu syarikat / kedai yang boleh menjadi rujukan berkaitan ICT oleh seluruh golongan OKU Penglihatan di Malaysia sekiranya menghadapi permasalahan ICT sama ada komputer, laptop, dan smartphone.

Dan juga jadikan medium ini sebagai pusat rujukan serta melatih kepakaran coaching mengenai sesuatu alatan teknologi yang membantu golongan OKU Penglihatan.

Sebab ramai generasi muda OKU Penglihatan memiliki bidang kemahiran masing-masing dalam ICT, tapi tiada usaha untuk menggilap dan menghargai kepakaran mereka.

– @hydanza (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *