Dilema Seorang Anak

Assalamualaikum semua pembaca IIUM Confession. Kali ini tergerak hati untuk aku berkongsi kisah mak aku. Entri ini agak panjang dan mohon kalian bersabar ketika baca ya!

Untuk pengetahuan semua, mak aku sudah menjengah usia 51 tahun ini. Yang ingin aku kongsikan adalah sikap dan peragai mak aku yang pada pendapat aku agak mementingkan diri. Sebelum itu, aku ceritakan sedikit megenai keluargaku.

Aku merupakan anak sulung dari 4 beradik. Kesemua adik aku masih belajar. Ayahku bekerja sebagai pengawal keselamatan disebuah apartment. Keluarga aku dikategorikan sebagai B40. Aku pula bekerja di sebuah syarikat swasta. Disini aku senaraikan beberapa kejadian yang telah berlaku;

1. Bernada tinggi terhadap ayah. Untuk pengetahuan semua, ayahku seorang yang bercakap lembut dan tidak pernah sesekali memarahi anak-anak. Jika anak melakukan kesalahan, ditegur ayah dengan baik. Namun, jikan dibandingkan sikap ayah dengan mak sangat berbeza. Disini, bukan aku membela ayahku.

Tapi apa yang aku lihat dihadapanku salah sekali. Mak aku seringkali bercakap dengan nada kasar dan tinggi dengan ayah walaupun ayah hanya menanyakan benda-benda kecil. Namun dibalas kasar bersama mimik muka yang tidak sepatutnya dari mak.

Nada yang sama juga dibalas jika anak-anak bertanya. Belum lagi dikira waktu “bad mood” mak sampaikan bekal makanan ayah aku langsung tidak dihiraukan. Jika ditegur kesalahannya, pasti tidak akan bertegur sapa dengan ayah. Bagi aku, ayah aku seorang yang sangat penyabar.

Aku ingat lagi kegigihan ayah berulang-alik menghantar makan setiap hari untuk nenek (belah mak) yang sakit di kampung. Bukan sebulan dua, tapi berbulan-bulan hingga sekarang. Namun, yang menjadi pertanyaan aku bila mak sering memarahi ayah apabila ayah hendak membantu adik-beradik ayah.

Pernah menjadi pertelingkahan besar berpunca apabila ayah hendak menghantar anak kakaknya ke airport namun tidak dibenarkan mak. Aku sebagai anak pun tidak memahami sikap mak ku walhal dia tidak mempunyai masalah dengan keluarga sebelah ayah.

2. Isu motosikal. Terdapat 2 buah motosikal dirumah aku. Satu merupakan kepunyaan ayahku, motor yang sudah uzur dah berusia hampir 23 tahun manakala satu lagi dibeli oleh mak aku untuk kegunaan kami (anak-anak) dirumah.

Mak aku tidak pandai memandu atau menunggang motosikal. Motor yang dibeli itu pernah digunakan aku dan adik aku sewaktu zaman praktikal dulu.

Hendak dijadikan cerita, motor ayahku asyik rosak (susah untuk hidupkan dan kerosakan bahagian enjin). Sudah banyak kali ayah menghantar motor itu ke bengkel untuk diperbaiki. Namun, seringkali kerosakan itu terjadi.

Disebabkan keuzuran motor tersebut, ayah sering menggunakan motor kepunyaan mak. Namun, aku agak terkilan dengan sikap mak aku yang asyik marahkan ayah kerana menggunakan motor kepunyaannya untuk melakukan kerja harian seperti ke pasar dan menghantar adikku kesekolah.

Seringkali dibebel ayah akan merosakkan motor tersebut. Disebabkan sikap mak aku, ayah aku tetap menggunakan motor lama untuk ke tempat kerja. Satu hari, ketika hendak keluar ke tempat kerja, motor ayah rosak.

Langsung tidak dapat dihidupkan. Aku terdengar sedikit pertelingkahan dimana ayah meminta untuk menggunakan motor mak tapi mak seperti tidak mengizinkan dan acapkali dibebel akan merosakkan motor kepunyaannya. Tergambar raut wajah ayah yang agak kecewa.

Namun akhirnya mak aku mengizinkan dengan nada yang kasar. Selepas itu, ayahku nekad itu tukar motor lamanya dengan membeli motor baru. Sejak adanya motor baru, mak bising pula kerana tiada siapa yang menunggang motor mak memandangkan aku mempunyai kenderaan sendiri.

3. Duit. Ini menjadi isu yang agak besar dalam diri mak aku. Apa yang aku perhatikan mak aku sangat mementingkan duit dari menjaga hati suaminya. Misalnya duit bantuan kerajaan yang diterima seringkali menjadi pertelingkahan.

Ayahku tidak pernah lupa untuk memberi separuh duit tersebut kepada mak. Tapi yang dimahukannya lebih dari itu. “Kesian ayah”, seringkali hadir dibenak fikiranku.

Duit itulah yang digunakan sebagai tambahan membeli barang harian dan membayar bil-bil rumah. Ayah seringkali melupakan kehendak dirinya untuk mak dan anak-anak.

Mak aku seorang surirumah namun gayanya dilihat seperti cikgu yang bergaya. Barang-barang yang dipakainya semua “branded” dengan tudung dan bajunya yang mahal harganya.

Manakala ayah, baju yang dipakainya sudah lama dan lusuh. Jika ingin membeli baju baru, pasti mak akan bising kononnya membazir dan disebabkan itu ayah selalu membeli tanpa pengetahuan mak.

Aku sangat kecewa sikap emak yang tidak memahami tahap kewangan ayah. Malahan, aku dan adik-adikku jarang sekali meminta sesuatu yang diluar kemampuan ayah.

Sebagai seorang anak yang bekerja, aku membelanjakan gajiku untuk belanja keluarga seperti membeli barang dapur dan lauk basah. Untuk mak, aku memberi dia sebanyak RM100 sebulan (tidak termasuk duit membeli barang dapur dan lauk basah).

Namun, menjadi isu apabila aku dinaikan gaji tahun ini. Mak aku menyuarakan duit bulanan yang diberi aku kepadanya tidak cukup. Untuk pengetahuan semua, aku ada membeli barang elektrik di rumah dengan bayaran ansuran sebanyak RM200 sebulan.

Dan jika dijumlahkan komitment aku untuk keluarga hampir RM800 sebulan. Bahkan duit bulanan yang aku beri kepada mak seringkali dibandingkan dengan duit bulanan ayah saudaraku (yang bergaji hampir 10k sebulan) terhadap nenekku.

Awal bulan Mei lepas, aku menggunakan duit simpanan aku untuk pengubahsuaian rumah untuk keselesaan mak dan ayah dirumah.

Yang aku agak terkilan bila mak aku agak “demand” dengan barang-barang dipilih dan paling tidak dapat aku lupakan ayatnya “siapa yang suruh nak buat sangat, bayar saja la” tanpa memahami bajet kewangan aku. Kejadian itu membuatkan aku agak “down” dengan sikap mak aku.

4. Membandingkan anak sendiri dengan anak orang lain. Paling terkilan bila dibandingkan dengan anak orang lain. Diibarat seperti aku anak yang langsung tidak berguna untuk keluarga.

Memikirkan kewangan keluarga aku, aku mengambil keputusan untuk bekerja dan membatalkan hasrat dan impianku untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana.

Namun, mak aku sering membandingkan aku dengan anak jiran yang belajar di peringkat sarjana kononnya lagi bagus dan sebagainya. Aku menahan rasa sebak bila niat aku kerja untuk membantu keluarga dipertikai seperti itu.

Hidup kami sekeluarga pun agak senang setelah aku mendapat kerja. Apakah perkara ini tidak disedari mak aku? Berbeza dengan ayah yang sering menjadi penyokong dan pendorong hidup aku. Ayah sering memujuk aku berfikir positif mengenai segala keputusan hidup aku.

Di atas adalah serba sedikit kejadian yang pernah berlaku. Bukan niat aku berkongsi kisah ini untuk mengaibkan mak sendiri, bukan!

Aku sangat bersyukur mempunyai seorang mak dan dapat merasai kasih sayang seorang ibu. Tambahan pula, mak aku seorang yang pandai memasak.

Aku hanya ingin memohon pendapat kalian semua apa yang harus aku lakukan sebagai seorang anak dan cara sepatutnya menegur perangai mak. Aku sayang mak aku.

Mohon komen-komen yang positif bagi membantu aku, seorang anak yang dilema. Terima kasih.

– Si Anak (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *