Assalamualaikum. Aku sangat berharap tulisan ini dapat disiarkan memandangkan aku sangat memerlukan pandangan kalian.
Aku perempuan, berusia 30 tahun.. ada 7 adik beradik, 2 kakak 2 abang dan 2 adik lelaki. Kedua kakak telah bercerai tahun lepas. Ibu pula ada diabetes dan tidak berapa sihat kebelakangan ini.
Ayah pulak seorang peneroka dengan wang sara hidup RM 1,200.00 sebulan. Terpaksa membuat kerja kampung lantaran terpaksa menanggung ibu, kakak pertama yang telah bercerai dan bersama 5 anak perempuannya.
Dilema adalah berkaitan kakak no. 2, dia janda anak 4, anaknya semua lelaki berusia paling tua 13 tahun dan paling kecil 4 tahun.
Kakak sekarang menetap di kampung bekas suami, bekerja di stall buah-buahan dan menerima banyak bantuan dari masyarakat sekeliling. Dia paling rapat dengan aku,boleh kata setiap 2 hari akan call dan cerita berkaitan apa saja.
Dilema yang dihadapi sekarang adalah dia mula berhubungan dengan suami orang, yang telah lama berhajat mencari isteri ke-2, disebabkan masalah yang dihadapi bersama isteri pertama.
Isteri pertama dikatakan panas baran, kurang ajar dengan keluarga dan kawan-kawan serta tak disukai oleh orang sekeliling. Mengherdik suami adalah perkara biasa baginya.
Si suaminya orang berada, mempunyai 5 orang anak, dan mempunyai harta serta kemampuan untuk berkahwin lain. Beliau sebaya dengan ibuku dan hanya muda setahun dari ayahku. Sifatnya yang matang & mempunyai ilmu agama menambat hati kakak namun tak disenangi olehku.
Aku telah berkahwin namun belum dikurniakan zuriat. Aku juga mempunyai prinsip tidak suka mengganggu suami atau rumahtangga orang lain. Jadi, sifat kakak sekarang sangat bertentangan dengan prinsip aku.
Kakak cuma meyakinkan aku dengan bermacam cara supaya aku setuju berjumpa dengan lelaki ini dan merestui hubungan mereka. Aku pula malas kerana bagiku, kakak boleh mendapat jodoh tanpa berpoligami.
Dia masih muda berusia 38 tahun dan masih cantik. Peribadinya yang baik, ramah dan rajin membuatkan aku yakin pasti ramai boleh tertambat hatinya. Aku percaya lelaki tersebut baik & mampu namun tidak mahu kakak masuk dalam masalah rumah tangga yang kompleks seperti ini.
Kakak mengatakan semua ini adalah aturan Allah dan dia tidak upaya untuk menolak disebabkan Allah menggerakkan hatinya untuk setuju dengan pinangan lelaki ini. Katanya manusia ini hopeless dan semuanya berlaku atas kehendak Allah.
Aku mengatakan dia masih punya pilihan tetapi dia menafikan. Katanya, semua kuasa Allah dia berjalan bekerja, hatta membuka mata untuk tahajjud semuanya dengan kuasa Allah dan dia tak mampu berbuat apa-apa, namun hanya setuju untuk dijodohkan dengan lelaki ini.
Sebagai adik, aku mahu dia hidup senang dan bahagia. Aku tegas mengatakan aku tidak suka dengan pilihannya namun aku tidaklah menghalangnya berkahwin, cuma risau dia terlibat dalam masalah poligami dan lain-lain dikemudian hari.
Apa pandangan kalian dan apakah yang harus aku lakukan menurut kalian?
– Cahaya Petunjuk (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit