Dipaksa Berkahwin

Assalamualaikum warga IIUM Confession.

Saya nak minta pendapat semua pembaca yang budiman. Sesungguhnya saya tersangatlah buntu dengan keadaan yang saya sedang hadapi sekarang ini.

Saya telah dipaksa berkahwin oleh pilihan ibu saya memandangkan umur saya adalah 40 tahun pada tahun ini.

Ibu saya risaukan saya yang tidak mempunyai pasangan hidup, sedangkan saya bahagia dengan cara saya.

Saya dikatakan cantik, lemah lembut dan bertugas sebagai pensyarah universiti awam,

Dan saya sangatlah sibuk dan komited dengan kerja saya dan tugasan yang kadangkala sibuk dihujung minggu dengan kuliah dan bengkel-bengkel akademik.

Saya seorang profesional, bekerja dengan pendapatan tetap yang agak selesa untuk saya hidup sendiri buat masa ini.

Tahun lalu, saya ditunangkan dengan seorang duda dari pantai timur yang saya tidak mempunyai perasaan langsung padanya.

Saya ceritakan sedikit latar belakang dia. Dia seorang duda yang tersangatlah introvert, pernah berkahwin selama 5 tahun dan tidak mempunyai anak. Saya namakan dia sebagai Mat.

Mat adalah seorang yang senang, dari keluarga yang baik dan berjaya. Adik mat telah berkahwin dengan anak makcik saya (sepupu saya) dan mereka nampak bahagia.

Satu hari, Mat ternampak gambar hari raya saya dan keluarga saya dan bertanya tentang saya.

Beliau berkenan dengan saya dan memberitahu ibunya. Ibunya yang juga besan kepada makcik saya telah memberitahu ibu saya.

Ibu saya yang sememangnya risaukan saya yang belum berumahtangga, terus setuju dan memberitahu saya untuk menerima pinangan mat.

Saya sedikit terkejut, dan saya katakan yang saya tidak bersetuju. Namun, ibu saya sangat suka kepada lelaki itu dan keluarga senangnya dan memaksa saya berkahwin.

Mulanya dikatakan untuk merisik sahaja, namun, pada hari kejadian, saya terus ditunangkan tanpa persetujuan saya.

Saya menangis semahu-mahunya, namun, adik beradik saya suruh saya bersabar kerana Mat ini nampaknya baik dan dari keluarga yang baik baik dan berada.

Mat ada berjumpa saya dua kali di mana saya menyatakan pada dia yang saya tidak ada perasaan pada dia dan saya juga tidak suka pada janji yang diberikan pada awalnya untuk merisik, tetapi terus bertunang.

Saya langsung tidak pernah memakai cincin pertunangannya.

Jawapan Mat, dia faham dia tak punya apa-apa berbanding dengan saya.

Mat berkata beliau faham saya ada pelajaran dan kawan yang ramai, sedangkan dia tersangat gemuk dan tidaklah begitu tinggi kelulusan akademik.

Saya sebenarnya tidak kisahpun dengan keadaan fizikal atau kewangan lelaki yang saya ingin jadikan suami, kerana saya lebih fikirkan soal hati dan diri lelaki itu sendiri.

Saya suka yang pandai berkomunikasi, pandai ambil hati atau ambil berat dan sentiasa ada dengan saya susah dan senang.

Saya langsung tidak ada selera dengan Mat ini kerana beliau tidak pandai berkomunikasi dan amatlah janggal bercakap dengan orang.

Bila saya tanya kenapa dia bercerai dengan isterinya dahulu (yang juga seorang pensyarah kolej), Mat berkata yang isterinya tidak mempunyai apa-apa perasaan lagi terhadap Mat dan minta dilepaskan.

Pada masa itu, saya ingin menunaikan umrah, dan saya katakan saya akan berdoa di sana, dan jika ada jodoh, adalah dan jika tiada jodoh, tiadalah.

Selepas pulang dari Mekah, saya masih tidak mempunyai perasaan terhadap Mat.

Selama tempoh bertunang selama setahun setengah, tidak pernah dia bertanya tentang kerja saya, apa yang saya sedang buat, how was your day ke…

Tidak pernah menghubungi saya setelah perjumpaan terakhir sebelum saya berangkat ke tanah suci.

Semua urusan perkahwinan diserahkan bulat bulat kepada ibunya dan ibunya yang berurusan dengan ibu saya.

Tiba tiba semasa bulan Ramadan yang lalu, ibu saya memberitahu yang kami akan disatukan pada hujung Syawal.

Alangkah terkejutnya saya, namun saya tidak berani melawan ibu saya kerana saya sangat hormatkan dia sebagai ibu.

Saya sangat stress memikirkan perkara ini. Semua persiapan telah dibuat, saya memang tidak boleh berbuat apa apa.

Mat tidak pernah bertanya apa apa kepada saya (sebab sifatnya yang sangat-sangat introvert itu).

Saya rasa tersepit dan rasa lebih baik mati dari hidup dengan orang yang saya tidak suka dan tidak rasa apa-apa, jauh sekali cintai.

Persoanlan saya, bolehkah saya meminta cerai pada malam pertama?

Kedua, bolehkan saya, atas sebab saya dipaksa berkahwin, tidak melayan Mat, kerana saya tidak ada apa-apa perasaan terhadap Mat?

Saya sangat menyampah untuk melihat mukanya. Namun, apabila melihat wajah ibu, saya rasa tidak sanggup untuk melukakan hatinya.

Tolong lah saya…

– Pengantin Paksa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *