Disisih Keluarga

Assalamualaikum. Terima kasih kerana memilih luahan saya.

Saya anak tunggal. Kini dah berkahwin dan masih belum dikurniakan cahaya mata. Kerana saya anak tunggal, saya membuat keputusan untuk tinggal dirumah keluarga saya bersama suami.

Kami berempat. Mungkin Insyaallah dalam masa 3 tahun lagi ibu bapa saya akan berpindah ke negeri lain, rumah baru mereka selepas pencen.

Antara sebab saya untuk terus tinggal dirumah keluarga adalah kerana saya sebagai waris tunggal mereka. Itu fahaman saya.

Bukan saya ingin mewarisi semua harta mereka, tapi saya percaya rumah ini dipenghujung hari nanti akan dijaga oleh saya andai mereka sudah berpindah ke negeri lain atau sudah tiada nanti. Ini lah rumah saya membesar dan tempat kenangan kami sekeluarga.

Tetapi selepas berkahwin, saya merasakan kurang selesa. Mungkin sebab sudah berumahtangga, saya mahukan privasi dan ada keinginan untuk ada rumah idaman.

Kedua ibu bapa saya kurang sensitif tentang perkara ini, dengan keadaan rumah yang semakin banyak barang dan kurang ruang.

Untuk masa hadapan pada saya, jika mempunyai anak agak tidak sesuai kerana tiada ruang lebih untuk anak bermain dan meletakkan barang dan pakaian.

Disebabkan keadaan itu, saya meluahkan hajat pada keluarga untuk membuat renovasi rumah. Hajat saya tak dipersetujui kerana mereka tidak mahu saya berhutang dengan bank.

Mereka beranggapan saya dan suami mampu untuk membayar kos renovasi dengan tunai. Luahan jujur dari saya, kami tidak mampu.

Tetapi keluarga saya seperti tetap dengan pendirian, segala kos atas tanggungan kami. Seolah ini projek kami, kami perlu usahakan. Sedangkan kebaikan ini untuk keselesaan semua isi rumah.

Dengan komen sebegitu, saya agak tertekan. Kekangan kewangan yang ada membataskan hasrat.

Jadi saya ambil keputusan untuk memperbaharui ruangan dapur dengan mengikut kemampuan saya. Kos dikongsi sama rata memandangkan mereka mahukan ia secara tunai.

Jika ada rezeki akan datang, 10 tahun lagi akan renovasi lain pula seperti ruang tamu dan bilik.

Namun, di antara waktu perbincangan dan sebelum keputusan dibuat ada kata-kata yang kurang selesa saya terima dari keluarga sendiri.

Keluarga merasakan saya dan suami seperti berkemampuan. Kami berusaha untuk beli kereta baru pada tahun ini kerana sejak dari usia 20an saya dan suami hanya pakai kereta keluarga.

Sedangkan perbelanjaan bulanan kereta baru nanti saya dan suami kongsi bersama. Hajat kami ini bukanlah lebih kepada kehendak tetapi keperluan. Kereta yang kami pakai sekarang sudah lebih 10 tahun dan banyak rosak.

Selepas mereka tahu kami akan memiliki kereta baru, ayah saya terdetik untuk mejual rumah yang kami duduki selepas mereka pencen.

Nilai rumah makin melonjak, dan mungkin wang hasil jualan boleh digunakan untuk perbelanjaan masa hadapan.

Selain itu, kebun dan tanah tinggalan keluarga kepada ayah juga akan diserahkan kepada sepupu saya. Bukan atas nama saya.

Untuk pengetahuan, rumah yang kami berempat duduki sekarang ini pun seperti berat untuk dipindah milik ke nama saya untuk tujuan pinjaman rumah.

Sebab itu kami tidak dapat membuat renovasi rumah. Ibu juga begitu, ingin menjual rumahnya yang disewakan sekarang untuk menampung hutang rumah baru di negeri lain itu.

Hasil duit pencen tidak mencukupi untuk membayar hutang rumah dan kereta yang dipakai sekarang. Saya yang mendengar, terus terdiam.

Selain dari hal ini, saya agak sedih dengan cara pemikiran kedua ibu bapa saya. Seperti saya disisih. Ayah minta pada suami untuk bawa saya tinggal di rumah mertua, lebih mudah katanya.

Ayah tak memikirkan keselesaan saya di rumah mertua yang memerlukan saya memakai tudung 24jam dihadapan ipar yang lain kerena mereka masih bujang. Saya rasa seperti dihalau.

Ayah beritahu suami juga untuk mengeluarkan kos belanja rumah mengikut kemampuan kami. Buat ala kadar. Berkaca mata saya tiap kali bercakap tentang ini. Tiada sokongan dari keluarga. Bagai diperli lagi untuk tinggal keluar dan berusaha lah hidup sendiri.

Berbeza sungguh dengan keluarga lain. Ibu bapa sayang pada anak. Walaupun anak ramai, berusaha untuk memberi kediaman yang selesa.

Berusaha memberi keperluan yang cukup. Waktu saya di universiti hingga alam bekerja. saya mula menggunakan kereta ibu untuk ulang alik ke rumah. Kereta tersebut saya minta pinjam sebab ibu ada dua kereta waktu tu.

Kalau fikiran logik orang lain, mungkin akan serahkan saja satu kereta untuk anak kan? Tapi tidak pada ibu. Ibu perli saya seolah saya pakai kereta percuma.

Jadi saya bayar bulanan RM300 pada ibu, dan menanggung segala kos baikpulih kereta yang mencecah hampir seribu setiap kali ke bengkel selepas kereta telah melebih usia 4 tahun.

Waktu itu saya tak rasa cara ibu mendidik tu pelik. Tapi lama kelamaan saya rasa saya tak dilayan seperti anak tunggal.

Seolah saya perlu membayar semua jasa mereka kini. Ibu saya agak berat untuk mengeluarkan duit untuk renovasi dapur.

Jika berbelanja di luar pula, saya tidak akan meminta ibu saya belikan apa-apa untuk saya. Kerana apa? Kerana nanti ibu akan tuntut.

Saya bercakap pada suami, andai kata memang itu cara mereka akan layan saya nanti setelah mereka pencen janganlah mereka bertanya pada saya kenapa saya akan jarang berjumpa mereka. Sampai tahap tu saya berfikir. Kerana saya sedih.

Saya anak tunggal, tapi seolah selama saya dibesarkan saya ini hanyalah bersifat sementara dan saya perlu membayar semua tanggungan saya dahulu dengan cara menggunakan sepenuh gaji saya, tanpa merasakan saya juga punya hak untuk merancang masa depan saya.

Mujurlah dahulu kos pengajian saya tidak ditanggung keluarga, pasti ibu akan minta untuk saya bayar semula.

– – (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *