Assalamualaikum WBT semua,
Saya pernah hantar posting sebelum ini di sini, di mana isteri saya memang liat nak urus rumah memandangkan dia bekerja dari 8 pagi hingga 6 petang. Kadang-kadang, malam pun ada mesyuarat.
Setakat ini, saya banyak menguruskan rumah dengan memasak dan memantau keadaan anak-anak.
Baru-baru ini, saya dimasukkan ke hospital kerana sakit. Pada ketika itu, isteri saya outstation. Saya sedikit terkilan kerana sewaktu saya dimasukkan ke hospital, isteri saya tidak balik untuk menjenguk saya.
Saya beranggapan bahawa kerjanya banyak di sana dan besar kemungkinan akan memakan kos untuk pulang dengan penerbangan.
Pada ketika itu, saya terkilan kerana berasa keseorangan dalam keadaan yang bagi saya agak getir.
Sepulangnya isteri saya, beliau jumpa saya sekejap di hospital dan terus masuk kerja semula. Malah, saya perlu mendapatkan rawatan susulan selepas keluar hospital, dan semua ini saya pandu sendiri.
Saya ingat lagi ketika isteri saya sakit, setiap kali rawatan susulan di hospital, saya akan mohon cuti untuk bantu memandu dan menemaninya. Huhuhuhu.
Saya hanya memendam sahaja dan tidak beritahu isteri saya kerana saya tahu jika saya menegur, dia akan mendiamkan diri dan merajuk. Sudah banyak kali saya cuba menegur isteri saya, tetapi akhirnya kami akan bertelagah.
Saya secara jujurnya tidak suka bila kami bertelagah kerana kadang-kadang ayat saya agak tajam dan selalunya boleh mengguris hatinya meskipun saya cuba berlembut habis.
Sejak akhir-akhir ini, saya perasan jika rakan sekerja isteri saya sakit, saya nampak dia sangat mengambil berat—menelefon, menziarahi di hospital, bersusah payah mencari makanan yang diperlukan untuk rakan sekerjanya.
Saya agak terasa apabila melihat ini kerana saya merasakan, kenapa dia tidak buat begitu sewaktu saya masuk hospital?
Saya tahu, mungkin saya kadang kala banyak membebel sebab penat mengurus rumah. Saya juga bekerja office hour, dan saya juga penat. Kadang kala, saya hanya mahukan perhatiannya sahaja.
Bila isteri saya stres di tempat kerja, sepulangnya dia ke rumah, dia akan terus menghadap telefon dengan menonton rancangan Korea/Cina/Jepun yang bersiri.
Saya selalu tegur, saya kata, kalau boleh bila kita dalam bilik, kurangkanlah tengok telefon. Tetapi biasanya dia respon, “Awak pun sama tengok telefon.”
Kadang-kadang, saya tengok telefon sebab nak cari resipi untuk sahur dan berbuka. Yang selebihnya, saya tengok telefon sebab nak cari kekuatan untuk terus bertahan dalam hubungan ini. Saya sangat yakin, semua ini boleh dihadapi jika saya sendiri bersabar.
Jadi, saya ingin bertanya, saya betul-betul dah lama memendam perasaan sebab isteri saya tidak pulang sewaktu saya sakit.
Saya takut jika saya cakap, dia terasa, dan saya juga takut jika lama-lama saya pendam, ia jadi barah. Saya memang tidak suka bercerita dengan orang lain kerana saya tidak percaya kepada orang lain.
Mohon pandangan warga IIUM Confession.
– cuba jadi terbaik (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit