Ditindah “Sesuatu”

Jam menunjukkan 3:07 pagi. Aku terjaga dari lena, terasa sesak di dada.

Sebelum tidur, aku sempat meneliti gambar-gambar kahwin yang baru siap aku edit di aplikasi Canva.

Sambil itu, sebuah filem dari tab menjadi peneman malam sunyi.

Suami jauh di perantauan, hanya aircond yang menemani di kamar baru ini.

Entah bila mata aku terlelap, yang tinggal cuma suara sayup-sayup dari filem tadi.

Bila aku tersedar, aku menutup tab dan berpusing ke sisi untuk menyambung tidur.

Saat itulah, tubuhku seakan ditindih sesuatu. Berat—sehingga aku tak mampu menggerakkan diri.

Kepala terasa seperti disedut ke dalam ruang gelap. Ada bunyi asing bergaung, sukar aku gambarkan.

Lidahku kelu, ayat yang biasa kuhafal hilang entah ke mana.

Yang termampu hanyalah berulang-ulang menyebut,

“Bismillah… Bismillah… Bismillah…”

Di celah desah nafas yang tersekat, telingaku menangkap ketawa kecil, sayup-sayup, menghina.

Jantungku berdegup kencang. Aku cuba melawan. Nekad.

Aku terus berusaha membaca selawat, walau tersekat-sekat.

Dan tiba-tiba, genggaman halimunan itu terlerai. Nafasku kembali.

Aku ingin menjerit, namun suara hanya keluar hujung-hujung. Seperti dicekik.

Ini bukan ilusi. Bukan mimpi. Ini kali kedua aku ditindih dengan cara sama, sejak aku berpindah ke rumah ini dua bulan lalu.

Aku kumpul kekuatan, mahu berlari keluar. Tapi rasa fobia menahan langkah.

Aku takut, takut bila membuka mata, ada sesuatu sedang menunggu.

Akhirnya aku nekad masuk ke bilik ibu. Mujur pintunya tidak berkunci.

Malam itu, aku tidur di sisi ibu, sambil hati masih bergetar dengan rasa ngeri yang belum hilang.

– Nadh (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *