Doa

Aku sebenarnya dah lama nak tulis tentang kisah doa ni. Tapi aku tak reti nak tulis macam mana. Kalau tulisan aku ni agak simple, maaflah ye.

Sebelum aku cerita tentang tajuk ni, aku kenalkan diri aku dulu. Aku wanita, isteri dan ibu kepada 3 orang anak. Aku bekerja biasa-biasa je, suami aku pun sama, kerja yang biasa-biasa je.

Aku bersekolah bukan dari aliran agama, sekolah SMK biasa. Dulu masa kecil, aku belajar mengaji dengan jiran aku, tapi sekerat jalan je.

Lepas akil baligh, aku jadi malu nak pergi mengaji. Last-last aku tak pandai mengaji, sehingga aku ada anak, aku tumpang belajar mengaji dengan ustazah anak-anak aku, dan sekarang aku dah lancar mengaji.

Disebabkan “kejahilan” aku dalam bidang Al-Quran dulu-dulu, aku jadi susah nak baca doa dalam bahasa Arab. Jadi sejak dulu, aku baca doa dalam bahasa Melayu.

Bacaan dalam solat aku hafal, cuma part doa-doa, aku akan baca dalam bahasa Melayu. Contoh, doa selepas solat tahajud, aku baca maksud dalam bahasa Melayu.

Aku ada beli buku-buku doa, bila selesai solat, aku akan tadah tangan dan terus baca maksud doa tu. Dulu aku rasa macam, boleh ke macam ni? Ok ke? Allah terima ke?

Sehinggalah aku ternampak satu video, ustaz ni bagitahu kalau berdoa, guna bahasa yang kita faham. Lepas tengok video tu, aku rasa lega.

Aku nak share sikit pasal anak-anak aku. Kalau anak sakit, apa yang korang buat? Bagi ubat kan? Aku jenis yang lagi yakin doa aku lagi power dari ubat.

Bila anak aku demam, aku baca Al-Fatihah 41x, niat mohon sungguh-sungguh kesembuhan anak, tiup pada air, bagi anak minum.

Selain tu, aku paksa diri aku bangun malam, buat solat hajat, mohon Allah sembuhkan anak aku. Aku doa dalam bahasa Melayu je. Ubat aku tetap bagi. Tapi yang utama, doa dulu.

Pernah suatu hari, anak aku jatuh terhempas, jadi sakit bahagian punggung. Aku boleh lupa nak doa. Aku panik, pergi bawa klinik dulu.

Doktor bagi ubat tahan sakit, anak aku makan, hilang sakit sekejap, kemudian sakit pula. Bila teringat tentang doa, malamnya, aku buat solat hajat, aku bagi anak aku minum. Alhamdulillah, Allah bagi kesembuhan serta-merta.

Anak aku cakap, “Mama boleh jadi perawatlah, hilang sakit adik.” Aku cakap, “Mujarab untuk anak-anak mama je air ni.”

Aku pun pernah test air Al-Fatihah 41x untuk suami aku. Kaki suami aku bengkak, aku bagi dia minum dan sapu. Alhamdulillah, Allah bagi kesembuhan.

Yang bergelar ibu dan isteri, cubalah. Memang ajaib, tapi ada syarat, masa berdoa tu, berdoa dengan sungguh-sungguh dan penuh pengharapan.

Satu lagi kisah doa yang aku nak kongsi. Ada satu malam tu, aku lapar sangat-sangat, tapi aku tak nak makan makanan rumah. Aku nak makan kat luar, tapi aku bukan sejenis yang suka minta-minta dengan suami aku, sebab kalau aku minta, dia tak tunaikan, aku jadi sedih.

Jadi aku tak minta dengan suami, tapi aku doa. Aku doa dalam bahasa Melayu je sebelum aku tidur. Aku kata, “Ya Allah… hanya Engkau yang faham dan tahu situasi aku sekarang, makbulkan keinginanku. Aku nak makan di kedai makan, aku nak suami aku bawa aku keluar makan.”

Masa doa tu, air mata aku mengalir. Lepas tu aku cuba tidur, tapi tak dapat tidur. Aku baca 2 ayat surah At-Taubah, aku ulang-ulang.

Tiba-tiba suami aku masuk bilik, dia tanya, “Kenapa tak tidur lagi?” Aku jawab, “Lapar.” Terus dia kata, “Jom kita pergi makan, saya belanja.” Masa tu aku memang terkejut. Allahuakbar.

Bulan ni perbelanjaan aku dan suami agak over bajet sebab family aku ada terima ahli keluarga baru dari negeri yang agak jauh. Jadi aku dengan suami perlu join majlis yang dibuat di negeri tersebut.

Kami kena booking homestay, duit minyak, duit makan, tambah pula nak buka sekolah, memang banyak nak pakai duit.

Aku dahulukan duit aku, sampai 18hb baki gaji suami aku RM45, sebab aku minta dengan laki aku lepas tu dia cakap baki dia banyak tu je. Baki gaji aku RM70. Aku cakap, “Aku lagi kaya lah ni,” lepas tu kami gelak-gelak.

Gaji kami biasanya akan dapat pada 25hb. Memang betul-betul pokailah. Tapi aku tak risau. Aku pegang ayat, “Tak perlu risau, kau hamba pada Yang Maha Kaya.”

Lepas solat, aku memang biasa berdoa minta rezeki berkat. Tapi kali ni aku ubah doa aku sikit. Aku doa, “Ya Allah, aku serah segalanya pada-Mu. Engkau Maha Mengetahui. Bantu aku, Ya Allah Yang Maha Kaya.”

Malam tu, suami aku tiba-tiba WhatsApp aku, dia tanya, “Berapa awak nak?” Aku buat kira-kira, semua pendahuluan duit aku dalam tujuh ratus lebih. Terus suami aku transfer jumlah yang aku minta.

Aku tanya, “Mana dapat duit ni?” Dia cakap, “Pinjam ah long,” sambil gelak-gelak. Aku tahu dia tipu je tu. Aku tak siasat pun mana dia dapat duit tu, tapi aku yakin, Allah turunkan rezeki kepada aku melalui suami aku.

Banyak lagi sebenarnya kisah tentang doa ni. Yang aku cerita ni hanya secebis kisah doa-doa kecil yang Allah makbulkan.

Nasihat aku, jangan takut untuk berdoa. Mintalah. Allah suka hamba-Nya yang selalu meminta.

Sekian saja cerita aku yang hanya pandai berdoa dalam bahasa Melayu.

– Hamba (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *