Pernah tak korang dapat sesuatu yang dah lama korang doakan, dalam keadaan yang korang tak sedia?
Sekarang ni aku & suami tengah dalam situasi ni. Doa yang selama ni kami tunggu untuk dimakbulkan, termakbul dalam keadaan yang kami belum benar-benar sedia. Bertahun-tahun kahwin, antara doa yang sering kami pohon lepas solat adalah untuk dikurniakan seorang anak. Selain itu, antara yang kami pinta juga adalah untuk berpindah ke rumah yang lebih selesa.
Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Tiba-tiba aku mengandung, walaupun setahun sebelum tu doktor sahkan aku takkan mampu mengandung tanpa bantuan sistem perubatan. Selang beberapa bulan, tiba-tiba tuan rumah minta kami cari rumah sewa lain, sebab anak nak kahwin dan duduk situ katanya. Semuanya tiba-tiba. Tanpa sebarang persediaan mental, fizikal & kewangan.
Sebabnya sepatutnya hujung tahun baru kami merancang untuk mulakan rawatan kesuburan, dan tahun depannya baru nak cari rumah sewa baru. Baru-baru nak kumpul duit dan bersedia mental untuk ada anak, tiba-tiba semuanya jadi dengan begitu cepat. Walaupun kami sendiri yang minta nak anak, tapi kami sungguh tak jangka Allah beri dalam keadaan kami yang macam ini. Sebab orang selalu kata “Allah beri bila Dia rasa kita dah mampu”. Dan ketika ini jujur aku kata kami memang tak mampu.
Suami bergaji berdasarkan komisen, dan aku pulak memang tak dapat terus bekerja atas faktor kesihatan. Sebelum aku disahkan mengandung, gaji suami alhamdulillah makin menaik, dan sejurus selepas aku disahkan mengandung, gaji suami agak tinggi dari kebiasaan, dan ada portion yang kami simpan untuk tabung anak. Alhamdulillah waktu itu kami fikir memang ada jalan rezeki yang dikirim oleh Allah beserta anak ini.
Tapi langit tak selalunya cerah. Tiba-tiba kerja suami jadi sangat susah, susah untuk dapat appointment, susah untuk dapat closing, sehingga suami hampir-hampir putus asa untuk hidup. Aku pulak, apa yang termampu untukku buat duit, semua aku buat, tapi duit yang dapat hanya cukup untuk menampung hidup kami serba sedikit sehingga gaji suami seterusnya. Oleh sebab kami terdesak, semua simpanan kami yang disimpan untuk tabung anak habis kami pakai untuk cukupkan beli barang dapur & bayar komitmen bulanan.
Sebab makin lama makin menurun prestasi kerja suami & seterusnya gaji juga makin lama makin menurun ke tahap yang tersangat rendah. Nak kata suami tak berusaha lebih, aku menjadi saksi kepada setiap usaha kuat suami. Tapi Allah takdirkan begitu juga, appointment susah dapat, appointment banyak cancel, closing susah dapat, dan sebagainya, yang mana semuanya atas kuasa Yang Diatas, bukan atas kuasa manusia.
Makanan juga perlu kami catu, untuk cukupkan lauk yang dibeli dari awal bulan sehingga gaji seterusnya. Dengan keadaan aku mengandung, susah juga nak catu makan tapi aku pujuk anak dalam perut minta dia sabar, dan alhamdulillah anak boleh dikatakan agak memahami keadaan kami. Suami juga dalam senyap-senyap mencatu makan, di tempat kerja tak makan melainkan roti pada waktu pagi, dan makan malam di rumah.
Setiap kesusahan kami telan sendiri. Sehingga satu tahap aku & suami masing-masing dah tak kuat. Suami sampai pernah persoal kenapa Allah perlakukan kami begini. Suami asyik kata dia tak berguna, asyik menyusahkan orang. Hidup makin susah dan seakan-akan tiada jalan, dengan anak di dalam perut yang tunggu masa saja untuk keluar. Aku pulak, senyap-senyap doa minta Allah matikan aku supaya aku dah tak perlu tanggung kesusahan ni lagi.
Sungguh, aku dah tak kuat langsung waktu tu. Bertahun-tahun kami kahwin, ini la tempoh yang paling mencabar buat kami. Bertahun-tahun menunggu untuk punya anak, tapi kami tak dapat sediakan yang terbaik untuk dia. Semua yang suami usahakan serba tak kena,serba tak menjadi, banyak halangannya. Aku pulak, dah tak larat nak tolong suami cari duit lagi.
Makin lama aku perasan suami macam ada simptom depression, jadi aku cuba kuatkan diri dan berbincang hati ke hati dengan suami. Kami sepakat nak perbetulkan ibadah kami, hati kami, dan usaha kami. Aku juga jadi kuat bila doktor kata anak dalam perut kuat, aktif, dan sihat. Aku jadi insaf sebab dalam keadaan aku catu makan pun Allah pelihara anak ini dari sebarang musibah, sedangkan aku berdoa untuk mati sebelum dapat lihat anak ini.
Sebenarnya dalam keadaan ni, macam-macam ujian lain yang Allah beri kepada kami yang membuatkan kami terus lemah, tapi yang menginsafkan kami adalah betapa cepatnya Allah beri kami jalan penyelesaian. Pernah tayar kereta suami perlu ditukar kerana tercucuk paku besar, dalam keadaan duit kami hanya ada RM20 saja.
Allah gerakkan hati aku untuk semak akaun bank online, tengok-tengok ada kemasukan duit dividen dari tempat aku menyimpan duit dulu. Cukup untuk tukar tayar, cukup juga untuk beli barang dapur yang dah habis ketika itu. Setiap kali ada ujian kecil menimpa kami, setiap kali itu lah juga Allah berikan jalan penyelesaian yang tak terjangkau dek akal. Dan kami ambik iktibar dengan kejadian ini.
Walaupun kerja suami masih tak menampakkan kemajuan, tapi kami semakin kuat lepas menyaksikan sendiri macam mana dengan mudah dan ajaibnya Allah beri jalan penyelesaian pada ujian-ujian kecil tu. Walaupun barang keperluan bayi masih belum cukup dan makanan masih perlu kami catu, tapi kami dapat bertenang sikit berbanding dulu sebab kami lebih yakin sekarang yang Allah itu Maha Mengetahui & Maha Mendengar.
Suami pulak dah bersemangat semula dan jumpa jalan untuk buat kerja lain secara part-time sambil memperbetulkan prestasi kerja dia yang terdahulu. Kami selalu pesan sesama sendiri, Allah yang meletakkan kami di dalam situasi ini (mengandung di saat kami sedang hadapi masalah kewangan dan kerjaya suami mengalami kesukaran), oleh itu kami yakin Allah tidak akan mensia-siakan dan mengabaikan kami.
Cuma ada kalanya Allah beri jalan melalui orang lain, dan kami sebenarnya bukan jenis suka meminta-minta dan berhutang dengan orang lain. Selagi kami boleh usaha sendiri, kami akan tanggung sendiri semua kesusahan tanpa meminta-minta, tapi adakalanya keadaan terlalu terdesak yang menyebabkan kami terpaksa terima pertolongan dari orang lain. Syukur suami sudah jumpa jalan lain untuk dapatkan duit saku lebih, semoga kami tidak lagi meminta-minta atau meminjam dari orang lain. Semoga kerjaya suami juga semakin pulih dan hidup kami dipermudahkan sebelum anak ini lahir.
“Pada waktu itu di Mekah tidak ada seorang pun yang tinggal di sana dan tidak ada air. Nabi Ibrahim menempatkan keduanya (Isterinya dan anaknya Isma’il) di sana dan meninggalkan sebuah karung berisi kurma dan kantung berisi air. Kemudian Nabi Ibrahim pergi untuk meninggalkan keduanya. Maka ibu Isma’il (Hajar) mengikutinya seraya bertanya:
“Wahai Ibrahim, kamu mahu pergi ke mana sementara kamu meninggalkan kami di lembah ini yang tidak ada seorang manusia dan tidak ada sesuatu apa?” Ibu Isma’il mengulang-ulang pertanyaannya, tetapi Nabi Ibrahim tidak menoleh kepadanya. Akhirnya ibu Isma’il bertanya: “Apakah Allah yang memerintahkan kamu perkara ini?” Ibrahim menjawab: “Ya”. Ibu Isma’il berkata: “Jika begitu Allah tidak akan mengabaikan kami.””
– SRT
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit