Doa Yang Dimakbulkan III

Untuk part I, (https://iiumc.com/doa-yang-dimakbulkan-2/).

Untuk part II, (https://iiumc.com/doa-yang-dimakbulkan-ii/).

Allahuakbar. Hanya itu ungkapan yang mampu aku ucapkan tatkala kami diuji sekali lagi.

Mohon maaf warga IIUM Confession sekiranya ada yang jelik dan bosan dengan confession aku (sampai yang ke-3 nampaknya) tapi aku perlu menulis supaya beban di hati dapat dikurangkan sedikit. Sekiranya admin approve, dapat la kalian baca. Sekiranya tidak di approve juga tidak mengapa.

Aneh sungguh aturan Yang Maha Esa. Diberi satu jalan keluar, diberi juga jalan buntu. Sehingga confession ke-2 aku ditulis, aku & suami merasakan kehidupan kami bakal berjalan dengan lancar, kehidupan kami bakal stabil, gaji suamiku bakal stabil, dan aku juga bakal ditawarkan pekerjaan.

Tapi aku silap. Kehidupan kami tidak juga lancar malah bertambah simpang siur. Suami aku yang dibantu oleh kawannya untuk berjaya di dalam kerjaya, masih suram hasilnya.

Bukan kata nak berjaya, nak dapat gaji yang stabil pun payah. Malah, kawan tersebut juga “hilang” tiba-tiba. Agaknya takut terkena “tempias” suami yang susah dapat client, langsung ditinggalkan suami aku tanpa contact.

Juga masih belum ditawarkan pekerjaan walaupun dah banyak hantar application ke pelbagai syarikat. Nak minta kerja biasa bergaji RM1000 ke bawah, takut habis buat duit belanja pergi kerja dan hantar anak ke taska je. Sedangkan aku ingin bekerja & terpaksa tinggalkan anak pada orang lain untuk membantu ekonomi keluarga. Yang ada anak pasti memahami.

Jualan pakaian preloved masih berjalan dan dengan hasil duit itu kami buat beli barang dapur & susu anak. Ada masa hasil jualan ni yang suami pakai untuk pergi ke kerja. Sebab bisnes suami terpaksa ditutup buat sementara waktu bila duit hasil jualan semua dah habis digunakan untuk kegunaan harian.

Modal untuk berniaga semula terpaksa kami kumpul sikit-sikit balik. Stok preloved pun dah susut, kami mula jual baju-baju kami yang masih kami pakai sebab terpaksa.

Dan sedang kami terkial-kial perbetulkan ekonomi keluarga kami, tuan rumah hantar msg minta kami pindah dari rumah dia bulan depan. Katanya dah ada buyer nak beli rumah. Setahun kami duduk di situ tidak pernah dikhabarkan beliau ingin menjual rumah itu. Tapi hari ni tiba-tiba msg dan beri kami notis sebulan sahaja untuk keluar rumah.

Allahuakbar. Menangis aku mengenangkan ujian hidup kami yang tidak berkesudahan. Belum pun jumpa jalan keluar untuk 1 masalah, timbul lagi masalah baru.

Aku & suami redha dengan ujian yang baru ni. Kalau difikirkan memang sukar kami nak cari jalan untuk cari duit nak pindah rumah baru. Tapi aku & suami masih percaya akan Allah, masih percaya Allah yang berikan ujian ini dan Allah jua lah yang akan kurniakan jalan keluar buat kami.

Cuma aku harap kami tak perlu menumpang rumah sesiapa atau jadi gelandangan di mana-mana.

Ya, memang ada yang lagi susah dari kami. Tapi aku menulis bukan untuk mencari perbandingan siapa yang lebih susah dan siapa yang lebih teruk teruji. Yang baca dengan mata hati akan tahu aku bukan bercerita untuk mengeluh atau mencanang keluarga aku yang paling susah.

Aku bukan menulis untuk meminta-minta. Aku menulis hanya untuk mencari kekuatan diri.

Jika kalian terbaca kisah ini, aku mohon doa supaya dipermudahkan setiap urusan kami dunia akhirat. Aku juga mohon doa supaya kami dikuatkan semangat dan keimanan untuk menempuh setiap ujian kami. Insya Allah.

– SRT (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *