Doakan Mereka

Assalamualaikum buat semua pembaca. Aku teringin memberi respon ketika membaca artikel “Agama Sama, Tetapi Ketegasan Agama Berbeza” (https://iiumc.com/agama-sama-tapi-ketegasan-beragama-berbeza/).

Namun artikel seterusnya, “Nikmat Memahami Agama” (https://iiumc.com/nikmat-memahami-agama/) menguatkan semangat aku ingin menulis. Di harap admin dapat menyiarkan penulisanku kali ini.

Ibu bapaku bukanlah ustaz mahupun ustazah tetapi sedari kecil mereka berusaha memberikan pendidikan agama yang cukup inklusif kepada kami adik beradik.

Kadangkala ada juga masanya kami tergelincir, namun atas dasar agama yang ada juga kami kembali merangkak ke landasan yang lurus.

Ketika membesar, bersekolah dan melanjutkan pelajaran aku berjumpa dengan ramai yang teruji dari segi agama.

Ada yang solat 5 waktu cukup, tapi ujian maksiat lain tidak dapat ditepis, dan masih tidak menutup aurat. Ada yang mencuba mencari agama, sedangkan Ibu Bapa mereka masih terleka.

Ada yang benci golongan agama disebabkan pengalaman yang tidak boleh dicerita. Jadi usahlah menunding jari kepada orang yang kelihatan cetek ilmu agamanya atau kurang praktisnya.

Namun sebelum aku meneruskan penulisan ini, ingin aku tegaskan matlamat tidak menghalalkan cara. Contohnya, tidak solat 5 waktu, hukumnya tetap berDOSA.

Aku tidak kekok pada awalnya. Aku juga culas solat. Culas menutup aurat. Tetapi memandang kebiasaan di luar kebiasaan itu membuatkan semakin hari aku semakin kekok.

Aku pernah belajar agama, aku tahu apa itu rukun islam, apa itu rukun iman, apa itu aurat, tetapi disebabkan pengalaman yang kurang enak sebelumnya, peganganku jadi longgar.

Setelah berkahwin, aku cuba sedikit demi sedikit mendekatkan diri kepadaNya. Aku memohon kepada Tuhan supaya perkahwinan ku berkah dan aku dapat bersama-sama dengan anak dan suamiku di syurga nanti.

Aku berusaha berubah walaupun sebenarnya bukanlah mudah apabila berhadapan dengan keluarga mentua. Tiada yang bangun Subuh jika aku tidur di rumah mentua. Jika ada pun mungkin bapa mertuaku atau pembantu rumah.

Apabila tiba bulan puasa, ramai di dalam rumah yang tidak berpuasa bukan disebabkan ‘datang bulan’ atau keuzuran. Aku jadi culture shock pada awalnya walaupun aku bukanlah alim sangat.

Mereka bersalaman dengan sesiapa sahaja yang bukan mahram bahkan ada yang berlaga pipi dengan berlainan jantina membuatkan aku malu dengan diri sendiri. Modern and westernized living katanya. Lebih nampak sophisticated dan ‘atasan’.

Jika pergi bercuti, solat semestinya tiada dalam agenda. Menyentuh bab aurat pula, aku sendiri belum sempurna, namun pahit hakikatnya kadangkala melihat pemakaian ipar-ipar ku di depan yang bukan mahram, membuatku rasa berdosa kerana tidak menegur.

Tetapi apakan daya, aku hanya orang luar dan tidak mahu melukakan hati mereka. Mereka juga belajar agama, mustahil tidak paham tuntutan menjaga aurat.

Aku mencuba untuk berfikiran jauh terhadap mereka. Aku buang tanggapan negatif dan aku terus berubah dahulu untuk kebaikan diriku. Aku bertegas dengan suami bahawa jika ingin tidur di rumah mertua, aku perlu tidur di bilik.

Aku kekal bertudung dan cuba sedaya upaya memakai lengan panjang berapa haripun aku di rumah mertua.

Jika pergi bercuti atau perjalanan yang jauh, aku akan tegas meminta untuk singgah di mana-mana sekiranya aku perlu solat.

Selain dari itu, hanya pada Allah aku memohon supaya keluarga mertua ku diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah untuk kembali mengamalkan cara hidup seorang muslim.

Mengapa aku mengambil pendekatan doa dan bukan nasihat? Ini kerana, ada antara mereka lebih berusia dariku, dan mereka juga golongan terpelajar dan bukannya yang terlindung dari ilmu.

Semoga kita semua diberi kekuatan iman dan ujian hidup membuatkan kita lebih dekat dengan syurgaNya.

Wallahualam.

– Bunga Lalang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *