Dugaan dan ujian semasa bergelar pegawai perubatan siswazah, atau house officer (HO) hadir dalam pelbagai cara. Adakalanya diuji dengan orang atasan yang berang, yang mudah meletup, dan kadangkala dugaan datang dalam bentuk pesakit-pesakit yang datang membawa pengajaran dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Bukan sahaja dugaan untuk menjatuhkan diri ataupun yang menekan otak, malah dugaan yang datang daripada Yang Maha Esa ini kadangkala hanya sebagai peringatan bahawa kita ini hanyalah satu makhluk tuhan sahaja. Hamba. Bukan sesuatu yang berkuasa. Bukan yang menentukan hidup dan mati seseorang. Aku dapat merasakan, apa yang aku alami sekitar tahun 2014 ini adalah satu bentuk peringatan untukku.
Cerita bermula apabila salah seorang pesakit aku, bernama Hakim dimasukkan ke wad perubatan. Dia sihat walafiat sebelum ini. Tiada penyakit apa-apa yang kritikal. Umurnya 29 tahun. Kali ini dia dimasukkan ke wad kerana sakit belakang, dan keletihan yang semakin mengehadkan aktiviti hariannya sejak 6 bulan lepas.
Ditakdirkan pula, dia diletakkan di katil yang terletak di kubikel yang aku jaga pada hari itu. Ceria, senyum dan peramah, itulah first impression aku melihatkannya. Lelaki bertubuh kurus kering, kulit sedikit gelap itu seringkali tersenyum apabila aku menghampirinya, tak kira untuk mengambil darah, atau memeriksanya.
“Doktor tak balik lagi?”, tanya Hakim sewaktu aku mengambil darahnya taktala malam mula bertukar pagi.
“Tak, saya oncall, esok baru balik”, kataku menyebabkan dia tersenyum.
Keesokan harinya, saat aku melihat keputusan darahnya, aku bimbang dan sedikit hairan. Masakan tidak, ketiga-tiga komponen darahnya iaitu sel darah merah, sel darah putih dan plateletnya amat rendah. Terminogi ini dipanggil pancytopenia. Dan bila pesakit ada pancytopenia, keadaan ini adalah kesan daripada sesuatu yang selalunya agak kritikal dan agak teruk.
Sel darah merah berfungsi membawa oksigen ke seluruh badan. Apabila sel darah merah ini rendah, pesakit mudah penat dan boleh menyebabkan kegagalan organ. Sel darah putih pula merupakan sel yang digunakan untuk melawan pelbagai penyakit dan jangkitan kuman. Apabila rendah, pesakit akan jadi lebih mudah untuk mendapat jangkitan kuman. Dan platelet merupakan sel yang bertanggungjawab untuk pembekuan darah. Apabila kandungannya terlalu rendah, risiko pendarahan di mana-mana sahaja seperti di bahagian perut, otak dan paru-paru bertambah tinggi.
Pancytopenia adalah kesan daripada satu penyakit yang lain dan keputusan darah ini tidak memberitahu kita apakah sebabnya untuk pesakit semuda ini mendapat pancytopenia. Itu adalah tugas doktor untuk menyiasat sebab-sebabnya.
Apabila keadaan sebegini, pesakit dihantar untuk menjalankan satu prosedur yang kita panggil sebagai bone marrow biopsy, atau biopsi di sumsum tulang kerana pesakit yang ada pancytopenia ini seringkali berkaitan dengan kanser.
Apabila aku menerima keputusan biopsi tersebut beserta laporan dan diagnosisnya, aku jadi terkejut sangat. Ini kerana mengikut laporan makmal tidak formal yang ditulis oleh pakar patologi, pesakit ini mempunyai kanser, tetapi kansernya bukan berasal daripada sumsum tulang, sebaliknya daripada tempat lain. Sel-sel kanser di sumsum tulangnya sel-sel yang telah metastasize (merebak) daripada tempat lain. Mahu atau tidak, CT scan di bahagian dada, abdomen dan pinggang perlu dibuat dengan bantuan kontras.
Lebih memburukkan keadaan, buah pinggangya juga gagal, sehingga memerlukan rawatan dialisis melalui satu tiub yang dimasukkan di lehernya. Bacaan hemoglobinnya menunjukkan bacaan di antara 6 – 7 g/dL sahaja. Berbeg-beg darah dimasukkan, namun keadaanya masih sama, dan semakin hari semakin teruk.
Aku selalu balik lewat untuk menemani pesakit tersebut, pulang lewat hampir setiap hari untuk memberinya semangat. Aku call tiap-tiap hari “Acute Pain Service”, untuk memberikan ubat-ubatan untuknya, setiap kali dia mengadu sakit belakang. Aku langsung tak nak bagi peluang dia merasai kesakitan.
Bukan itu sahaja, aku tak henti-henti call makmal di Kuala Lumpur, nak cepat laporan biopsinya yang formal. Pendek kata, memang aku bersungguh-sungguh merawat dia. Aku sangka, kesungguhan aku boleh mengubah prognosisnya, namun tak semua yang dirancang menjadi.
Fungsi buah pinggangnya terlalu teruk, sehinggakan pakar radiologi tidak membenarkan CT Scan dibuat, atas dasar bahan kontras yang digunakan boleh menerukkan lagi fungsi buah pingganya yang sememangnya sudah barai. Walaupun aku sudah mengarahkan ayah pesakit membeli sejenis ubat dipanggil N-Acetylcystein, pakar radiologi masih tak mahu mengambil risiko tersebut.
Aku memberi kata-kata semangat, bukan sahaja kepada pesakit, malah kepada ayah pesakit.
“Don’t ever give that patient any false hope, you know the cancer this advance, chances of him walking out of this hospital alive are very slim”, kata Medical Officer kepada aku pada satu hari, saat dia nampak aku bersungguh-sungguh nakkan pesakit tu sihat.
Dalam hatiku, “Its not like what I said to them today is gonna mater if patient;s die. All he and his dad wants are just a words of comfort, and motivation from me
Sedar tak sedar, aku sendiri mengalami apa yang kita panggil sebagai fasa berkabung atau fasa menerima berita mengenai kematian.. Denial, Anger, Depression, Bargaining and Acceptance, itulah fasa-fasanya mengikut Kubler-Ross, salah seorang pakar psikiatri, dan sewaktu itu, memang sudah terang lagi bersuluh, sudah nyata bahawa aku berada di dalam fasa “denial”.
Denial, aku tak boleh menerima kenyataan pesakit tersebut akan mati. Aku tak boleh. Memang aku tahu, jauh di sudut hatiku, bahawa pesakit itu tidak akan selamat. Jangka hayatnya mungkin dalam beberapa hari sahaja tinggal mengikut kepada laporan ujian darahnya.
Aku menghampiri pesakit tersebut pada satu malam, sewaktu itu aku on-call.
“Hakim, macam mana hari ni? Okay ke?”tanyaku.
“Okay je lah doktor, memang sakit-sakit sikit, tapi lepas dapat ubat tadi, rasa okay sikit”, katanya sambil tersenyum
Aku benci melihat dirinya yang sentiasa positif sehingga menyebabkan aku tak dapat memberitahunya bahawa keputusan darahnya semakin teruk. Bukan aku tak cuba, aku dah cuba, namun gagal. Akhirnya, aku terpaksa beritahu MO aku, aku kata, aku masih belum memberitahu pesakit mengenai keputusan darahnya yang terbaru.
MO aku mengangguk sahaja. Seolah-olah dapat memahami apa yang aku rasa. Segera dia ke katil pesakit pagi itu, dan memberi berita buruk itu. Aku tak pergi bersama. Aku melarikan diri, mengunci diriku di dalam bilik house officer di wad. Aku sedih. Aku tertekan.
Petang hari seterusnya, aku tidak menjaga kubikel yang menempatkan katil Hakim. Saat aku melintasi di hadapan katilnya, terus dipanggilnya aku.
“Doktor…”
Aku menoleh, memandangnya tersenyum
“Terima kasih”, katanya tersenyum.
Saat itu, aku mendiamkan diri sahaja. Hanya tuhan yang tahu betapa berkecainya hatiku ini. Betapa besarnya kegagalan aku sebagai seorang doktor, bukan kerana gagal merawatnya, tetapi gagal mengakui diri aku ini hanyalah makhluk tuhan yang Maha Esa dan gagal untuk tidak mempunyai ikatan emosi yang terlalu rapat dengan pesakit.
Aku seolah-olah lupa apa yang diajar, dididik dan diingatkan beberapa kali di sekolah perubatan mengenai hubungan antara perawat dan pesakit. Aku menghampirinya, dan hanya mampu bercakap
“Maafkan saya”.
Kemudian aku menarik nafas dalam-dalam dan berkata
“Maafkan saya sebab saya gagal beritahu keputusan ujian darah dan prognosis penyakit awak, sepatutnya saya yang beritahu kerana saya yang menerima dulu keputusan ujian tu, tetapi saya tak mampu nak beritahu, MO saya pula yang beritahu”
“Tak mengapa doktor, saya faham. Doktor janganlah bermuram sahaja, buat seperti biasa sahaja. Saya dah terima dan redha dengan apa yang terjadi doktor”, kata Hakim
Terasa ibarat satu beban yang menghantui dan memberatkan fikiran aku dilepaskan. Lega. Aku bersedih sebenarnya melihatkan dirinya yang sudah nyata tidak sihat. Pucat, bibirnya pecah-pecah, tangan dan kakinya mula lebam-lebam saat kesan daripada kandungan darah yang gagal dihasilkan saat sumsum tulangnya diserang kanser. Namun dia masih senyum. Senyuman yang tidak aku boleh lupakan.
Sehari kemudian, sewaktu aku turun menghantar pesakit yang kritikal ke ICU pesakit tersebut meninggal dunia. Saat mengisi borang kematiannya, aku teringat akan satu kata-kata ini, “the doctor will heals if God wants it”. Aku hanyalah doktor, bukannya tuhan. Bukan seseorang yang mampu menentukan ajal maut dan kehidupan pesakit.
Kita hanya mampu berusaha dan memberikan yang terbaik buat pesakit. Namun yang menentukan sihat atau tidak, hidup atau tidak adalah hak tuhan. Bukan manusia.
Sebelum ini aku obses merawat pesakit. Aku nak semuanya sempurna, perfect. Tiada yang bukan-bukan. Bila kawan aku terlepas benda yang kadangkala tidak penting mana pun, aku marah-marah. Namun, perangai aku yang sedikit perfectionist dan obsessive inilah yang akhirnya mengakibatkan aku jatuh.
Steve jobs once quote “Live each day as if it was your last”. Tetapi, berada di profesion ini, quote yang sesuai adalah “Treat the patient as if it was his/her last day”. dan saat merawat pesakit, jangan “Play God”. Kita bukan tuhan, kita hanyalah makhluk tuhan bernama doktor.
Tetapi akhirnya selepas beberapa minggu memikirkan pesakit ini, aku berpuas hati. Aku berpuas hati dapat menjaga pesakit sebaiknya, buatkan dia ketawa, gembira dan kuat semangat. Sesetengah pekerja di hospital merasai kematian pesakit terlalu kerap sehinggakan tiada sedikit pun perasaan dan emosi, kadangkala sehingga ke tahap tidak peduli apabila diagnosis dibuat, dan pesakit tiada harapan. DIabaikan seolah-olah malas nak ambil tahu.
Remember, take care of patient as if it was his/her last day in this world. Make them smile, make them comfortable, cheer them up, and even if that patient not going to make it, you will feel at least you’re contributing something to him/her at the last day of his life.
TAMAT…
– Ilzanno Sharky
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit