Doktor MLM Mengelirukan Masyarakat

Tujuan saya menulis adalah untuk kebaikan masyarakat awam.

Trend doktor dan pekerja kesihatan menjual supplement di Malaysia sangatlah membimbangkan. Mungkin kerana ingin mencari duit lebih.

Saya mula terjebak dengan bisnes MLM sebuah syarikat terkemuka di dunia, sehingga tersenarai di Bursa Saham.

Pada mulanya saya hanya ingin membeli produk perkakas elektrik, namun diajak mendaftar sebagai ahli atau menjadi business owner kerana harganya akan menjadi lebih murah.

Sejak itu saya mula mempromosikan barangan-barangan keperluan rumah dan penjagaan kebersihan diri.

Namun sales tidak banyak kerana saya hanya mempromosikan produk yang saya syorkan sahaja berbaloi untuk dibeli kerana saya sendiri tidak yakin dengan kebanyakan produk mereka, apatah lagi harganya yang sangat mahal.

Saya pernah membuat eksperimen menukar cecair pencuci pinggan mangkuk yang dijual pada 6 kali ganda harga pencuci biasa di pasaran, namun tidak dapat dibezakan oleh isteri saya sendiri.

Apabila saya berhenti menggunakannya, saya tidak lagi menjual kerana berasa serba salah.

Memang menjadi standard modus operandi MLM ditanamkan keyakinan untuk menggunakan produk mereka sendiri dan memberi testimoni kepada pembeli.

Tapi saya sangsi yang kesemua mereka bersikap jujur kepada pelanggan kerana terdapat conflict of interest apabila mereka perlu mengejar point (dengan membuat jualan) untuk mencapai hierarki teratas yang mempunyai banyak lapisan.

Apapun saya tidak kisah sehinggalah melihat begitu ramai kakitangan hospital dari staff sokongan sehinggalah doktor pakar berkempen berkaitan pengambilan supplemen yang tidak perlu.

Sebagai seorang doktor perubatan, anda mestilah menasihati pesakit atau masyarakat awam berdasarkan bukti-bukti saintifik sesuai dengan title anda sebagai seorang doktor.

Masyarakat akan lebih mudah percaya apabila doktor sendiri yang menjual dan mereka biasanya mengambil apa sahaja nasihat doktor berkaitan kesihatan kerana bagi mereka doktor lebih tahu.

Ini berbeza apabila seorang doktor menjual non medical items seperti peralatan elektrik atau pakaian, tiada leverage mereka di situ.

Saya lampirkan di sini CODE-OF-PROFESSIONAL-CONDUCT-2019 oleh Malaysia Medical Council

1.11. The Practitioner and the Practice of Traditional and Complementary Medicine

The practitioner should not prescribe or promote traditional health supplements or traditional medications, or practice traditional treatment methods, unless such products or practices are evidence based.

Sebenarnya adalah menjadi kesalahan bagi seorang doktor menjual produk supplement melainkan ada bukti saintifik yang menyokongnya.

Malah kesalahan ini boleh diadukan di Malaysian Medical Council yang boleh menyebabkan keahlian seorang doktor itu dilucutkan.

Malangya disebabkan tidak ramai yang tampil membuat aduan dan penguatkuasaan yang lemah di negara ini, kesalahan ini telah menjadi new norms yang dipandang sebelah mata.

Cuba anda lihat di negara-negara maju seperti di UK, tiada doktor yang bekerja sambilan menjual supplemen kerana ini adalah kesalahan yang jelas.

Supplemen ini hanya di jual di kedai-kedai herba yang tidak dipelopori oleh professional perubatan.

Kuncinya, seorang doktor perlu memberi nasihat berdasarkan bukti saintifik sahaja bukan semata-mata untuk menaikkan sales.

Paling merisaukan ialah apabila pengambilan supplemen oleh masyarakat awam ini ditafsirkan sebagai alternatif kepada ubat-ubatan hospital.

Banyak kes-kes kematian disebabkan pesakit meninggalkan pengambilan ubat-ubatan hospital kerana percaya janji-janji manis penjual supplemen.

Paling klasik adalah pesakit kencing manis yang memberhentikan pengambilan insulin mereka kerana melihat testimoni dari penjual supplemen yang produk mereka berjaya menurunkan paras gula.

Orang yang sihat sebenarnya adalah mereka yang mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti melakukan senaman secara konsisten, tidak merokok dan mengamalkan pemakanan seimbang.

Placebo Effect berlaku apabila mereka pada masa yang sama mengambil supplemen dan memberi kredit kepada supplemen dalam bentuk testimoni dengan mengatakan bahawa pil-pil itu menjadikan mereka lebih sihat.

Lalu masyarakat awam tertarik dengan testimoni mereka lalu membeli supplemen untuk sihat.

Supplemen yang dijual bukanlah murah. Saya pernah lihat ada penjual MLM yang merupakan pekerja kesihatan mengesorkan pengambilan tablet Vitamin C untuk mengatasi masalah sembelit.

Betulkah masalah sembelit itu disebabkan oleh kekurangan Vitamin C?

Kos sebulan pengambilan Vitamin C ini adalah hampir RM40 sedangkan masalah sembelit sebenarnya boleh di atasi dengan pengambilan serat dan buah-buahan melalui pemakanan seimbang harian anda.

Sekiranya ini tidak berjaya, anda seharusnya berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut kerana ini mungkin adalah simptom kepada masalah yang lain.

Kesimpulannya, professional kesihatan dari pegawai farmasi, jururawat dan doktor perlu berhenti menjual supplemen.

Sanggupkah anda menjual produk yang tidak diperlukan oleh pelanggan dan berpotensi membahayakan kesihatan mereka?

– Ramli Kadir (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *