Doktor Yang Sakit

Assalamualaikum.

Sebelum teruskan, aku mahu minta maaf jika ada yang tak suka membaca kisah aku ini.

Bila doktor tak sihat, orang seperti pelik dan bertanya,”Eh, doktor pun sakit ke?”

Sebenarnya pertanyaan itu yang pelik bagi aku.

Kenapa pulak doktor tak boleh sakit? Doktor bukannya kebal daripada penyakit. Doktor juga manusia biasa.

Kalau boleh memang aku tak mahu ambil MC. Aku tak mahu susahkan kawan aku. Bila aku MC, kawan aku terpaksa menanggung kerja aku.

Hari itu aku sakit kepala teruk. Balik kerja petang aku terus diserang sakit kepala. Aku tertidur lepas Isyak. Hanya bangun apabila ada MO menelefon mahu rujuk atau bincang kes. itu pun aku tak ingat berapa kali mereka call sepanjang malam. Sebab aku oncall, jadi harus menjawab panggilan mereka. Walaupun dalam keadaan tak sihat.

Aku bangun solat subuh. Kemudian sambung tidur. Begitu berat untuk bangun sedangkan aku sepatutnya kerja syif petang hari itu.

Segala whats app yang masuk aku tak hiraukan. Akhirnya setelah merasakan aku tak mampu untuk pergi kerja kerana sakit kepala itu masih tak hilang, aku menghubungi rakanku. Mengatakan aku tak dapat datang kerja. Bukan saja untuk memandu ke hospital, mahu bangun daripada katil pun aku tak larat.

Perut lapar kerana aku tak makan apa-apa sejak malam semalam. Aku tertidur semalam tanpa makan malam. Pagi pun tak makan.

Lapar. Sakit kepala. Dan aku terbaring di katil.

Rakanku mahu datang ke rumah, katanya mahu belikan makanan untuk aku. Aku iyakan saja. Orang nak bagi rezeki, tak kan nak tolak.

Kawan aku muncul di rumah. Dia bawakan nasi dan ayam goreng. Aku cuba makan kerana memang sangat lapar. Tapi tak mampu nak makan. Sakit kepala. Perut kosong. Aku muntah-muntah.

Kawan desak pergi ke hospital. Mulanya aku enggan. Lebih senang berehat di rumah. Tapi dia tidak menerima jawapan tidak yang aku berikan.

Aku pergi ke hospital akhirnya setelah dipaksa dia.

Selalu aku berdiri di hujung katil atau di tepi katil untuk memeriksa pesakit. Kali ini aku terbaring di atas katil bertukar status menjadi pesakit. Ironi betul. Itulah, putaran hidup. Ada masanya, status boleh bertukar. Doktor pun boleh berubah menjadi pesakit.

Aku tidur di hospital semalaman kerana kawan dan staf risau mahu benarkan aku balik ke rumah. Terharu juga dengan kebaikan mereka.

Aku MC dua hari dan kawan aku terpaksa mengambil oncall aku. Aku rasa bersalah tetapi aku tahu ada risiko aku buat keputusan yang tak betul jika oncall dalam keadaan tak sihat.

Selepas itu aku demam pula. Demam dan pening kepala hingga aku mahu berdiri pun payah. Demam on off. Selsema, batuk. Pakej lengkap.

Apabila pening begitu aku tak boleh berfikir dengan bagus. Macam mana mahu buat keputusan dan berfikir apabila kepala pening.

Aku datang juga kerana ada mesyuarat jabatan. Kawan aku nampak aku masih tak sihat sepenuhnya. Sebenarnya dia pun tak sihat sangat. Ada sakit lain pula. Tapi nampak aku lebih tak sihat daripada dia.

Aku MC dua hari lagi. Sekall lagi aku rasa bersalah.

Demam kebah selepas hampir seminggu. Dalam masa seminggu itu, ada hari aku kerja, ada hari aku MC (MC dua hari itu). Benar-benar aku rasa hidup huru-hara seketika.

Benarlah, kesihatan itu satu nikmat yang amat berharga.

Aku bukannya tak pernah demam selsema. Tapi kali ini agak teruk rasanya.

Sampai aku cakap dengan kawan aku, azam aku untuk tahun ini adalah tak mahu ambil MC lagi. Lepas tu kena gelak dengan kawan aku. Katanya MC bukan kita boleh rancang.

Sebab itu aku agak bengang sedikit bila pesakit yang tampak segar-bugar sihat walafiat datang minta MC. Sedangkan kami ni sakit pun fikir susah betul nak MC. Kalau MC, rasa menyusahkan kawan-kawan yang lain.

Kalau betul-betul sakit, kau tak payah minta. Doktor sendiri biasanya akan tanya perlukan MC atau tidak. Kalau doktor tak tanya, kau orang boleh minta elok-elok dengan doktor. Jaranglah kami tak bagi kalau pesakit benar-benar perlukan MC (Pesakit yang sakit betul).

Dan aku juga mahu kau orang sabar sedikit jika doktor lambat sedikit atau lambat banyak memberi rawatan. Terutamanya di jabatan kecemasan. Kalau kau di zon hijau, memang akan mengambil masa. Kerana ramai pesakit. Kalau di zon merah, kau akan dirawat serta-merta.

Kadang-kadang doktor yang merawat kau orang pun tak sihat sebenarnya. Tapi sebab tak cukup orang untuk bekerja, maka doktor-doktor yang tak sihat ini terpaksa bekerja juga.

Macam mana aku tahu? Sebab aku sendiri bekerja dalam keadaan sakit perut, sakit kepala, demam. Ambil MC itu maksudnya dah benar-benar tak larat nak bekerja.

Nanti orang cakap pula,”Eh, doktor tak pandai rawat diri sendiri? Sakit tak pandai rawat diri?”

Bukan macam itu. Kadang-kadang ada penyakit yang mengambil masa untuk baik. Kami dah ambil ubat juga tapi ada masanya lambat baik. Sebenarnya bila sakit, perlukan rehat. Rehat daripada kerja. Tapi macam mana mahu rehat kalau waktu itu tak cukup doktor untuk bekerja. Kitaran itu berterusan.

Jadi, mereka yang datang ke klinik dan hospital. Tak perlulah marah-marah atau maki hamun doktor atau staf bila kami mengambil masa untuk merawat anda. Kalau yang betul-betul perlukan rawatan segera, memang kami akan rawat segera. Mana tahu doktor dan staf yang anda marah-marah itu sebenarnya tak sihat pada waktu itu. Sudahlah sakit fizikal, sakit emosi juga kena marah dengan pesakit atau keluarga pesakit.

Doakan aku sihat dan boleh bekerja dengan lebih bagus. Doa daripada pembaca sangat aku hargai. Aku masih mahu terus bekerja. Tapi sakit kepala aku masih berterusan. Sedang menunggu penyiasatan seterusnya.

P/s : Siapa yang kenal aku melalui cerita ini, tak payah la tag aku. Faham-faham sendiri ya.

– Doktor Yang Sakit

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *