Aku Andro, pencinta kucing. Hidup aku dari kecil dikelilingi makhluk istimewa ciptaan yang Maha Esa ni.
Tak tergambar sayang yang ada untuk setiap yang pernah datang.
Walaupun sementara makhluk-makhluk ni bersama manusia atas muka bumi, tapi jutaan kenangan yang akan tercipta bersama yang sudi menjaga.
Kucing kesayangan aku Phi namanya. Phi kalau dalam bahasa Siam ada dua makna, yang pertama hantu, dan yang kedua panggilan hormat untuk yang lebih tua. Aku bagi sebab kedua-duanya.
Aku jumpa Phi di tempat gelap dan aku panggil dia abang masa dia cuba-cuba lari. Aku bawa Phi balik sebab ibu Phi kena langgar lari. Kaki Phi pun tak boleh jalan macam kucing lain, sebab injurt sikit.
Phi manja, baik. Setiap kali nak tidur aku suka dodoikan Phi dengan selawat. Mata Phi bulat, bersinar, bila dipandang, setiap masa rasa nak dia ada dekat. Aku jaga dia sampai dia besar ada anak.
Satu hari aku dengan keluarga akan pergi bercuti jauh. Tiga hari. Phi macam tak berapa sihat masa ni. Jadi aku letak dia dalam rumah kami, sedia makan minum dengan takung pasir cukup untuk 3-4 hari.
Balik cuti, dari luar aku dah bau lain macam. Semakin kuat bau bila jejak dalam rumah. Muntah Phi di bahagian lantai dapur dan ruang tamu. Sangat pekat dan kuat baunya. Macam bangkai.
Aku masuk cuci secepat mungkin. Letih balik cuti aku diamkan.
Di dapur, aku cuba habiskan bahagian terakhir muntah Phi, aku dapat rasa ada sesuatu menggesel di kaki. Bagai disangka Phi cuba mendekat.
Aku yang dari tadi menahan amarah bagai hilang warasnya. Pertama kali aku menggunakan kaki untuk menjauhkan diri.
Phi yang masih dalam keadaan kurang sihat sekali lagi memuntahkan segala yang ada di dalam perutnya.
Aku masih dalam ego sendiri, bertindak mengangkat Phi dan meletakkan Phi di luar rumah.
Tiga hari Phi hilangkan diri. Yang pernah menjaga akan faham apa maksud ni. Aku yang sudah mengerti, tidak lagi aku mencari. Hanya keampunan aku damba, harapan bertemu sekali lagi.
Hari keempat Phi hilang, aku bangun dengan berita yang sudah kuduga. Opah, opah yang sampaikan berita.
“Andro, kucing Andro dah balik, dia dah mati.”
Aku yang sedang menahan, bergegas mencari. Phi terbaring di sebelah kasut di luar rumah. Itu, kedudukannya benar di sebelah kasut aku.
Hanya Allah yang tahu remuk kecewa yang ada. Phi berehat di sebelah kasut milik tuannya atau mati di sebelah kasut yang dipakai oleh pembunuhnya.
Wallahi, aku masih tak dapat terima perbuatan yang aku lakukan. Walau kecil perbuatan, hakikatnya aku tetap mengabaikan Phi, benar ajal, tapi aku membenarkan tanpa tawakal.
Aku sakit setiap hari, aku menahan derita dosa sendiri. Aku menyesali dan kan terus meratapi. Andai bisa haiwan berbicara, aku mencari apa yang mahu dikatakan Phi pada malam tempoh hari.
“Phi rindu Andro, Phi sakit Andro, lihat rumah Andro Phi kotorkan, Phi tak sengaja Andro, Phi taktahu cara mencuci, Phi rindukan Andro.”
Andro bodoh!
Penyesalan yang tiada penghujungnya. Kerinduan yang juga akan tetap berpanjangan.
Semoga yang sedang menjaga makhluk Allah ini mengerti, mereka juga punya perasaan. Jangan disakiti. Jangan abaikan mereka walau sesaat mereka bersama kita di sisi.
Semoga Allah ampunkan segala dosa yang ada.
“Maafkan Andro, Phi”
– Andro (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit