Nama saya Daisy (bukan nama sebenar), berumur 32 tahun. Baru saja mendirikan rumah tangga.
Saya seorang Indian Muslim. Warna kulit saya boleh dikategorikan sebagai dark skin. Mak dan ayah kedua-duanya Indian Muslim juga (tiada kacukan). Dan saya ada seorang adik lelaki.
Mak memang dari saya kecil nekad nak hantar saya ke sekolah agama. Sekolah asrama penuh tak dapat atas sebab apa saya tak pasti.
Jadi mak decide untuk hantar saya ke sekolah kebangsaan satu sesi dan sekolah agama satu sesi.
Maka satu hari tu saya ke dua-dua sekolah lah.
Di era saya ni, kalau golongan kami, memang sentiasa diejek dengan kawan-kawan Melayu kami dengan panggilan keling (maaf jika kasar), hanya kerana warna kulit kami dan kefasihan kami berbahasa Tamil.
Di sekolah, saya sering kena buli kerana perkara ini. Banyak kali saya mengadu dengan parents tapi mereka tak endah pun. Tak pernah sekali pun datang ke sekolah pasal hal ini.
Kebanyakan kawan saya di sekolah kebangsaan saya pergi ke sekolah agama yang sama juga dengan saya. Jadi saya kena buli pagi hinggalah ke petang.
Keadaan jadi lebih teruk apabila saya masuk Darjah 4. Ada seorang ustazah ni, saya namakan dia Ustazah Y. Dia mengajar subjek Tauhid.
Ustazah ini memang tak suka saya, ya. Dia sangatlah bencikan saya sehingga dia tak suka nak tengok muka saya. Kalau saya pergi ke meja dia di kelas, dia akan halau saya ke tempat saya.
Semasa subjek dia, dia suruh saya duduk di meja paling belakang. Buku kerja saya dia takkan kutip sendiri, dia akan suruh kawan lain yang kutipkan.
Kalau saya angkat tangan nak jawab soalan di kelas, dia tidak layan saya. Kalau saya salah jawab, dia akan malukan saya depan kelas. Dia akan rotan saya walaupun saya buat satu kesalahan kecil. Semua kawan-kawan akan gelakkan saya sebab saya kena marah.
Sampaikan satu masa tu saya keliru, apa kesalahan yang saya buat sehingga saya dilayan macam itu? Apa dosa saya?
Ya Allah, saya trauma, ya, kalau waktu untuk subjek Tauhid sampai. Saya hari-hari berdoa supaya hari ini saya tak kena marah atau dicaci. Tetapi, saya akan kena juga.
Pada satu hari saya pergi berdiri di luar kelas saya untuk ambil angin. Ustazah tu pula di kelas sebelah, menghadap ke pintu belakang kelas. Saya terdengar perbualan Ustazah Y dengan seorang pelajar kelas itu. Nama dia Aida, dia pelajar yang ada kacukan Cina, ya.
Dia lah satu-satunya pelajar yang baik dengan saya, selalu share makanan dengan saya, rehat sama-sama dengan saya. Selalu bantu saya dalam kerja sekolah juga.
Perbualan dia macam ni, “Aida, ustazah nak tegur. Awak tak was-was ke share makanan dengan si Daisy ni? Sebab dia kan kulit gelap. Risau dia ada keturunan India. Risau tak halal. Ustazah selalu tengok awak bersama dia. Ustazah tak berapa suka awak berkawan dengan dia. Dia tu kan kellllll…”
Ya Allah, luluh hati aku, ya, dengar. Maka terjawablah segala persoalan saya kenapa Ustazah Y berlaku sedemikian dengan saya.
Tapi aku terharu dengan jawapan Aida time tu. Dia kata, “Ustazah, saya yakin dengan makanan yang Daisy bawa. Dia seorang yang baik. Dia takkan buat macam tu.” Gugur air mata aku dengar, ya. Baiknya Aida dengan saya.
Mulai hari tu memang aku dah start benci dekat Ustazah Y tu. Masa kelas dia aku akan diamkan diri aja. Tapi aku skor subjek dia setiap kali exam. Dia macam tak percaya, ya, time tu.
Semasa Hari Guru, sesi nak salam cikgu tu, saya tak nak salam ustazah tu. Tapi Aida paksa saya. Saya hulur salam dan tarik tangan cepat-cepat, tak cium pun tangan dia. Saya tak nak pandang muka dia. Saya keep ignore dia sampai lah habis PSRA.
Selepas itu saya masuk ke sekolah menengah. Aida pun sama sekolah dengan saya. Kami tetap rapat walaupun kelas berlainan.
Tapi kali ni, saya jadi seorang yang berperwatakan kasar. Saya tak bagi orang buli saya. Saya lawan balik. Saya jadi queen la, ya, kat sekolah tu. Sebab itu sekolah perempuan. Fighter la kononnya.
Tetapi saya ada ziarah juga sekolah lama kadang-kadang. Dan Ustazah Y berkhidmat di sekolah tu sampai saya Tingkatan 3. Setiap hari saya cuba nak maafkan Ustazah Y, tapi saya tak boleh.
Tiap kali saya teringat dekat apa yang dia buat dekat saya. Terbayang muka dia pun rasa benci. Sehingga lah saat saya tulis confession ini. Saya harap satu hari nanti saya boleh maafkan dia.
Sama benda repeat di era adik saya ke sekolah. Orang buli dia juga. Saya akan pergi ke sekolah dan enquiry budak-budak yang buli dia.
Sampai pernah buat seorang pengawas ni hilang jawatan, ya, sebab buli adik saya. Saya tanya adik saya hari-hari, ada siapa-siapa buli dia tak. Day by day, adik saya pun dah pandai jaga diri dah.
Moral yang saya cuba nak share di sini, tak salah pun kami yang berkulit gelap ni nak ke sekolah agama pun. Didikan ini kena mulakan dari rumah, ya.
Didik anak-anak supaya orang berkulit gelap ini pun manusia biasa juga. Jangan pandang lain terhadap mereka. Ajar mereka untuk bergaul dan hormati semua manusia dengan sama. Malah yang berpangkat mak dan ayah ni pun jagalah pergaulan korang. Jangan sisihkan orang kulit gelap ini.
Bila satu hari nanti saya dah ada anak, saya akan tegaskan benda-benda ini dengan dia.
Dan kepada Aida, terima kasih sebab sudi berkawan dengan aku, di kala orang lain buli aku dan jauhkan diri dari aku. Aku sayang kau, wei. Saya dah hilang contact dengan dia. Harap kalau dia terbaca confession ini, carilah aku, ya. Please.
Sekian coretan kisah childhood saya.
– Daisy (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Geram pulak dengan ustazah versi penunggang agama nih. Semoga TT boleh berhadapan dengan ustazah dah luahkan apa yang terbuku. Baru puas hati.