Sudah masuk hari kedua Puan Siti dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), namun dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda perkembangan yang positif. Pada awalnya, dia dimasukkan ke wad otopedik, iaitu wad yang terdiri daripada pakar-pakar pembedahan tulang dan mempunyai pengkhususan di dalam menangani kes-kes berkaitan kemalangan jalan raya dan trauma lebih kurang 4 hari lepas.
Namun, setelah hari kedua dia dimasukkan ke wad otopedik, doktor pakar mendapati kecederaan di bahagian kepalanya yang menyebabkan pendarahan di otaknya memerlukan pembedahan segera.
Walaupun setelah berjam-jam pakar bedah neurologi bertungkus-lumus membuang seberapa banyak darah beku di otaknya, disamping membuang sebahagian tempurung kepalanya untuk membenarkan tekanan tinggi di dalam tempurung kepalanya pergi, keadaannya tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa dia akan pulih.
Sewaktu itu, aku merupakan seorang house officer (HO) yang bertugas di ICU sebuah hospital yang terletak di Kedah. Aku bolehlah dikatakan sebagai seorang HO yang agak senior memandangkan posting di jabatan anaesthesiology ini merupakan posting terakhirku sebelum aku bergelar medical officer (MO).
Sebaik sahaja pembedahan di kepalanya dibuat tempoh hari, pesakit ini terus dihantar ke ICU, di mana para jururawat sememangnya merupakan pakar dalam menjaga pesakit-pesakit yang sangat kritikal ini. Dari segi feeding, ubat-ubatan dan pernafasan Puan Siti kebanyakannya dikawal oleh mesin, kerana dia sendiri tidak mampu untuk bernafas tanpa bantuan mesin yang dipanggil ventilator itu.
Pagi itu, seorang jururawat yang bernama Norli itu datang dan memberitahu aku sesuatu.
“Doktor, temperature badan patient ni tinggi juga, 38.3 darjah celcius”, katanya sebaik sahaja terlihat aku sampai daripada dewan bedah.
“Oh, ye ke, saya rasa saya kena ambil blood culture untuk pesakit ni”, aku berkata kepada staff nurse (SN) Norli.
“Haa, elok juga tu, tapi ni akak nak kemas katil, tukar lampin dan mandikan pesakit sebentar doktor, nanti lepas tu lah doktor buat ya”, katanya.
Aku mengangguk sahaja tanda bersetuju. Aku berjalan merapati sebuah komputer yang terletak di kaunter jururawat. Aku membuka fail pesakit ini dan membaca rentetan peristiwa bagaimana dia boleh dimasukkan ke hospital 8 hari lepas.
Mengikut sejarah dan pertanyaan seorang doktor di wad kecemasan, pesakit dimasukkan ke hospital kerana kemalangan motorsikal. Dia dikatakan keluar ke kedai untuk membeli Panadol, kerana dia mengalami demam dan sakit di bahagian perutnya sejak beberapa hari lepas. Sewaktu dia cuba membelok keluar daripada simpang rumahnya, di mana tiba-tiba ada sebuah kereta meluncur laju di jalan besar dan melanggarnya daripada tepi.
Pelanggaran ini menyebabkan dia terpelanting, dan mengalami patah tulang kaki. Tetapi sewaktu itu, dia masih sedarkan diri. Hanya setelah dia dibedah, di mana sebatang besi dimasukkan di tulang pahanya barulah dia mulai tak sedarkan diri. Apabila doktor mengulang sekali lagi Computed Tomography Scan (CT Scan) otaknya barulah mereka mendapati ada pendarahan yang tiba-tiba muncul.
CT Scan yang dibuat kali pertama di jabatan kecemasan tidak menunjukkan tanda-tanda pendarahan di kepala. Dan kini, hari keempat dia dimasukkan ke hospital, di mana 2 hari pertama dia ditempatkan di wad otopedik. Suhu badannya sewaktu dia di wad tersebut normal. Otak aku mulai ligat untuk memikirkan mana puncanya demam pesakit ini.
Aku sudah faham benar mengenai pesakit-pesakit yang dimasukkan ke hospital yang tiba-tiba demam akibat dijangkiti kuman daripada hospital sendiri. Namun, untuk pesakit ini, dia sememangnya sudah demam dan sakit perut sebelum kemasukkannya ke hospital lagi.
Aku terfikit untuk menghantar ujian blood culture memandangkan darah pesakit ini tidak pernah lagi dihantar. Ujian blood culture ini adalah untuk mengenalpasti jenis bakteria atau mikroorganisma yang terdapat dalam badan pesakit ini.
Nama kultur ini adalah kerana para staf makmal perubatan akan menunggu beberapa hari dan melihat jika ada kuman yang tumbuh dalam masa beberapa hari selepas darah ini dihantar. Aku mulai menekan-nekan butang yang terdapat di skrin komputer untuk mencetak stiker untuk pesakit. Di hospital ini, stiker ujian darah perlu dicetak sekiranya aku hendak menghantar ujian darah mana-mana pesakit.
Aku menuju ke arah katil pesakit ini dan telah pun menyediakan satu set blood culture, di mana set ini perlu bagi aku mendapatkan darah pesakit dalam keadaan yang sterile. Ujian ini perlu dilakukan sedemikian kerana takut-takut bakteria atau kuman yang terdapat pada kulit pesakit masuk kedalam tiub darah pesakit, menyebabkan keputusan ujian darah pesakit ini tidak tepat.
Aku lihat, SN Norli masih belum siap menukar lampin pesakit. Apabila dia terlihat aku di situ, segera dia panggil aku untuk mendekati pesakit.
“Doktor, tengok ni, pesakit ni ada discharge”, katanya.
“Mana kak?”, aku bertanya untuk memastikan di mana bendalir yang diperkatakan oleh SN Norli.
SN Norli menunjukkan bahagian alat kelamin pesakit tersebut, di mana terdapat bendalir bewarna hijau keluar. Aku segera mengambil kapas untuk menghantar swab culture, di mana konsep ujiannya sama dengan blood culture, cuma spesimennya sahaja yang lain.
Aku hairan, mengapa pesakit ini mempunyai vaginal discharge sedemikian, yang mana mengikut pengalaman dan pengetahuan aku di dalam bidang perubatan, ada satu jenis mikroorganisma yang menyebabkan vaginal discharge bewarna hijau itu, iaitu Gonorrhoea.
Aku yakin semua orang tahu dan pernah mendengar penyakit Gonorrhoea ini, yang mana menjangkiti golongan-golongan yang mengamalkan seks bebas serta golongan pelacur dan golongan yang mengamalkan seks dengan kaum sejenis.
Gonorrhoea merupakan satu penyakit bawaan seks, atau selalu kita dengar sebagai STD (Sexually Transmitted Disease). Aku mulai berfikir yang bukan-bukan terhadap pesakit ini. Aku ingin bertanya, tetapi mana mungkin aku boleh bertanya pada pesakit yang tidak sedarkan diri ini. Mahu tidak mahu, aku perlu bertanya waris terdekat pesakit, dan pada pesakit ini, suaminya.
Aku memanggil suami Puan Siti yang duduk diluar ICU memandangkan waktu itu bukan waktu lawatan hospital. Lelaki berusia awal 30-an itu, berjanggut lebat, berkopiah putih dan berjubah bangkit dari kerusi yang diletakkan di hadapan pintu masuk ICU berjalan menuju ke arahku.
Aku mulai nak bertanya atas perkara yang aku baru sahaja dapat tahu, tetapi aku terfikir juga, sebagai seorang perawat, aku harus melindungi privasi pesakit serta tidak boleh sewenang-wenangnya menceritakan apa-apa sahaja kepada waris pesakit.
Peraturan ini digelar sebagai privacy and confidentiality, yang mana seorang doktor tidak boleh menceritakan mengenai penyakit-penyakit atau apa-apa findings kepada waris pesakit tanpa persetujuan pesakit. Undang-undang ini dipandang remeh oleh kebanyakkan staf-staf kesihatan yang aku kira sesuka hati sahaja bercerita mengenai pesakit kepada orang lain.
“Encik Adam, ada tak sebelum ini isteri En Adam berbuat sesuatu yang pelik? Atau sesuatu yang tak elok?”, aku memulakan pesoalan dengan penuh hati-hati.
“Setahu saya tiada doktor, mengapa? Ada apa-apa perkembangan terbaru ke?”, jawabnya sambil melontarkan soalan kembali kepadaku.
“Oh, tiada, Puan Siti cuma demam sahaja. Boleh cerita sedikit tak apa yang berlaku sebelum dia keluar malam itu?”, aku cuba mengorek kisahnya sedikit demi sedikit.
“Dia sakit perut doktor. Lepas tu, pagi sebelum dia keluar beli panadol tu, dia ada beritahu saya dia berasa sangat sakit ketika kencing. Dia ada mengadu dia kencing berdarah, tetapi malam tu saya terlalu penat untuk keluar belikan dia ubat, tu yang saya benarkan dia keluar untuk beli ubat”, katanya seraya menyambung,
“Ini semua silap saya doktor. Saya ikutkan sangat keletihan saya sampaikan malam itu, kalaulah saya yang keluar bersama dia untuk beli ubat, sudah tentu dia tak terlibat dalam kemalangan sebegini”
Gaya bahasa badannya dan mimik muka Encik Adam jelas menunjukkan penyesalannya. Matanya mulai berkaca saat dia mula berkongsi kepadaku mengenai perkara yang berlaku.
“Kami berdua selalu gaduh baru-baru ini. Adakalanya sampai sebulan tak bertegur sapa kerana dia seringkali marah kepada saya yang selalu lewat balik kerja. Dia sangka saya bermain kayu tiga di belakangnya. Dia selalu marahkan saya yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap anak-anak.” dia menyambung.
“Encik Adam ada berapa orang anak?”, aku bertanya
“3 orang doktor” jawabnya ringkas.
“Selain daripada kencingnya sakit, sakit perut dan demam ada apa-apa lagi ke?”
“Tiada apa-apa lagi doktor, itu sahaja”
Aku mulai masuk semula ke ICU dan meneruskan tugasan aku seperti biasa. Masih ramai pesakit lain juga yang memerlukan tumpuan bagi membuat pelan perawatan. Selain itu, aku juga harus ke dewan bedah bagi membantu memberi ubat tidur serta melihat beberapa prosedur yang aku tidak pernah lihat sebelum itu.
Sehari kemudian, aku hadir ke wad awal pagi lagi bagi membuat rondaan terlebih dahulu untuk pesakitku. Sedang aku sibuk menulis laporan pesakit, tiba-tiba telefon yang terletak bersebelahan aku berbunyi. Bunyinya yang membingitkan telinga menyebabkan aku terus jawab.
“Salam doktor, ini daripada bahagian makmal, keputusan darah pesakit Siti dah keluar, nanti doktor check komputer ya”, kata seorang pegawai makmal perubatan.
“Baik, nanti saya periksa, terima kasih banyak-banyak ya”, kataku.
Aku segera log masuk ke akaun aku untuk memeriksa keputusan ujian darah Puan Siti. Memang tanggapanku benar. Ujian menunjukkan pesakit ini mempunyai jangkitan kuman Gonorrhoea. Walau bagaimanapun, aku tidaklah terkejut memandangkan semalam, otak aku sudah bersedia jikalau keputusan darahnya begini.
Aku segera menyiapkan laporan pesakit dan lebih kurang 45 minit kemudian, MO dan doktor pakar tiba. Aku segera mengikuti rondaan pagi tersebut, atau yang lebih dikenali sebagai morning round. Sampai ke katil Puan Siti, aku terus berkata mengenai keputusan darahnya itu.
Aku juga bertanya, patutkah aku maklumkan kepada suami pesakit? Atau patutkah aku tunggu dan membiarkan pemberitahuan ini dibuat oleh MO ku. Aku tidak sempat lagi memeriksa pesakit, memandangkan tradisi di jabatan ini, kami buat morning round bersama-sama dalam one shot.
Tak sempat aku nak menghabiskan soalan, seorang jururawat menjerit, memanggil kami bertiga. Ada seorang pesakit di katil lain tiba-tiba asystole. Aku segera naik ke katil pesakit, memberi arahan supaya jururawat mulai membancuh ubat-ubatan dalam usaha untuk resuscitate pesakit.
Cardiopulmonary resuscitation (CPR) dimulakan. MO ku hadir dan bersedia jikalau aku sudah penat dan tidak mampu, dia bersedia menggantikan diriku. Tekanan-demi tekanan aku lakukan sepenuh tenaga. Peluh mulai membasahi badanku. Taktala aku sudah terlalu penat, MO ku pula menyambung.
Walaupun kami sudah melakukan yang terbaik, pesakit akhirnya diisytiharkan waktu kematiannya jam 9.00 pagi. Aku terduduk di sebuah kerusi di belakang kaunter jururawat. Tercungap-cungap nyawaku.
Setelah semua borang dan pemakluman kepada waris pesakit bahawa pesakit sudah tiada, aku segera ke katil Puan Siti pula memandangkan rondaan pagi tadi tergendala sebentar, Namun, aku terkejut apabila doktor pakar mengatakan kepadaku, bahawa Puan Siti dah disytiharkan Brain Dead.
Ya, bahagian otaknya sudah mati! Melalui pemeriksaan demi pemeriksaan, memang aku dapat lihat bahawa otak pesakit sudahpun mati. Yang menyebabkan jantungnya masih berdegup, serta pernafasannya masih boleh dibuat hanyalah refleks. Refleks yang hadir hanya bertahan 24 – 48 jam selepas diagnosis dibuat.
Aku berasa amat sedih, kerana apabila otak pesakit sudah mati, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Rawatan yang diteruskan menjadi tidak bermakna, dan walaupun antibiotik diberikan, kuman-kuman gonorrhoea yang menjangkitinya akan mati, tetapi pesakit tidak akan boleh bangkit lagi.
Aku memanggil suami pesakit untuk masuk. MO ku menunggunya di sebelah katil Puan Siti.
“Encik Adam, saya nak isytiharkan bahawa bahagian otak isteri Encik Adam sudahpun mati”, MO aku memberitahu.
Wajah Encik Adam tiba-tiba bertukar kepada kesedihan. DIa hampir terduduk mendengar berita tersebut. Air matanya mula meleleh, dan dia bangkit mengusapi wajah isterinya itu.
“Tapi doktor, kenapa dia masih boleh bernafas, jantungnya masih berdegup?”, Encik Adam bertanya kehairanan.
“Itu hanyalah sementara Encik Adam. Buat masa ini, yang mengawal pernafasannya itu hanyalah secara automatik”, aku berkata.
Memang tak dinafikan hampir kesemua pesakit akan bertanya soalan sedemikian apabila diagnosis brain dead dibuat. Diagnosis ini tidak sama dengan koma, yang mana untuk pesakit koma, peluang untuk mereka bangun semula masih ada memandangkan bahagian otaknya masih elok. Tetapi tidak buat pesakit brain dead.
Sewaktu inilah sebenarnya masa yang paling sesuai untuk pendermaan organ dilakukan. Namun, aku merasakan amat payah untuk memberitahu waris pesakit mengenai pendermaan organ sewaktu saat-saat demikian. Yalah, pesakit baru sahaja tahu satu berita kematian, kemudian aku nak meminta organ-organ isterinya pula. Aku kebiasaanya menunggu beberapa jam kemudian baru aku bertanya soalan tersebut.
Encik Adam menangis teresak-esak di sisi katil Puan Siti. Aku hanya mampu memandang daripada jauh, merasakan diri ini amat kerdil saat ajal pesakit dah ditentukan.
“Abang minta maaf sayang, abang minta maaf”, katanya menyebabkan aku yang mendengar ini terasa kepiluannya.
Aku melihat dari sudut gaya pemakaian Encik Adam, dengan kopiah putihnya, janggut panjangnya dan berjubah sudah tentu dia seorang yang alim. Tambahan, tangannya pula sentiasa memegang tasbih dan berzikir sewaktu aku kali pertama menghampirinya.
Mungkin disebabkan dia selalu ke masjid atau selalu tiada di rumah, isterinya membuat perkara yang bukan-bukan. Aku mengaku bahawa aku mempunyai perspektif yang negatif terhadap pesakit-pesakit STD ini. Bukan kali pertama aku berjumpa golongan sebegini.
Ada yang masih muda remaja, berusia belasan tahun sudah dijangkiti pelbagai penyakit bawaan seksual ini. Ada pula yang HIV positif seawal umur 15 tahun. Semuanya gara-gara membuat aktiviti seksual dengan pelacur. Tetapi aku berfikir pula, jarang-jarang ada pesakit perempuan yang menghidapinya.
“Dah inform husband patient tak pasal findings STD tu?”, tiba-tiba sahaja suara Dr Faiz, seorang MO memacung lamunanku.
“Belum lagi bos. Lepas ni saya nak beritahu dia mengenai pendermaan organ, dan lepas tu saya beritahu dia pasal STD tu”, aku menjawab sambil meneruskan penulisan laporan di fail pesakit.
“Okay, eh, mana perlu kau beritahu tentang organ donation. Patient ni infection dia tak settle, so mana layak nak derma organ. Kau cakap pasal STD je, dan husband dia perlu screening okay? kalau ada apa-apa masalah, kau call aku sahajalah”, katanya sambil berdiri menuju keluar daripada ICU ke dewan pembedahan.
“Okay boss”, aku menjawab.
Bagaimana aku boleh lupa mengenai kelayakan seseorang itu untuk menderma organ sekiranya dia masih mempunyai jangkitan kuman. Sudah tentu pendermaan organ tidak boleh dibuat, memandangkan jangkitan kuman tersebut berada di dalam darah pesakit. Aku juga sedar mengenai pemberitahuan pasangan pesakit mengenai status STD tersebut.
Aku tahu, sekiranya seseorang daripada satu pasangan itu mengalami jangkitan STD, aku perlu memberitahu pasangan pesakit berkenaan, kerana mereka juga perlu menjalankan ujian darah bagi menentukan sama ada mereka dijangkiti penyakit ini atau tidak.
Lagipun, bagi mereka yang dijangkiti penyakit ini, biasanya bukan satu sahaja penyakit yang mereka ada kerana adakalanya mereka mempunyai jangkitan-jangkitan lain seperti HIV. Agak baik jika screening untuk segala penyakit bawaan seks ini dibuat.
Aku menghampiri Encik Adam membawa borang untuk meminta tandatangannya. Aku duduk bersebelahan dengannya memulakan perbualan
“Assalamualaikum Encik Adam, saya ucapkan takziah kepada Encik Adam”, aku berkata.
“Waalaikumussalam doktor”, katanya dengan nada tersenggut-senggut akibat hidungnya seakan-akan tersumbat akibat menangis.
“Boleh saya nak cakap sesuatu yang amat penting tak? Atau adakah Encik Adam memerlukan masa?”, aku cuba untuk mencari masa yang sesuai untuk bercakap.
“Doktor, boleh tak kita bercakap di tempat lain, saya tak selesa nak bercakap depan isteri saya ni”, kata Encik Adam sambil bangun.
“Ya, boleh, kita ke belakang wad ni. Tapi kita kena diri la”, aku menjawab sambil menunjukkan laluan ke belakang wad, yang sememangnya tiada orang langsung di situ.
Aku rasa amat baik juga, memandangkan isu yang bakal aku beritahu ini amat sensitif. Aku bukan nak menambah lagi kesedihan kepada Encik Adam, tetapi aku cuma perlu menjalankan tugasku untuk memberitahu perihal penyakit bawaan seks ini.
“Encik Adam, sebenarnya, saya nak…”, belum sempat aku nak bercakap, kata-kata aku dipotong oleh Encik Adam.
“Doktor, boleh tak saya nak beritahu sesuatu?”, tanya dia.
Aku mengangguk kerana dalam sememangnya dalam teknik memberitahu berita buruk kepada pesakit, aku seharusnya memberi peluang kepada pesakit untuk bercakap terlebih dahulu.
“Pada satu hari tu, 2 minggu lepas, saya bergaduh dengan isteri saya. Dia selalu marahkan saya yang balik lewat daripada pekerjaan saya. Dia menuduh saya mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan ayah. Saya jadi nak marah kerana dia kata saya tak pernah jaga anak-anak dengan betu. Walhal, takdelah sampai tahap tak pernah”, katanya.
Dia menghela nafas yang panjang sebelum menyambung,
“Saya tak tahan dengan leteran dia, terus saya capai kunci kereta dan melarikan diri malam itu. Saya contact kawan-kawan saya untuk ajak lepak. 3 hari saya tak balik rumah, doktor”.
“Encik Adam pergi mana?”, aku mula bertanya, seakan-akan ada sesuatu yang besar dan berat di dalam cerita Encik Adam ini.
“Saya pergi Danok doktor. Di situ saya tidur dengan pelacur, kononnya nak lepaskan stress dan tekanan”, katanya yang menyebabkan aku terkejut dan terkesima. Kemudian dia menyambung,
“Saya tak nak beritahu doktor pasal perkara ni. Saya tahu benda ni dah agak lama, dan lagipun, saya tak mahu dipersalahkan kerana saya takut, isteri saya demam kerana terkena jangkitan kuman bawaan masa saya berseronok dengan pelacur tu. Bila dia demam, dia keluar cari ubat demam dan terlibat dengan kemalangan yang meragut nyawa dia, saya tak mahu dan berasa terlalu takut untuk bercerita, kerana saya tak mampu nak menanggung kesalahan saya ini”.
Bibirku ibarat terkunci apabila aku mendengar Encik Adam menceritakan perkara sebenar. Aku berlalu pergi setelah menceritakan kepada Encik Adam mengenai ujian darah dan antibiotik yang aku perlu jalankan kerana walau keparat dan durjana mana pun dia bagi aku, itu tidak bermakna aku boleh menidakkan dia daripada menerima rawatan. Dia masih seorang pesakit yang perlu dirawat, itulah sumpah yang aku angkat semasa aku menjadi doktor dahulu.
Aku masih tergamam setelah aku baru sahaja seolah-olah menerima berita dan informasi tersebut dari mulut suaminya sendiri. Aku juga perlu bermuhasabah diri kerana manusia ini sememangnya tidak boleh dinilai dari segi pemakaian dan gaya luaran semata-mata. Aku memohon kepada Allah agar Encik Adam benar-benar bertaubat atas kelakuannya yang langsung tidak matang itu.
Di balik tirai yang labuh disangkut jeriji besi langsir yang menutupi kamar badan Puan Siti, aku berdiri tanpa berfikir apa-apa kecuali mengharapkan kemaafan daripada Allah akibat perangai dan sifat aku yang pada awalnya menyangka yang tidak-tidak kepadanya. Walhal, kemalangannya merupakan sesuatu yang disebabkan penyakit suaminya yang ditanggung oleh dirinya. Dosa yang terpalit daripada suaminya.
TAMAT…
– Ilzanno Sharky
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit