Dua Cinta, Satu Takdir

Salam semua! Aku nak kongsi kisah hidup aku ni. Aku bukanlah seorang yang pandai mengarang cerita panjang-panjang. Jadi, maaflah kalau ada ayat-ayat yang tak sampai maksud.

Aku kenalkan diri dulu, nama aku Mawar. Kisah ni tentang konflik antara aku dengan dua orang sahabat, yang aku panggil Ubi dan Kentang. Aku ni gadis yang agak pemalu dan rupa paras biasa-biasa saja, tapi boleh la sedap mata memandang. 

Kisah ni bermula masa orientasi di salah satu institusi pendidikan awam di selatan tanah air. Orientasi seminggu di kolej kediaman sementara, kemudian semua pelajar pindah ke kolej tetap. Nasiblah kalau dapat kolej yang dekat, alhamdulillah. Tapi kalau jauh, masyaAllah.

Bayangkan dengan badan yang tak berapa besar ni, berapa banyak barang kena angkut dari satu kolej ke kolej lain. Dah la aku ni perempuan Melayu terakhir, aduhai… Seingat aku, memang ada bas disediakan, tapi setiap kali bas lalu, penuh. 

Akhirnya, aku buat keputusan jalan kaki je ke kolej baru. Kawan tak ada masa tu. Masa orientasi, ingatkan kawan sebilik tu kawan aku, tapi rupa-rupanya semua berpecah ke kolej lain. Nak nangis rasa masa tu.

Berbalik ke kisah aku dan barang-barang aku yang banyak tu. Masa aku tengah sibuk heret beg troli yang besar gila, sangkut satu baldi dan dua beg di bahu, aku terserempak dengan seorang jejaka kacak. Hahaha…

Sebenarnya aku saja nak tanya arah ke kolej tu. Aku semester 1 dan universiti tu sangat besar serta naik turun bukit. Bila terjumpa pelajar lain yang gaya-gaya senior, mestilah aku tanya arah, kan?

“Assalamualaikum, Kolej Damai kat mana ye? Betul ke jalan ni?” tanya aku sambil mata terkebil-kebil tengok senior tu. 

“Oh, awak nak gi Kolej Damai ke? Marilah jalan sekali sebab saya pun nak ke fakulti. Fakulti saya memang lalu depan kolej tu,” jawab dia sambil terus pegang dan tarik beg luggage aku.

Hati aku memang tak payah cakaplah, dup dap dup dap. Dah lah kacak, tinggi dan sopan pula tu. Memang kriteria unggul sungguh.

Tapi masa tu aku kan junior semester 1, mestilah tak berani cakap apa-apa. Aku cuma ikut je belakang senior tu sampai betul-betul depan pintu pagar kolej aku. Sayangnya aku punya la pemalu sampai nama dia pun aku tak tanya.

Aku cuma sempat ucap terima kasih itu pun suara dah bergetar tahan malu. Apoooda… Tapi itu la kenangan yang paling aku sebagai budak nerd rasa buat kali pertama dalam hidup. Sampai sekarang ni, perasaan jatuh cinta pandang pertama mungkin? Hahaha… 

Disebabkan pertemuan tu, setiap hari Isnin pukul 2. 30 petang aku akan tengok kat cermin bilik semata-mata nak tengok dia berjalan dari fakulti ke stesen bas depan kolej aku.

Kolej aku kan berbukit, jadi memang agak senang la untuk skodeng ke luar tingkap celah-celah pokok besar depan bilik tu. Setakat skodeng je pun dah cukup berbunga-bunga rasa hati. gedik dan gatal sungguh tapi hanya dengan dia je.. haha. Dia dekat tapi jauh. wekkkk (muntah)!

Sampai la satu malam universiti ada anjur program konsert amal. Aku sebenarnya malas nak keluar malam-malam, tapi atas desakan kawan sebilik, aku gagahkan juga la berjalan dari kolej ke tempat program tu.

Disitulah aku kali kedua jumpa dia face to face, itu pun sebab dia MC malam tu. Rupanya dia AJK perwakilan pelajar. Cara dia bercakap dengan sopan, bertambah-tambah angau aku masa tu. Bertambah jeles aku bila kawan-kawan aku pun duk asyik puji dia.

Disebabkan itu, aku yang introvert ni keluar dari dunia aku dan join perwakilan pelajar sebab dengan cara itu je aku boleh berjumpa lagi dengan dia. Gila betul aku rasa masa tu, tapi akademik aku tetap jaga. Result peperiksaan aku memang sentiasa gempak. Alhamdulillah Allah bagi kelebihan di situ. 

Bila aku dah masuk perwakilan pelajar, si Ubi dah jadi senior dan dia tukang pantau je. Dalam mesyuarat, sekali dua je masuk. Kadang-kadang bila dia masuk meeting, aku perasan dia curi-curi tengok aku, tapi bila aku tengok dia, dia buat jual mahal. Bila tanya pun jawab sepatah-sepatah.

Tapi sekurang-kurangnya aku happy sebab akhirnya aku kenal nama dia dan dia kenal aku. Kenal nama pun dah cukup bagi aku. Hehe… Masalah aku bila join perwakilan pelajar ialah aku mula ramai kawan dari pelbagai fakulti dan disitulah aku kenal si Kentang.

Aku kawan dengan si Kentang ni asalnya sebab dia selalu kacau dan ambil berat pasal aku. Dari situ aku rapat dengan dia sampai satu hari aku dapat mesej dari si Ubi. Ya Allah, masa tu rasa betul ke ni? Jantung rasa macam nak terkeluar.

Bayangkan crush boleh mesej kau. Dia macam tahu je si Kentang cuba nak rapat dengan aku. Masa tu aku rasa akulah wanita paling bahagia sekali. Sampaikan aku rasa kenapa dengan Ubi dan Kentang ni. 

Sampailah final semester si ubi ajak aku jumpa dia kat perpustakaan. Masa ni seminggu aku tak boleh tidur malam, berdebarnya sampai sakit perut. Bayangkan kau dah minat gila dekat dia, sekali dia ajak jumpa. Lepas dah banyak kali ajak, akhirnya aku setuju jumpa dia.

Aku mestilah tak akan jumpa berdua, kawan aku ada sama tapi mereka duduk meja lain. Yang kelakar masa pertemuan pertama kitaorang tu, borak pasal masa depan. Apa perancangan dia dan arah hidup dia.

Masa tu dia jelaskan matlamat dia lepas habis degree dia nak cari kerja dan bantu keluarga. Matlamat hidup aku pula aku nak sambung belajar sebab aku memang suka belajar. Nampak tak? Matlamat hidup kitaorang ni memang berbeza.

Lepas tu paling mengejutkan aku dia maklumkan aku yang dia dan kentang ni rapat. Si kentang ada jumpa dia kalau dia ada masalah dengan aku. Sebenarnya si kentang ada beberapa kali curah perasaan kat aku tapi aku tolak secara lembut. Mungkin sebab hati belum terbuka.

Sepanjang aku berkawan dengan Ubi dan Kentang, aku ada solat istikarah beberapa kali dan setiap kali tu memang Kentang yang keluar dalam mimpi aku. Mungkin juga sebab dalam hati ada Kentang je masa tu. 

Selepas sahaja pertemuan terakhir tu, aku mahupun Ubi dan Kentang masih berhubungan. Cuma perhubungan aku dan Ubi lebih rapat berbanding dengan Kentang. Tambahan pula Kentang pun dah ada pengganti masa tu mungkin dah bosan dengan aku sebab aku busy dengan kerja.

Oh ye, lepas habis degree aku terus dapat kerja di sektor kerajaan dengan gred 41. Kentang kerja di salah satu company besar di Malaysia dan Ubi terus sambung master. Itu la kadang-kadang apa yang kita rancang tidak semestinya terbaik untuk kita. Just follow the flow.

Kemuncak perhubungan kami bila Kentang putus dengan girlfriend dia dan kononnya tak dapat lupakan aku. Sepanjang aku tahu Kentang ada girlfriend aku memang tak contact dia langsung, dia mesej dan call pun aku tak balas.

Pendek kata Ubi je tempat aku bercerita masa tu. Ubi juga sentiasa ambil berat mengenai aku. Kami kawan rapat tapi tak pernah meluah perasaan. macam kalau ada jodoh,adalah. Ku sangka panas sampai kepetang rupanya hujan ditengah hari. huhu

Kemuncaknya aku memang tak sangka Kentang akan cari Ubi untuk pujuk aku terima dia. Aku rasa geram, marah dan sedih bila Ubi boleh pujuk aku suruh terima Kentang. Kentang sangat bijak waktu ni aku rasa. Aku rasa perasaan cinta aku kat dia masa tu memang dah mati terus.

Walaupun dia kesian kat kawan dia tapi sampai hati dia suruh aku terima cinta orang lain. Masa tu aku yakin aku jodoh dia tapi aku sedih atas apa yang dia buat. Mungkin dalam hati dia tiada ruang untuk aku.

Aku tak pernah salahkan dia sebab selama ni dia tidak pernah ungkapkan cinta. Mungkin solat istikarah aku salah disebabkan perasaan cinta aku lebih menguasi segalanya.

Ungkapan yang paling aku tak dapat lupa dan betul-betul hancurkan hati aku ialah “pilihlah orang yang menyayangi dirimu lebih dari orang yang kau sayangi,” dengan cara itu kau akan lebih bahagia. Ungkapan tu seolah-olah macam selama ni aku cuma bertepuk sebelah tangan. 

Dipendekkan cerita, akhirnya aku dan Kentang berkahwin. Alhamdulillah kami sudah dikurniakan tiga orang anak yang comel.

Dari segi kerjaya masing-masing, alhamdulillah berjaya dengan kehidupan masing-masing. Kami pun dah hampir 40 series. Ubi sehingga sekarang masih single, mungkin dia masih menunggu jodoh dia.

Itulah kisah aku, Ubi dan Kentang. Banyak peristiwa terjadi dalam perkahwinan kami tapi aku skip takut nanti jadi novel pulak. Hehe… Terima kasih yang sudi baca.

Doakan aku selamat melayari alam rumahtangga dengan si Kentang yang tall, dark and handsome. 

– Mawar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *