Untuk part I, (https://iiumc.com/dua-dunia-yang-berbeza/).
Terima kasih kali kedua daku ucapkan kepada team admin IIUM Confession yang bertungkus-lumus menapis dan editing artikel confession untuk disiarkan.
Aku sambung sikit pasal cara aku ikhtiar jodoh. Selain kita usaha minta pada Allah, pada masa yang sama kita usaha mencari.
So, dalam perjalanan hidup aku lepas ketidakjujuran H, ex-girlfriend aku dulu, aku usaha lagi. Dalam tempoh tu macam-macam ragam manusia aku jumpa. Antaranya :
1. Si perempuan buta ni minat kat aku. Tapi…. Mak ayah dia bagi alasan lebih kurang macam ni,
“Nanti macam mana nak jaga anak kami ni sebab dua-dua pun tak nampak. Nanti susah nak beli barang. Susah nak pergi pasar beli ikan, sayur, ayam. Bla… bla… bla…,”
2. Si perempuan celik ni pula minat kat aku. Tapi…. Mak ayah dia bagi alasan lebih kurang macam ni,
“Nanti macam mana nak pergi klinik kalau anak kami sakit nak bersalin? Macam mana nak urus anak-anak? Bukan boleh pandu kereta ke mana-mana. Kesian anak kami nanti hidup susah. Bla… bla… bla…,”
Aku belajar satu perkara. Dan aku kongsikan tips ni untuk rakan-rakan buta yang sedang berusaha mencari pasangan hidup.
Apa yang aku belajar ialah bila korang serius nak kahwin dengan pasangan korang sama ada pasangan tu buta atau celik, pasangan korang tu yang kena tegas dan yakinkan mak ayah dorang.
Kalau korang yang buta ni berhujah 1001 kebenaran sekali pun, “Saya boleh buat itu. Saya boleh buat ini. Bla… bla… bla…” atau korang siap demonstrasi lagi depan mak ayah pasangan korang, masih tak mencukupi untuk meyakinkan mereka.
Mak ayah akan lebih percaya pada kata-kata anak sendiri berbanding hujah anak orang lain.
Moga berjaya jumpa pasangan yang betul-betul yakin dengan kalian. Macam bidadari aku sekarang ni. Dia memang tegas dan yakin nak kahwin dengan aku.
Tak pernah aku dengar dia merungut dari kami mula kahwin hingga sekarang. Cuma ada kala membebel tu perkara biasa la lumrah orang perempuan. Hahahaha!!!!..
Dulu masa fasa permulaan buta, aku dah lalui zaman belajar dalam kelompok orang normal (celik la).
Maksudnya bila zaman belajar, tak perlu nak fikir banyak selain belajar, makan, tidur, lulus exam, hantar assignment, hadir kuliah. Mula-mula dulu tu pengurusan diri memang serabut la.
Bila buta dewasa ni kena belajar nak urus pakaian, gosok pakaian, jemur, dan lain-lain. Nampak mudah bila cakap.
Aku cabar yang mata celik ni siapa berani gosok baju guna iron besi tu dalam keadaan tutup mata? Tapi itulah yang kami harus lalui. Nak tak nak memang kena hadap juga. No choice…
Nak harap kawan tolong? Sampai bila? Ok, itu baru sikit yang aku nak cerita. Pendek kata, masa zaman belajar akan ada kawan untuk diminta tolong. Tak kira la kawan tu masam muka ke, merungut ke, tak layan ke.
A tak dapat. Cari B. B tak dapat. Cari C. Dan seterusnya. Tapi bila dah masuk alam pekerjaan, memang totally berubah dan lagi stress la.
Sedangkan korang yang normal ni pun masa mula-mula masuk kerja dulu mesti ada pengalaman yang agak tak menyenangkan. Sama saja la dengan kami yang buta.
Lebih-lebih lagi bila bekerja dalam satu syarikat atau komuniti yang langsung tak pernah didedahkan dengan orang buta. Majikan pun pening kepala kan.
Ok, bila sebut pasal dunia pekerjaan orang buta ni sebenarnya terpulang kepada si buta tu sendiri. Selalunya masyarakat akan sinonimkan orang buta dengan menjual tisu, juru urut, atau buskers.
Bagi aku secara peribadi, tiga pekerjaan du jadi sinonim sebab macam dah jadi ‘warisan turun-temurun’.
Dalam golongan yang memilih tiga kerjaya ni ramai antara mereka yang IQ bagus. Kalau diberi galakan dan usaha akan mampu pergi lebih jauh untuk berjaya.
Tapi kenapa rata-rata memilih untuk ‘mewarisi’ tiga pekerjaan tu? Nantikan sambungan aku di confession akan datang.
Next, aku sambung cerita aku bila dah dapat tawaran kerja, perkara pertama yang selalu orang akan buat ialah cari tempat tinggal. Betul kan?
Tak kisah la rumah saudara ke, rumah sewa ke, rumah kawan ke. Tapi aku masa tu ada juga usaha untuk ke arah tu. Tanya saudara, mereka on saja.
Tapi masalahnya rumah saudara aku jauh sangat dan tak ada orang dapat hantar aku pergi balik kerja setiap hari.
Tanya kawan, masing-masing kebanyakannya dah berkeluarga dan ada yang rumah dah cukup ahli sampai padat sangat. Jadi pilihan terakhir tu rumah sewa saja la kan.
Selalunya bila dah buta, pergerakan sangat terbatas. Bukan mudah nak beli barang walaupun ada pasar raya yang semua barang keperluan boleh beli sekaligus. Sebab tu kena rancang dan cari rumah yang bersesuaian untuk urusan semua tu.
Aku pula jenis susah nak percaya orang baru untuk duduk sekali serumah. Maklumlah dunia. Orang normal pun selalu kena tipu, apa lagi kami yang buta. Jadi lebih baik berhati-hati daripada kehilangan hati. Hahaha!!!…
Dalam kehidupan orang buta ni, bila ke tempat baru ni adalah sesuatu yang agak memeningkan kepala la juga sebenarnya. Sebab kita tak ada gambaran tempat tu macam mana.
Contoh mudah aku buat satu perbandingan. Kalau korang yang celik ni pergi ke rumah admin IIUM Confession dan nak cari mana tandas, adakah bila korang masuk dari pintu depan tu memang dah tahu tandas rumah admin tu kat mana?
Mesti tak tahu kan? Kena cari atau tanya kan? Macam tu juga orang buta. Sampai saja kat rumah admin, kena tanya dan ada orang ajar untuk dapat gambaran mana tandas. Hahaha!!!…
Apa yang aku nak sampaikan tu maksudnya orang buta akan selalu memerlukan penerangan bila berada di tempat baru atau yang jarang dia pergi.
Sebab tu korang tak perlu hairan ada orang buta jalan rilek saja kat area Brickfield atau sesetengah tempat macam dorang dah hafal jalan. Memang tu la lumrah bila dorang dah biasa dan selalu jalan di sesuatu tempat, dah tak jadi masalah sangat.
Aku kena belajar semua tu sebab aku terpaksa berdikari dan bukan ada kawan juga di sisi. Mula-mula masuk rumah kena ada orang tunjuk ajar sikit bilik kat mana, tandas kat mana, dapur kat mana.
Lepas tu nak kena belajar jalan dari rumah untuk ke kawasan luar. Cari landmark untuk bergerak dari satu point ke satu point.
Kemudian nak kena belajar macam mana nak pergi kerja. Belajar ingat kedudukan meja sendiri di tempat kerja. Tandas kat mana. Tempat makan kat mana. Tangga kat mana. Lif kat mana.
Pusing kanan berapa kali. Kiri berapa kali. Kira langkah berapa anak tangga. Dan yang penting kena rajin cari landmark sendiri supaya tak sesat entah ke mana-mana.
Semua tu untuk fasa permulaan kena ada orang celik bantu la. Jangan bodoh sombong pula nak explore sendiri lepas tu sesat ke alam lain. Hahahaha!!!…
Mesti korang pelik kenapa aku banyak sebut pasal tandas. Tandas la penting. Kalau tak jumpa tandas, dan masa tu langsung tak ada orang nak minta bantuan, tak ke haru-biru jadinya!!!
Lepas dapat rumah sewa, kena fikir nak ulang-alik ke tempat kerja macam mana. Ada kawan buta aku seorang ni memang tak ada pilihan lain kena naik Grab Car setiap hari. Lebih kurang RM20 satu hala. Pergi balik dah RM40 kan?
Bayangkan kerja sebulan Isnin hingga Jumaat lebih kurang 20 hari. Dah jadi jumlah kos pergi balik dalam RM800. Dahsyat kan? Tapi itulah lumrah kehidupan bergantung kepada situasi kehidupan.
Bukan tak nak tumpang orang, tapi korang sendiri pun tahu bukan setiap masa akan ada orang mampu hantar pergi balik kerja setiap hari. Macam kawan aku ni memang tak ada rakan sepejabat tinggal sekitar kawasan dia tinggal.
Apa yang boleh aku nasihatkan kalau nak bantu orang buta tu, jangan segan-segan. Kalau kawasan kediaman korang ada orang buta, tolonglah cakna dengan keperluan urusan harian mereka.
Senang kata, kalau korang beli barang kat shopping complex atau ke pasar tani atau pasar basah, tak salah kan korang tanyakan si buta ni ada apa nak kirim beli?
Dia bagi duit dan korang tolong beli pun dah meringankan kesulitan dorang. Hari ni kita mudahkan urusan orang lain, lain kali Allah akan mudahkan urusan kita.
Dalam confession akan datang aku cuba la untuk huraikan serba sedikit beberapa persoalan yang biasa orang celik tanya pada si buta.
Aku dapat cerita ni pun sebab aku pernah melihat dunia satu masa dulu dan aku boleh faham apa yang orang celik nak tahu dan apa yang orang buta lalui.
Antara persoalan biasanya macam mana orang buta menaip kat komputer ni, macam mana orang buta memasak, macam mana orang buta makan ikan, macam mana orang buta nak tahu siang ke malam, macam mana orang buta jaga anak, macam mana apa lagi ya?
Nanti korang tulis la kat ruangan komen facebook IIUM Confession ni kalau ada yang nak tahu.
Dan sentiasa ingat yang orang buta ni pun manusia. Tak terlepas daripada nafsu & dosa. Jadi jangan terlalu ‘mengagung-agungkan’ orang buta ni sempurna ya.
Wasalam.
– Encik N (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit