Dua Dunia Yang Berbeza III

Untuk part I, (https://iiumc.com/dua-dunia-yang-berbeza/).

Untuk part II, (https://iiumc.com/dua-dunia-yang-berbeza-ii/).

Salam dan terima kasih kali ketiga aku ucapkan kepada team admin IIUM Confession kerana tolong menyiarkan perkongsian ini.

Ini adalah perkongsian terakhir aku kiranya. Sebab aku nak beri peluang kepada rakan OKU Penglihatan yang lain untuk kongsikan lebih lanjut dan terperinci pengalaman masing-masing.

Sebelum tu aku nak menjawab beberapa persoalan yang diajukan oleh follower. Antaranya ada yang tanya confession ni aku si buta yang tulis ke bidadari aku yang celik tulis?

Jawapannya….. Aku taip confession, bidadari aku edit. Bidadari aku taip confession, aku edit. Hahahaha!!!…

Sehati sejiwa la tu kan. Sebab tu tak payah hairan tengok gaya penulisan lebih kurang sama antara confession aku dan confession bidadari aku.

Aku secara peribadi bila dah jadi buta ni, secara tak langsung akan bergaul dengan golongan OKU Penglihatan.

OKU Penglihatan ni boleh dikategorikan kepada dua. Buta dan penglihatan terhad (low-vision). Dan institusi pendidikan di Malaysia ni dah ada bermula dari pra sekolah untuk kanak-kanak macam ni.

Korang boleh Google beberapa istilah ni macam Pusat Pemulihan Dalam Komuniti, Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Penglihatan, Program Pendidikan Khas Integrasi Penglihatan, dan pelbagai lagi.

Boleh juga tanya kepada guru-guru sekolah ni atau rujuk NGO berkaitan orang buta macam Malaysia Association Blind, Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), KL Braille, dan sebagainya.

Lagi satu kebanyakan mereka lepas tamat sekolah menengah ramai yang akan ikut apa kawan pilih berbanding bergerak solo. Sebab tu tak hairan ramai yang kerja juru urut, buskers, dan menjual tisu.

Tak ramai yang berani nak berdepan sendiri dalam dunia orang celik. Ada potensi sambung belajar di IPTA pun ramai yang tak berani.

Dengan alasan nanti tak ada orang tolong lah, susah lah, orang tak memahami lah, itu lah, ini lah…. Hanya yang betul-betul ada kemahuan, hati kering serta tahan telinga jer yang mampu move on…

Memang tak dinafikan pasaran kerjaya sekarang memang mencabar. Sedangkan orang celik yang belajar IPTA pun ramai menganggur apa lagi yang buta ni kan. Tapi tu semua rezeki masing-masing. Kita usaha, Allah tetapkan rezeki.

Next, aku nak kongsikan pendapat peribadi aku mengenai sumbangan. Aku sangat menghargai rakyat Malaysia yang ringan tulang memberi sumbangan terutamanya dalam bentuk wang atau barang kepada OKU Penglihatan.

Tapi pada masa yang sama, aku juga harap masyarakat dapat menyumbang bantuan dari segi tenaga kepada mereka yang memerlukan.

Contoh mudah dalam kawasan perumahan korang ada rumah yang didiami oleh orang buta.

Apa salahnya 3 hari sekali korang berkunjung dan bertanya ada apa barang keperluan atau bantuan yang mereka perlukan. Kalau tak pun ambil nombor telefon masing-masing dan hubungi jika ada keperluan yang dapat dibantu.

Tapi buat baik berpada-pada ya. Ingat selalu pesan aku, orang buta ni pun manusia dan tak terlepas daripada nafsu dan dosa. Layan dorang ni sama macam layan orang normal lain. Tak perlu terlalu bersimpati takut-takut ada yang mengambil kesempatan kan.

Ok, seterusnya aku bincangkan secara umum beberapa perkara yang selalu orang celik tanya pada aku yang buta. Lain orang lain pengalaman ya. Jadi korang tunggu jer la confession rakan OKU Penglihatan lain yang lebih menarik.

1. Macam mana orang buta memasak?

Nak yang lebih menarik korang tengok channel youtube Siti Huraizah Ruslan. Dia siap demo nak siang ikan, masak itu, masak ini.

Aku ni masak simple jer. Contoh aku masak ikan goreng atau ayam goreng atau keropok lekor. Kan akan melibatkan minyak panas kan? Lepas minyak dah panas & mendidih, nak selamat kena golekkan ayam tu dari tepi kuali. Supaya tak la terpercik minyak tu kalau main campak biasa.

Ayam tu selalu masak seketul demi seketul. Lepas siap satu, baru masukkan lagi satu. Nak elak masuk banyak-banyak sekaligus dalam kuali nanti keliru yang mana dah masak, yang mana belum. Jadi kena sistematik sikit la kan.

2. Macam mana orang buta gosok baju guna seterika besi?

Sekarang zaman canggih dah ada seterika wap kan. Tapi ada masa aku suka guna seterika besi yang biasa tu.

Setakat ni tak pernah lagi baju aku hangus berlubang. Siap orang puji aku, “Wah, tajam garisan baju ko!”. Aku pun tak tahu nak terang macam mana. Lebih kepada istilah alah bisa, tegal biasa.

Belajar gosok baju tanpa ON seterika tu dulu. Lepas tu ansur-ansur gosok baju guna suhu sederhana. Bila dah boleh kawal, guna suhu tinggi la kan. Macam tu jer sebenarnya… Ansur maju…

3. Macam mana orang buta menaip guna komputer?

Ni kalau rajin boleh tengok kat youtube berlambak juga la kan. Ramai youtuber buta dari Indonesia dan luar negara yang buat demo. Siap ada demo game untuk orang buta lagi tu.

Secara ringkas aku terangkan dibantu kemajuan teknologi, maka wujudnya screen reader (pembaca skrin).

Benda ni dah lama wujud dari zaman 90an dah ada sebenarnya. Di komputer lebih dikenali sebagai JAWS atau NVDA. Setiap kali menaip, screen reader ni akan baca setiap huruf dan perkataan yang kita taip. Atas keyboard biasanya ada lekuk timbul pada huruf F dan J.

Kalau siapa yang belajar typing skill, memang boleh menaip tanpa tengok keyboard pun sebenarnya berpandukan F dan J ni. Selebihnya korang rajin-rajin tengok youtube. Hahahaha!!!….

4. Macam mana orang buta guna telefon touchscreen?

Cerita pasal telefon bersuara ni dari zaman Nokia dah ada. Dan hingga sekarang Nokia touchscreen pun adalah antara jenama yang sangat accessible bagi pasaran Android selain Iphone.

Dalam konsep smartphone ni, pun ada screen reader yang dinamakan Talkback Android Accessibility Suite untuk Android. Dan Voice Over untuk Iphone.

Sekadar peringatan kepada rakan celik yang rajin explore benda ni, harap korang belajar macam mana nak turn off aplikasi ni sebelum gatal tangan turn on. Nanti pandai on tak pandai off. Hahahaha!!!…

5. Macam mana orang buta nak kenal warna baju?

Ni pun menarik juga sebenarnya. Zaman canggih ni ada aplikasi volunteer boleh tolong jadi mata. Tapi dari segi manual, terutamanya bila basuh baju yang jenis sepasang macam baju Melayu atau baju kurung.

Kena ada cara yang sistematik la ikut individu tu sendiri. Contoh, hari Isnin aku basuh sepasang baju Melayu warna biru sekali dengan baju lain. Maksudnya tak bercampur baju jenis sepasang yang lain la.

Kemudian selang beberapa hari lagi, aku basuh sepasang baju Melayu warna kuning. Jadi tak la bercampur baju Melayu kan.

Lagi satu, kalau rajin, buat tanda kat bahagian dalam bawah baju. Tanda tu selalunya aku jahit bagi benang timbul sikit untuk mudah nak sentuh. Misalnya satu simpulan tu baju Melayu biru. Dua simpulan tu baju Melayu kuning.

6. Macam mana orang buta makan ikan?

Yang ini bergantung kepada kemahiran juga la sebenarnya kan. Macam aku bila makan ikan, aku tak asing sangat tulang ikan. Aku asing tulang bila ikan tu dah masuk mulut. Hahahaha!!!

Kemahiran lidah dan mengunyah tu kena ada la juga. Aku ada jer beberapa kawan yang buta dari kecil tapi elok jer makan ikan. Maksudnya perkara ni latihan daripada mak ayah la juga sebenarnya.

7. Orang buta mimpi?

Mimpi setahu aku adalah rakaman apa yang pernah dilihat dan didengar. Macam aku sendiri akan mimpi setakat gambaran sebelum aku buta la. Maksudnya apa yang aku pernah lihat sebelum aku buta ni akan muncul dalam mimpi.

Tapi untuk gambaran mimpi selepas buta ni aku tak ada la sangat. Cuma kadang-kadang lebih kepada apa yang pernah didengar. Macam percakapan atau perbualan yang diulang semula. Tak tahu la kalau orang buta lain ya.

8. Orang buta celik hati?

Untuk yang ni sebenarnya adalah perkara yang abstrak. Sebab nama pun manusia. Tak semua manusia tu sama keupayaan. Ada yang buta tapi IQ sederhana. Ada yang buta dan pada masa yang sama ada masalah pertuturan atau masalah pendengaran.

Pendek kata macam yang aku pernah beritahu dulu, apa yang ada pada orang normal pun akan ada pada orang buta. Cuma untuk istilah celik hati ni juga bergantung kepada individu tu sendiri la kan. Ada jer orang buta yang gelap hati. Hahaha!!!….

9. Orang buta boleh ke tengok TV?

Soalan ni pun menarik sebenarnya. Orang celik selalu hairan bila orang buta beli tv. Beli pula bukan tv biasa. Smart TV pula tu. Hahahaha!!!….

Tak ada masalah pun tak tengok skrin. Yang penting accessible untuk orang buta. Accessible di sini maksudnya orang buta boleh guna semaksimum mungkin apa-apa peralatan tu tanpa bantuan orang lain.

Kiranya kepuasan bila kita boleh buat sendiri. Smart TV ni kalau di explore memang banyak fungsi kepada OKU Penglihatan dan Pendengaran khususnya. Ada jer orang buta siap pasang home theatre kat rumah. Yang penting bunyi tu sedap di telinga juga.

Aku akhiri catatan aku di sini. Moga ada confessor OKU Penglihatan lain yang akan kongsikan perjalanan hidup mereka dengan lebih terperinci.

Hidup dunia ini hanya sementara. Saat bahagia pun sementara. Saat duka pun sementara. Teruskan mencari keberkatan dan keredhaan Allah walaupun sememangnya kita semua banyak dosa.

Allah selalu sayangkan kita. Allah tak pernah lupakan kita.

Wasalam.

– Encik N (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *