Dua Sisi IIUMC Menurutku

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat sejahtera dan ceria sentiasa hendaknya.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam mewujudkan IIUMC dan berusaha menghidupkannya sehingga hari ini. Pada awalnya saya menyangka ia adalah khas untuk warga UIA sahaja disebabkan namanya IIUM-International Islamic University Malaysia. Kemudian saya perasan bahawa confessor dan confession yang dibuat bukan sahaja berkisar mengenai warga UIA sebaliknya meluas kepada pelbagai aspek. Malah tukang share, tukang komen dan tukang react juga daripada pelbagai latar belakang. Warga pembaca apatah lagi kan. Malah IIUMC juga telah ada pengikut setianya tersendiri, samada pembaca mahupun pengomen. Rupa-rupanya IIUMC merujuk kepada Instantaneous Intuitive Upright Moving Confessions.

Yang bestnya adalah saya merasakan bahawa ruangan confession ini umpama satu koleksi cerpen yang terdiri daripada pelbagai genre. Kadangkala membacanya membuatkan saya terfikir sendiri dan adakalanya membuatkan saya kembali mengimbau kenangan lama. Walaupun kita tidak mengetahui siapa penulisnya yang sebenar tetapi kita dapat mengutip mutiara kata dan memahami jalan cerita yang disampaikan. Adakalanya kita menangis, adakalanya kita ketawa dan adakalanya kita boleh naik angin disebabkan apa yang kita baca.

MELUAHKAN TANPA DIKENALI
– Ada sesetengah orang yang tidak tahu meluahkan dan tidak berani meluahkan apa yang dirasa secara berdepan. Sesetengah orang lebih suka meluahkan melalui penulisan tetapi tidak mahu dikenali. Jadi ruang IIUMC ni membantu golongan seperti ini agar tidak terus memendam lalu akhirnya membahayakan dirinya sendiri serta insan terdekat dengannya.

MEMBACA MENJADI AMALAN
– Dikatakan bahawa membaca itu jambatan ilmu. Tidak ramai yang suka membaca disebabkan persepsi yang ada bahawasanya membaca itu mestilah sesuatu yang berat dan buku yang tebal. Padahal tidak semestinya. Jadikan dulu membaca itu satu kebiasaan. Mulakan dengan membaca bahan bacaan yang ringan dan santai tetapi bermanfaat. Lama-kelamaan kita akan terbiasa dengan tabiat membaca dan tidak mustahil satu masa nanti kita juga boleh menghabiskan membaca buku yang tebal dan penulisan yang panjang. Slow reader? Jangan risau, latih diri sedikit demi sedikit, lama-kelamaan kita juga mampu jadi fast reader dan effective reader.

MELATIH OTAK BERFIKIR
– Macam mana IIUMC dikatakan boleh melatih otak berfikir? Ya la, nak menulis kena fikir dulu. Bukan boleh main tulis sesuka hati saja kan. Dah baca pun kena fikir kena hadam juga apa yang dibaca tu. Bukan boleh telan semua sekali bulat-bulat saja, perlu juga ada tapisannya. Manakala untuk meninggalkan komen juga, perlukan kepada pemikiran. Ingat, setiap yang ditulis mencerminkan diri kita sendiri. Walaupun orang tidak mengetahui siapa kita, tetapi kita selaku diri sendiri mampu menilai sendiri sejauh mana diri kita dan jenis bagaimana diri kita.

MENGASAH BAKAT MENULIS
– Ok, yang ini lebih kepada si confessor terutamanya. Mungkin pada mulanya kita hanya ingin menulis saja-saja tetapi lama-kelamaan secara tidak langsung ia akan memperbaik cara penulisan dan gaya bahasa yang digunakan. Ada confession yang mudah difahami, ada confession yang menyentuh hati pembaca, ada confession yang mencuit hati dan menghiburkan dan ada juga confession yang sukar dimengertikan oleh warga pembaca dari segi cara penceritaan atau mesej yang cuba disampaikan oleh confessor. Jadi untuk membolehkan pembaca memahami apa yang cuba disampaikan, ada teknik dan kemahiran yang perlu diasah.

MENDAPAT PANDANGAN BERBEZA
– Melalui confessions yang dikongsikan di IIUMC, si pembaca boleh mendapatkan pandangan berbeza mengenai sesuatu perkara mengikut perspektif dan kefahaman si confessor masing-masing. Selain itu, si confessor juga boleh mendapatkan pandangan yang pelbagai di ruangan komen berdasarkan post yang dikongsikan.

MENGUTIP KATA-KATA SEMANGAT DAN SOKONGAN
– Sesetengah individu yang mungkin sedang dalam kemurungan, tekanan, kesedihan, atau seumpamanya boleh mendapatkan semangat daripada confession yang dibuat. Adakalanya sokongan juga dapat diperoleh secara tidak langsung melalui komen-komen yang ditinggalkan oleh pembaca untuk confessions tertentu. Si confessor yang memerlukan kata-kata semangat dan sokongan moral akan rasa terbantu. Manakala bagi individu yang mengalami kisah yang sama dengan confessor lalu terbaca mengenainya, pasti dapat menumpang manfaatnya juga. Bagi yang berkongsi kata-kata positif, secara tidak langsung anda seolah-olah sedang memberi kehidupan baru kepada insan-insan terterntu yang memerlukan.

MEMBERI INSPIRASI
– Sesetengah kisah/perkongsian cukup memberikan inspirasi kepada pembaca. Ada juga yang membuatkan pembaca rasa bersyukur dan lebih menghargai apa yang mereka lalui dan miliki.

MENGAMBIL PENGAJARAN
– Kebanyakan perkongsian yang dibuat mengandungi pengajarannya yang tersendiri. Ianya bergantung kepada pembaca untuk mengambil pengajaran mana yang dirasakan terkesan di hati mereka.

Itu merupakan beberapa perkara positif yang dapat saya kongsikan mengikut pemerhatian dan pandangan saya. Jika kita ingin melihat kepada sudut negatif pula, pastinya ada. Kalau ada hitam, pasti ada putih. Kalau ada Yin, pasti Yang. Kalau ada atas, pasti ada bawah. Ianya selalu begitu kan.

PENGKRITIK TEGAR
– Sepertinya IIUMC telah mempunyai pembaca dan pengikut setianya tersendiri. Malah ada pengkritik hebat yang siap sedia memberikan kritik di hamper setiap post yang dibuat. Pengkritik dan kaki komen ini amatlah pelbagai.

PEMBUNUH JIWA
– Daripada ruangan komen itu juga lahirnya pembunuh senyap yang dalam diam mampu membunuh jiwa insan-insan tertentu. Daripada kata-kata yang diberikan, ada yang membekas secara keras dalam hati orang-orang tertentu. Diharapnya kita bukanlah tergolong daripada golongan tersebut.

KETAGIHAN
– Disebabkan IIUMC begitu aktif dan selalu ada post terkini setiap masa, ia boleh menyebabkan ketagihan dalam diri pembaca. Tambahan pula, ianya sangat seronok untuk dibaca dan boleh di’access’ di mana-mana sahaja selagi internet disambung. Ketagihan ini menjadi parah bilamana seseorang itu mula melupakan tanggungjawab sendiri dan kerap menghabiskan masa untuk melayaninya sahaja.

Walau bagaimanapun, semuanya terletak pada diri sendiri untuk menentukan yang mana keutamaan bagi diri sendiri. Bukan salah IIUMC mahupun confessor, sebaliknya ia adalah berbalik kepada diri sendiri.

Sekian sahaja daripada saya. Yang mana baik, boleh diambil manakala yang buruk, boleh ditinggalkan.

Semoga bermanfaat.

Wallahua’lam.

Sekian.

– MJ

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit