Dugaan Banjir

Assalamualaikum, apa khabar semua…

Aku tak tahulah cerita ni relevan tak disini sebab kebanyakan topik minggu ni di sini menjurus kepada kisah curang kontroversi. Tapi aku terkesan dengan kisah banjir yang menyayat hati hujung tahun 2021 ni..

Aku menetap di pantai timur, saban tahun berdepan dengan risiko banjir. Tapi rumah aku di kawasan rendah yang ada masalah perparitan maka setiap kali hujan lebat akan berlaku banjir kilat.

Rumah aku besar (penat nak cuci banjir), rumah peninggalan ibu bapa. Suami kerja sendiri berniaga menjual air balang di tepi jalan… Ada anak-anak kecil dan tak pandai memandu… Jadi, situasi aku terbatas untuk buat banyak perkara.

Sebelum berlaku banjir besar ni, rumah aku masuk air akibat hujan lebat berterusan… Air cepat masuk dan ada beberapa barang rosak kena air seperti karpet, tilam dan buku yang ada di lantai.

Aku ambil masa lama nak bersihkan lantai dan perkakas yang kena air.. rutin tahunan bagaikan cuci banjir sahaja. Yang lebih terasa, bila banjir kilat rumah kami je naik air. Rumah orang lain lebih tinggi tak tergugat dengan hujan lebat.

Dan hujung tahun biasanya ada banjir besar dari kenaikan paras sungai… Namun bab banjir ni, yang kami dah hadap banyak tahun… Tak seragam.

Ada rumah yang pernah naik air tinggi kini tak naik tinggi. Ada rumah yang tak pernah banjir boleh banjir… Jadi, sungguh ini satu peringatan Tuhan… Tanda kuasaNya.

Banjir ni bagaikan satu musibah. Kesan dari kejahatan manusia. Kesan dari pembangunan yang tak seimbang. Tapi, bagi kami yang banjir selalu ni… Mungkin ini cara Allah nak beri pahala sabar, nak beri pahala kepada orang lain untuk membantu..

Tapi, sebelum banjir ni aku rasa sedikit tertekan. Aku dah penat kemas dan basuh banjir kilat dan aku memikirkan banjir besar pula… Aku penat sebab rasa tak mampu nak bersihkan semua…

Aku penat mengenangkan barang rosak sedangkan aku bukan berduit untuk membeli baru… Aku penat kerana takut banjir besar ni tinggi sebab banyak barang dan pakaian yang diletakkan di atas para. Andai banjir melebihi para maka habislah…

Dalam memikirkan penat aku menangis mengenang nasib. Kalau aku mampu aku nak je beli rumah lain di kawasan tinggi. Tidaklah aku hadap masalah ni sahaja.

Mulalah aku cemburu dengan mereka yang ada banyak rumah… Banyak harta… Aku ni bila musim hujan atau banjir suami tak berniaga jual air… Jadi duit poket susut lainlah mereka yang kerja kerajaan cuti panjang pun gaji masuk.

Dalam aku kebingungan nak kemas untuk persiapan banjir besar. Aku melihat paparan berita di muka buku, aku sungguh terkedu…

Kemalangan meragut nyawa ibu dan lapan anaknya serentak meninggalkan suami dan seorang anak… Aku sentap dari kesedihan. Dalam aku rasa diri ni malang dan sedih datang berita yang aku kira sangat meruntun hati. Lagi sedih.

Maka sedih aku hilang sebab apalah sangat dengan kehilangan barang berbanding kehilangan orang tersayang. Aku syukur melihat anak-anak yang sihat walaupun sedar diri tak mampu beri segala.. syukur tu mampu beri bahagia.

Kemudian menyusul pula berita kematian akibat tanah runtuh, akibat banjir lagilah rasa sungguh dunia ni sementara tiada milik kita…

Banyak video yang dikongsi merobek hati…

Tapi video sesetengah pemimpin yang cuba membantu mangsa banjir juga banyak merobek hati.

Aku rasa jika mereka tak turun padang pun tak apa sebab bukan kemahiran mereka naik bot ditemani berpuluh pengiring disaat getir begini. Tapi demi pangkat dan tunjuk muka mereka sanggup.

Bagi yang membantu baik orang awam dan pihak keselamatan berbanyak terima kasih buat mereka. Berat mata memandang lagi berat bahu memikul.

Buat mangsa yang terlibat, sungguh pengalaman buruk itu ada hikmah yang datang kemudian. Mendidik hati agar ingatkan orang yang lebih susah, jangan terlalu banyak kumpul harta bersedekahlah…

Aku yang terkesan dengan banjir ni banyak kongsi kisah tragis banjir buruk negara di status, story tapi aku lihat ada yang sedang enak bercuti dan tunjuk keseronokan pada saat negara sedang diuji. Tak apalah mereka tidak diuji perkara ini. Lain orang lain ujian.

Tapi, banjir kali ni terasa ringan pula. Mungkin sebab ini bukan yang pertama bagiku. Barang banyak sudah diletakkan tinggi (perabut tak ada) dan Allah beri banjir paras bawah para. Tuhan tahu kemampuan hambaNya. Tuhan dengar rayuan hambaNya.

Tuhan uji untuk tingkatkan darjat hamba agar lebih dekat denganNya. Namun kadangkala kita diuji dengan musibah atau bala namun masih lagi mahu ingkar. Masih lupa diri…

Contoh bila banjir duduk di pps atau bila sakit masuk hospital… Berapa kerat je yang solat.

Bab bantuan banjir dari segi sumbangan barang pula… Janganlah longgok stok makanan kering kepada kami… Rumah dah bersepah kotor dan susun makanan lain pula… Untuk aku ini bukan sumbangan sesuai.

Bab makanan alhamdulillah kami ok, kedai makan pun banyak buka di kawasan aku sebab sedikit je yang kena banjir. Yang rumah rendah.

Nak bagi bantal atau pakaian pun itu bukan keutamaan kami. Barangkali lain orang lain keperluan… Ini perlu dikaji agar tidaklah sukarelawan dan penyumbang membazir masa dan duit dengan benda tak perlu. Tapi sokongan dan keprihatinan anda sangat membanggakan.

Aku kagum dengan dua nama ni, uah dan uel. Walaupun mereka sedang menunaikan umrah team mereka aktif membantu banyak perkara bermula dari awal pkp dahulu.

Kemudian, kerajaan akan beri sumbangan duit kepada mangsa banjir. Ya, untuk aku ni sumbangan paling bagus. Kalau boleh beri banyak lagi.

Kalau boleh beri rumah sebagai pampasan (terlebih minta pula) sebab gagal menyelaras pembangunan, yang mega-mega juta bilion boleh buat yang pendalaman nak buat longkang pun tak ada peruntukan.

Jika kalian tak berlaku adil, kalian tak tenang. Pergilah umrah banyak kali tak menentu banyak pahala.

Kadangkala bila rasa banyak kekurangan… Pujuk hati, tak apalah mereka tu banyak harta nanti banyak hisap di akhirat… Moga di dunia ni kediaman tak semegah tapi di akhirat Allah beri Syurga terindah tak terkata…

Maaf dengan kekurangan diri ini dan terima kasih sudi memahami.

– G (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *