Hi… Aku berharap agar admin dapat post confession aku. Aku sendiri tidak tahu apa iktibar yang korang dapat dari aku tapi aku berharap korang dapat something yang menguatkan.
Ramai antara kita yang bermasalah, kadang sampai putus asa bahkan sampai menyalahkan takdir. Pesanku di sini sesekali jangan menyesali musibah itu. Aku nak kongsi dugaan hidup mengecewakan, akhirnya Allah ganti dengan kebahagiaan.
Zaman kanak-kanakku cukup indah, punyai keluarga sederhana walaupun orang di sekitar kami menganggap kami orang berada. Allah tarik nikmat kasih sayang seorang ayah di usiaku 11 tahun, di mana adiknya sendiri membunuh ayahku. Sakitnya tidak terkata, terlalu sakit perasaannya kehilangan orang tersayang. Ibu pula masa tu hampir gila kerana tekanan perasaan. Setelah perbicaraan, ibu hanya mampu memiliki kami 7 orang adik beradik. Semua harta peninggalan ayahku dirampas oleh saudara ayah. Ibu redha, asalkan memiliki aku dan adik-adik sebagai harta paling berharga.
Dugaan datang lagi ketika aku 13 tahun, mungkin kerna Ibu kesunyian maka hadirlah ayah tiri. Sukar untuk aku terima kerana Ibu tidak tanya pendapat kami. Aku maafkan Ibu. Yang peritnya adalah ayah tiri ternyata banyak hutang, paling sadis pemabuk dan kaki pukul. Segala maki hamun kami terima, hinaan kepada Ibu aku sebagai pelacur. Aku sangat marah kepada takdir, kenapa? Sehinggakan aku diserang insomnia, boleh dikatakan aku trauma malam dengar ayah tiri aku balik mabuk.
Satu-satunya yang terlintas di fikiranku pada ketika itu adalah pergi jauh dari rumah. Masa 16 tahun, aku pindah sekolah jauh beratus km. Tidak kisahlah jauh, janji aku terlepas dari siksaan itu hilang. Aku tidak matang ketika itu, hendakku hanya lari dari masalah. Aku tidak betah duduk di rumah, sampailah aku masuk U.
Hampir tamat pengajian aku mulai panik, ke mana lagi hendak aku pergi? Ibu tak bagi aku kerja jauh. Masa tu aku fikir kahwin, supaya aku tidak berada di bawah tanggungjawab orang tua. Akhirnya aku berkahwin setelah tamat pengajian, walaupun aku takut dengan kaum lelaki kerana ayah tiriku. Syukur Allah, suami aku seorang yang baik. Aku sedar akan 1 perkara bahawa selepas ujian Allah hadirkan bahagia itu.
Aku kira dugaanku berakhir, hampir setahun berkahwin aku tak pregnant lagi. Ibu mertua & ipar-ipar aku duk mengata kata aku tak subur. Benda tu aku tak terima sebab aku menstruasi setiap bulan tepat 28 hari, cuma aku ada masalah senggugut. So, akupun buat checkup, ternyatakan aku tergolong dalam wanita istimewa sebab rahim terbalik atau retroverted uterus. Masa tu aku keluh gila, doktor kata mostly faktor genetik dan keistimewaan ini tidak membawa kepada masalah kesuburan, lagipula telur rahim sempurna tidak kecil.
Sebulan sebelum aku buat checkup tu, ada family bagi nasihat check talasemia. 2 bulan dapat result talasemia, Allah macam dunia aku masa tu kelam, aku buntu, suami aku sampai tak boleh senyum. Kitorang berdua disahkan sebagai pembawa talasemia, bermaksud 25% anak sebagai major talasemia. Balik rumah aku masuk toilet, aku nangis, aku taknak suami aku nampak, aku taknak dia nampak aku lemah. Dan sebenarnya, ikut UTP rumah aku positif pregnant. Aku tak tahu nak cakap apa dengan suami. Aku dapat 2 berita yang serentak.
Kalau ikut nasihat doktor, aku kena buat screening. Nak tengok janin sama ada sihat atau major talasemia. Lepas tu kalau major, kitorang kena buat pilihan sama ada nak gugurkan atau sanggup teruskan jaga anak major talasemia. Sejujurnya, aku buntu. Aku masih mampu tersenyum mengenang dugaan demi dugaan dalam hidup aku. Aku bersyukur Allah hadirkan ujian berat buatku yang mungkin tidak berat bagi kalian, setidaknya aku tahu Allah sayang aku. Allah nak aku ingat, beriman dan sentiasa bergantung pada-Nya. Kalau korang nak tanya aku buat keputusan apa kalau baby major, aku tidak tahu. Aku hanya mampu bersandar pada Allah, serta dorongan kasih dari seorang suami. Aku sedar Allah perlambatkan zuriat untuk kami agar kami benar-benar bersedia setelah tahu situasi kami sebenar.
Aku berharap korang doakan yang terbaik untuk aku. Supaya baby dalam kandungan aku sihat. Aku tahu lagi ramai hamba Allah yang susah dan merana, tapi dugaanku sebegini cukup menghancurkan perasaan sebagai hamba lemah. Dan kalau nampak orang yang lemah, susah, tolong doakan yang baik-baik bukan tambah menghina atau apa-apa tindakan yang menambah peritnya dugaan seseorang itu.
Aku doakan kita semua kuat dan tidak pernah menyerah bersandar kepada Allah. Aku percaya sebalik dugaan ada keistimewaannya. Ibu selalu pesan, jangan menyalahkan takdir setiap musibah yang datang, kerana pasti terselit hikmah sebaliknya.
– Ashae
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit