Hari ni hari ke 7 bonda pergi meninggalkan kami selama-lamanya. Untuk yang bertanya mak sakit ape, mak sakit cancer lymphoma. Punca nya, mak hanya sakit perut je. Selalu cirit birit dari bulan 12/2017 sampai bulan 3/2018. Masa bulan 3/2018 mak demam, demam berpanjangan dan cirit birit.
Pergi hospital tapi hospital kata demam biasa. Makan je laa ubat yang doktor bagi masa tu. Tapi lepas seminggu, demam mak tak kebah. Mak masih demam, dan masa ni kami bawak mak ke hospital lagi. Doktor masih cakap benda yang sama. Mak hanya demam biasa. Masuk minggu ke 3, kami bawa ke klinik swasta. Doktor cakap ada sesuatu kat usus mak dan dia suruh rujuk hospital.
Masa tu, kat hospital baru laa doktor cek sebetul-betulnya dan didapati usus mak ada luka. Masa ni, keadaan mak demam, lemah dan sangat kurus. Kurus mendadak sampai nampak tulang dan perut dia besar sebelah dan sakit sangat2 katanya. Doktor di hospital Muar suruh dapatkan rawatan sama ada di Hospital Melaka atau di Hospital Ampang.
Yang paling dekat dengan Muar dah tentu Melaka. Mak cek up di Hospital Melaka dan terus dapat rawatan kimo di wad A1. Di Melaka mak kena dapatkan 7 kali kimo. Doktor bagi pilihan, nak masuk jarum di peha atau guna kimoport di dada. Dedua bahagian ade kesan masing2. Sama ada jangkitan kuman atau pendarahan. Mak pilih untuk masukkan segala ubatnya di peha sepanjang rawatan kimo. Jarum tu hanya boleh berada 5hari shaja untuk mengelakkan jangkitan kuman atau pendarahan.
Untuk kimo pertama, doktor kata dalam masa 3 minggu kena berada di hospital. 5 hari kimo, selebihnya lagi doktor pantau darah. Kemungkinan lepas kimo akan ada demam, batuk, selsema dan lain2. Sebab kimo ni panas, dia membunuh segala cell yang ada dalam badan. Jadi akan ada keguguran rambut, kuku hitam dan lain2. Kami adik bradik bergilir-gilir jaga mak, bagi mak semangat dan kekuatan. Memang masa ni air mata sahaja sebab kesian sangat tengok keadaan mak.
Kimo kali ke 2 dan ke 3, dah nampak rambut mak mula gugur. Walaupon mak tak cakap, tapi mesti dia sedih tengok keadaan diri dia sendiri. Mak tetap senyum, ceria, selalu bagi kata2 semangat kat orang lain termasuk kawan2 seperjuangan dia di Hospital Melaka. Begitu laa keadaan kami sepanjang tahun ni. 3 atau 2 minggu dihospital, selebihnya di rumah.
2/8/2018 Masuk kimo kali ke 5, pagi tu sebelum pergi ke hospital Melaka. Mak suruh ayah pergi beli sayur untuk masak sebelum dia masuk wad. Ayah pon keluar laa nak beli sayur, tapi masa tu ayah balik lambat dan ade nombor yang tak dikenali call. Dia bagi tahu yang ayah excident. Dia langgar ayah naik kreta. Ayah plak naik motor. Kebetulan kami 3 bradik cuti masa tu. Aku, angah dan ejal bergegas pergi ke hospital. Mak tinggal sorang kat rumah. Bahagian pergelangan tangan kanan ayah patah tapi tak luka. Ayah nangis, sebab kesakitan. Belum simen lagi dan dalam masa yang sama di mesti fikirkan mak. Angah teman ayah, aku dengan ejal pergi buat laporan polis. Nasib baik orang yang langgar ayah tu bertanggungjawab bawa ayah pergi hospital.
Hari yang sama, ayah dimasukkan ke wad 3 Hospital Muar. Masa ni, kami adik bradik berbahagi tugas. Angah dan ude jaga ayah kat hospital Muar, aku dan ejal uruskan mak bawa ke hospital Melaka. Sedih sangat masa ni, mak dan ayah berada di hospital yang berlainan. Seperti kebiasaan, aku akan jaga mak semasa rawatan kimo. Tapi kali ni, mak tak bagi jaga dia. Dia suruh uruskan ayah, uruskan kucing sebab kat rumah tade orang. Jadi bulan tu tade sape jaga mak, cuma kami datang melawat je. Ya, masa ni memang aku tak bekerja. Aku berhenti sebab nak jaga mak aku. Aku berhenti awal tahun haritu.
Mak cakap, tengokkan ayah. Walaupon ayah boleh telan ubat, tapi kadang dia main tipu. Dia tak telan pon tapi dia buang atau dia sorok ubatnya. Tangan ayah di simen, tak boleh gerak. Masa ni baru tahu ayah ada kencing manis. Jadi, segala pemakanan ayah kena kawal. 5 hari ayah kena tahan wad. Dalam masa 5hari tu, kami adik bradik bergilir-gilir jaga ayah. Sebelum balik, nurse ada bagi ubat insulin sebab bacaan darah dia terlalu tinggi. Ayah dapat MC 3bulan sampai tangan dia betul2 ok.
Kebiasaannya, setiap 2hari sekali ayah akan melawat mak lepas dia balik kerja. Disebabkan ayah kat hospital, memang kami adik bradik yang berulang melawat mak dan ayah. Mungkin ada hikmahnya juga, Allah nak bagi ayah rehat dan luangkan masa lebih dengan mak. Sebab dia kan dapat MC lama. Bila mak dan ayah kat rumah, setiap pagi mak dan ayah akan keluar dating. Mana mak nak pergi, mesti ayah bawa. Walaupon tangan ayah patah dan bersimen, tapi dia gigih kan juga untuk drive kreta cuma tak boleh bawa motor je. Mak tak boleh terlalu renyah, dia akan cepat penat.
Selesai kimo yg ke 7. Masa ni memang mak dapat masa cuti lebih. Cuti dari berada di wad A1 Hospital Melaka tapi mak ade followup di hospital Muar. Doktor di Muar dah sahkan yang mak dah bebas cancer. Alhamdulillah, syukur sangat time ni. Tapi mak masih berpantang makan. Mak tak boleh makan seafood, tak boleh makan makanan luar, tak boleh makan sebarangan buah buahan. Lebih teruk sikit dari orang berpantang bersalin. Tapi mak ok je, dia faham. Dia sendiri nak sihat. Kalau mak kat rumah, sama ada dia yang masak sendiri atau aku yang masak. Rindunya masakkan mak. Walaupon mak dah disahkan bebas canser tapi tu baru 1 doktor je yang cakap. Mak tetap kena jalani transplan supaya canser tu tak datang lagi.
30/10/2018 Mak kena jalani kimo 3kali ganda dari biasa di Hospital Ampang. Ni kimo kali ke 8 selama 5hari. Mak ditempatkan di bilik yang ada 4 orang pesakit sebab guna stem cell sendiri. Kenapa kat ampang ? Sebab, hanya di hospital Ampang je ada transplan. Sabah dan Sarawak pon datang situ untuk transplan. Wad 7D di Hospital Ampang kawalan sangat ketat. Hanya penjaga sahaja yang boleh masuk wad tu. Pelawat tidak dibenarkan masuk walaupon ahli keluarga sendiri. Penjaga pon kena mandi di wad tu, pakai baju yang disediakan, pakai mask, baru boleh masuk. Penjaga pon tak boleh makan dalam wad, kena makan di pantry yang disediakan. Air masak yang pesakit minum pon tak boleh sebarangan. Air mineral pon tak boleh. Kalau nak minum juga kena masak semula. Setiap barang yang dari luar, perlu di lap guna tisu basah yang disediakan hospital baru boleh bawa masuk. Risau ada jangkitan kuman.
Seperti biasa, saluran ubatan di peha. Minggu pertama di sana, aku tak dapat teman mak sebab aku demam teruk. Penjaga yang menjaga orang sakit di hospital tu kena sihat. Takut nanti ada jangkitan kuman. Jadi, minggu pertama aku tak dapat teman mak.
Bila dah sihat, aku siapkan semua untuk jaga mak. Doktor kata kalau tak ada apa2 mungkin dalam 3 minggu. InsyaAllah. 5hari mak kimo, 1 hari rehat dan esoknya terus transplan guna stem cell sendiri. Maksudnya, anak darah dari badan mak sendiri. Darah mak akan kosong masa ni dan tunggu dalam beberapa hari supaya darah merah, darah putih dan PLT dia naik.
Sebenarnya, selepas transplan pesakit kebiasaannya akan mengalami, demam, batuk, ulser, sakit tekak, muntah, hilang selera makan, cirit birit dan banyak lagi. Untuk sihat, pesakit mesti melalui semua ni tapi mak sihat untuk minggu pertama. Sampai doktor cakap dah boleh balik jika hujung minggu dia masih sihat. Tapi malangnya, hujung minggu tu laa mak mula rasa semua tu.
Doktor ada bagi tahu, kita akan cuba buat sesuatu supaya darah mak naik semula. Dia akan bantu. Sangat berisiko jika dalam badan tade darah. Kesian mak, hari2 cucuk darah putih. Setiap hari 2 atau 3kali. Sama ada di lengan atau diperut. Sampai bengkak2 dibuatnya. Mak tak boleh makan makanan beli diluar, hanya makanan hospital atau makanan yang dimasak sendiri je. Sangat menjaga kebersihan.
Kadang2, ada beberapa penjaga baik hati. Dia masakkan dari rumah dan suruh bagi pada mak. Mak masih ada selera makan walaupon dia sakit. Kebiasaannya makanan dia memang habis. Alhamdulillah, aku pon senang hati tengok mak makan habis.
Hari ke 25 dan ke atas, darah mak masih kosong dan dia perlukan stem cell orang lain untuk teruskan hidup. Doktor nak jumpa semua keluarga yang ada secepat mungkin. Esoknya, ayah dan adik2 semua datang. Doktor ceritakan segala terperinci tentang mak.
Doktor bagi tahu, mak sebenarnya tak banyak masa. Dia perlukan stem cell anak kandung supaya darah mak cepat tumbuh dalam badan dia. Doktor perlukan darah tersebut secepat mungkin dan dia ada bagi tahu segala risiko yang kemungkinan berlaku. Disebabkan aku adalah penjaga mak, dan hanya aku yang paling dekat. Doktor terus ambil keputusan untuk ambil darah aku. Aku tak mampu cakap apa. Serah diri dan dalam masa yang sama selalu berdoa supaya stem cell aku ni boleh mak buat kembali sihat macam dulu. Ambil stem cell bukan macam ambil darah, sangat berbeza.
Mak dipindahkan di bilik 16. Masih wad yang sama 7D tapi dibilik perseorangan sebab mak akan guna stem cell orang lain. Masa ni sangat sedih. Aku tak akan tinggalkan mak dalam jangka masa yang lama sebab mak tinggal sorang2 dalam bilik tu. Ada 1 penjaga yang baik hati, setiap pagi dia akan tanya nak makan apa, nak kirim apa2 sebab dia tahu aku tak akan tinggalkan mak sorang2 hanya untuk makan je. Kalau keluar pon, hanya untuk makan dipantry atau mandi atau pergi dobi.
Sejak mak dipindahkan ke bilik 16 ni. Setiap masa hati tak sedap. Ada hari mata sebelah kiri mengenyit, ada masa mata sebelah kanan mengenyit. Ada masa hati berdebar kencang tanpa tahu punca. Setiap kali berdebar, mesti tak lama tu ada sesuatu terjadi kat mak. Contohnya, mak akan demam panas 39 atau badan mak mengigil. Berdebar bukan sekali dua tapi banyak kali, kencang. Ada sekali tu mak mengigil teruk, sampai katil pon bergoyang. Mungkin mak sejuk sangat. Aku panik, tak tahu nak buat apa. Panggil nurse, ambil selimut 2 3 helai selimutkan mak. Itu pon masih menggigil kesejukan. Sampai 5 selimut. MasyaAllah, Allah je yang tahu keadaan dan perasaan aku tengok mak masa tu.
Mak menggigil dalam 10 atau 15minit, lepas tu dia ok semula. Darah dia masih kosong, sebab tu dia jadi macam tu. Lepas mak menggigil, aku akan ambil minyak dan urut2 kaki mak, badan mak yang mak rasa sakit2 dan tak selesa. Allahu, aku cuba bertahan dari menangis. Tak nak bagi mak nampak yang aku sedih. Banyak kali juga mak demam dan menggigil sebelum doktor ambil darah aku.
Esoknya, doktor ambil darah aku untuk ujian stem cell. Doktor kata, anak kandung insyaAllah boleh baik sebab darahnya 50 dari ayah 50 dari mak. Aku pon serah diri untuk ambil darah tu. Ada dalam 20+ tabungnya, tak pasti berapa tapi memang banyak. Doktor baru ambil darah aku, aku dah rasa sakit. Inikan pula mak yang hari2 kena cucuk.
Mak pula kena tukar saluran ubat-ubatan dia. Dari peha ke leher sebab di leher ada urat besar terus ke jantung. Kesian mak, akak tahu mak sakit sangat masa ni Mak minta untuk tukar di peha lagi satu tapi doktor tak bagi risau ade jangkitan kuman. Mak tak cakap banyak, hanya doa je yang mampu. Aku nampak mak menangis tapi dia cuba sorok. Aku pula berlari pergi bilik air, nangis sorang2 kat situ. Lama juga aku nangis, sampai ada penjaga lain masuk bilik air tu. Aku cuba untuk tak nangis, baru aku pergi ke mak semula.
Sementara aku kena ambil stem cell nanti, aku akan duduk di wad 8B sampai stem cell di ambil. Masa ni, makcik aku datang. Dia yang sukarela nak jaga mak sementara aku ada kat wad 8B. Terpaksa berpisah dengan mak untuk sementara waktu.
Ayah, angah, ude dan ejal ada datang melawat mak. Hanya ayah je yang lepas masuk sebab ayah suami pesakit. Masa ayah melawat mak, aku kat luar dengan adik bradik yang lain. Bila ayah dah selesai melawat, uda pula nak jenguk mak tapi tak lepas. Bilik 16 Wad 7D ada 7pintu kesemuanya sampai bilik mak. Aku ajar ude pakai apron, mask, cuci tangan semua sebelum dia masuk tapi malangnya sampai pintu ke 5 dia kena tahan dengan doktor. Doktor tak bagi masuk risau ada jangkitan kuman. Ude sedih sangat masa ni, aku suruh dia relex dulu dalam 1 jam, baru pergi masuk semula. Masih sama, sampai pintu ke 5 nurse tak bagi dia masuk dan dia terpaksa keluar. Kesian ude, kecewa sangat dia masa ni sebab last dia jumpa mak sebelum mak datang hospital Ampang. Nasib baik sekarang zaman teknologi, video call je laa yang mampu.
Doktor terangkan pada aku langkah2 ambil stem cell tu. 3hari cucuk darah putih, dan hari ke 4 baru ambil stem cell nya selama 4 hingga 5 jam. Selepas cucuk darah putih tu, aku akan rasa sakit2 badan, sakit belakang macam senggugut teruk. Hari pertama dan kedua ok, walaupon sakit aku macam biasa laa, merayap aje. Merayap bukan pergi mana pon, pergi tengok keadaan mak yang kat wad 7D. Memang aku hilang dari wad tu sebab memang tahu waktu aku kena cucuk pukul 6 petang. Jadi sebelum tu memang aku hilangkan diri laa. Hee..
Masuk hari ke 3 kena cucuk darah putih. Aku macam tak larat dah. Sakit belakang tu, memang macam senggugut teruk. Biasa kalau kena macam ni, memang aku tido aje. Tadenye makan ubat. Aku tak suka ubat. Tak reti makan ubat. Kalau demam ke ape ke memang aku akan tahan dari makan ubat.
.
Setiap pagi tu, nurse akan bagi 2 biji ubat. Kadang aku makan sebiji je, lagi 1 mesti tak boleh telan sebab 1 biji ubat aku akan perlukan 1 jag air Ya, aku memang sangat susah nak makan ubat. Kadang 1 biji lagi tu, aku terbuang dalam tong sampah. Aku makan sebiji je, tu pon da memadai untuk aku.
.
Masuk hari ke 4, hari yang kena collect stem stem cell. Dalam pukul 10 pagi doktor datang nak masuk kan jarum kat peha aku. Aku memang tak tengok pon jarum tu, seram. Sebab diorang ada cakap jarum nye panjang dam besar. Aku memang serah diri masa ni. Dalam 20minit selesai. Aku pakai kain, jalan pon dah macam orang kena sunat tu. Tak boleh gerak laju macam biasa. Nurse bawa aku pergi wad 7D, masa untuk collect stem cell. Nasib baik aku dah makan. Aku baring je kat wad 7D tu, kat situ sejuk.
Dalam masa nak ambil stem cell tu, aku akan rasa sejuk dan kebas, katil pon gegar2 sampai aku tertidur terbangun dan tidur semula. 4 hingga 5 jam tau nak ambil tu. Aku tak boleh gerak sikit. Rasa nak patah segala tulang yang ada. Sakit giler. Ok laa, selesai collect stem cell tu, aku bangun. Kepala aku pening sangat, sakit2 tulang belakang. Doktor pon cabut laa jarum aku yang dekat peha tu. Masa nak masukkan tak rasa apa2, tapi bila dia nak cabut, terjerit2 aku dibuatnya. Sakit sangat. Bila dah selesai, doktor tunjuk jarum yang masuk kat peha aku tu, rupa dia macam tiub, panjang dia ibarat dari pergelangan tangan sampai siku. Panjang kan. Tapi tape, aku buat semua demi mak.
Stem cell tu terus dimasukkan ke mak. Hari pertama mak ok, ada demam sikit. Hari ke 2 mak menggigil tapi dalam masa yang sama darah mak mula naik. Darah putih, darah merah, PLT pon naik. Alhamdulillah dah tunjuk tanda2 positif tapi dalam masa yang sama aku risau sebab terlalu awal stem cell tu tumbuh. Tapi aku cuba positifkan fikiran, agar tade ape2 yg berlaku.
Selang beberapa hari tu, mak sihat. Tade demam, tade mengigil, tade batuk or segala laa. Semua biasa je cuma darah mak dah mula kosong semula. Dia turun. Aku sangat risau masa ni. Tapi mak sihat, dia kuat boleh pergi bilik air, boleh makan boleh minum.
Aku tanya nurse dan doktor, kenapa darah mak kosong semula. Lepas tu, doktor tu macam tak nak layan aku. Dia kata banyak2kan berdoa dan dia ambil barang2 dia terus tinggalkan aku macam tu je. Tak cakap banyak. Aku plak tercengang, kenapa doktor tu trus pergi. Mungkin dia ada kerja kot dalam fikiran.
Lusanya, dalam pukul 1pagi. Mak sesak nafas. Memang doktor bergelumun dekat mak. Tak lama lepas tu, mak ok semulaa cuma dia tak boleh bercakap, diam je. Dalam pukul 4pagi mak sesak nafas lagi, memang doktor, nurse ramai masa ni. Call ayah, semua yang dari muar terus datang hospital Ampang.
Pukul 5.15pagi mak disahkan dah meninggal dunia. Allahu, Allah je laa yang tahu keadaan kami semua masa tu. Mak dibawakan ke unit forensik sementara tunggu ayah dan lain2 sampai.
Ayah sampai je, kami terus kemas segala barang yang ada dan tuntut jenazah kat unit forensik. Tak pernah aku tengok ayah, angah, ude, pejal dan lain2 nangis sampai macam tu sekali. Yang paling sedih ayah dan angah. Masing2 macam tak dapat terima tapi kita kena redha. Tangan ayah yang patah tu tiba2 kaku. Sedih sangat tengok keadaan ayah masa ni apatah lagi adik bradik aku yang lain.
Kami semua tak berlengah, uruskan segala mengenai mak. Semua adik bradik aku mandikan, ayah hanya tengok je sebab tangan dia masih sakit. Aku dan ejal angkat mak, yang lain tolong pegang mak. Sudah mandikan, kami kapankan mak sampai selesai. Kami juga solatkan mak sementara nak dibawa pulang ke Muar. Alhamdulillah segalanya dipermudahkan. Ayah dan angah teman mak di van jenazah. Aku, ude dan lain2 naik kreta balik Muar.
Jenazah dibawa pulang ke rumah dulu manakala aku, ude dan yang lain2 terus ke tanah perkuburan bakri sebab perlukan tanda tangan waris untuk pengebumian. Pukul 1.50petang, jenazah sampai di tanah perkuburan. Aku, ayah, angah, ude, ejal cium mak untuk kali terakhir. Allahu, semoga Allah ampunkan segala dosa2 mak dan dijauhkan dari seksa kubur. Segalanya dipermudahkan.
Untuk yang masih ada mak ayah, jaga laa mereka sehabis baik. Mereka tiada ganti. Untuk rakan2 seperjuangan bonda yang masih hidup, semoga kamu semua kembali sihat sperti biasa. Trima kasih semua yang hadir dan memberi semangat dan dorongan untuk terus kuat.
Semoga Allah ampunkan segala dosa2 bonda. Semoga roh bonda dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang2 beriman. Kita jumpa disyurga nanti ya bonda. Tunggu kami tau.
Alhamdulillah, terima kasih Allah yang aturkan segalanya.
– Noor Azzie
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit