Assalamualaikum dan salam sejahtera. Berikutan kisah Cikgu Asri (confession berkenaan telah di delete oleh admin di atas permintaan penulisnya)
Yang disiarkan di medium ni membuatku terpanggil untuk berkongsi kisah hidup aku yang merubah segala-galanya di samping ingin mendapatkan kata semangat daripada kalian semua.
Namaku Anna. Aku berusia akhir 20-an. Pada tahun 2013 aku dipostingkan sebagai seorang pendidik di bumi Borneo.
Waktu itu aku telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki yang ditinggalkan bersama suamiku di utara tanah air.
Kami menjalani kehidupan perkahwinan jarak jauh (pjj) memandangkan suamiku bekerja di utara manakala aku di borneo dan hanya akan pulang ke semenanjung ketika musim cuti persekolahan sahaja.
Aku tidak dapat membawa anak bersamaku kerana kesukaran hidup ketika berada di sana dan bagiku dia lebih baik berada bersama suamiku.
Segalanya berjalan dengan lancar walaupun aku pjj dengan suami dan anak lelakiku namun demi cita-citaku sejak kecil ingin menjadi seorang pendidik, aku kuatkan juga semangat untuk bekerja di sana dan tanggapan ku mungkin aku akan dapat pindah ke semenanjung dalam masa terdekat.
Tambahan pula aku bergelar seorang cikgu dan aku satu-satunya harapan keluarga aku. Namun, tahun demi tahun aku masih berada di bumi borneo tatkala rakan setugasku ramai yang telah dapat berpindah ke semenanjung. Aku tinggal menyewa dengan rakan guru dari sekolah yang berlainan.
Kisah hitam hidupku bermula pada penghujung tahun 2017 dimana aku mula merasakan sesuatu yang aneh berlaku pada diriku. Aku kerap bermimpi dipatuk ular hitam, sakit kepala bermula dari selepas waktu asar sehingga malam, mengalami masalah gangguan period dan emosi aku tidak stabil.
Aku mulai pelik dan bertindak pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan doktor namun semuanya baik sahaja. Menurut doktor tahap kesihatan aku normal dan tiada sebarang masalah. Aku bertambah hairan dan masalah ini berlarutan sehingga beberapa bulan.
Aku mulai tidak sedap hati dan cuba mencari jawapan berkaitan masalah yang aku hadapi dan hasil pencarianku di sumber internet aku dapati ianya adalah berkaitan dengan tanda-tanda gangguan makhluk halus atau disihir.
Aku terkejut dan seakan tidak percaya kerana aku tidak mempunyai pengalaman sebegini sebelum ini.
Aku meminta pendapat rakan serumahku dan dia meminta aku berubat dengan suami rakan disekolahnya memandangkan suami rakannya itu merupakan seorang perawat islam di kawasan perumahan kami.
Tanpa membuang masa, aku membuat temujanji untuk berjumpa dengan suami rakanku itu dan kami pergi ke rumah perawat itu. Aku ditemani dengan tiga orang rakan serumahku pada petang itu.
Sampai di rumah perawat tersebut, aku diminta masuk ke bilik rawatan dengan ditemani tiga kawan serumahku.
Pada awal rawatan perawat tersebut memulakan bacaan ruqyah, aku terus tidak sedarkan diri dan mengamuk menjerit kesakitan. (hanya yang pernah alami akan faham keadaan aku ketika dalam rawatan).
Aku dalam keadaan separa sedar dan hasil rawatan pada petang itu perawat memberitahu bahawa kemungkinan aku disihir. Perawat tersebut sedaya upaya berusaha untuk mengeluarkan jin yang berada di dalam badanku namun tidak berjaya.
Aku begitu terkejut kerana ini merupakan pengalaman kali pertama aku. Sebelum ini hanya dengar cerita daripada orang lain sahaja atau hanya menonton di you tube tapi kali ni badan aku yang benar-benar dimasuki jin.
Kawan aku semua terkejut dengan keadaan tersebut dan perawat memberi nasihat supaya aku pulang berubat ke semenanjung kerana dia tidak dapat berkomunikasi dengan jin tersebut.
Memandangkan jin tersebut tidak mahu memberikan kerjasama apabila ditanya dari mana dia datang dan tidak mahu keluar dari badan aku. Maaf, ini cerita benar dan mungkin yang tak pernah alami akan cakap semua ini mengarut.
Selepas rawatan pertama tersebut, suami dan keluarga aku membawa aku pulang ke semenanjung dan aku meminta cuti daripada pentadbir.
Setelah berada di semenanjung, ke hulu ke hilir aku berubat memandangkan ramai perawat islam yang takut untuk merawat kes sihir yang melibatkan negeri Borneo kerana menurut mereka amat sukar untuk hilangkan sihir daripada negeri tersebut berbanding sihir lain.
Aku dan suami tidak berputus asa dan lebih kurang lima perawat islam aku berjumpa untuk dapatkan rawatan yang semuanya menggunakan ayat al quran.
Tambah mengejutkan apabila sepanjang berubat tersebut, jin dalam badan ku akhirnya bersuara memberitahu bahawa di sebenarnya dihantar oleh seseorang yang meminati aku dalam diam.
Ustaz tersebut cuba berkomunikasi dengan jin itu untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Jin tersebut memberitahu bahawa dia dihantar oleh seorang anak muridku yang sudah lama meminatiku dalam diam.
Dia memberiku hadiah sepasang baju kurung dan menunggu saban hari untuk aku memakainya ketika di sekolah.
Namun hampa kerana aku tidak pernah memakai baju kurung tersebut kerana sebenarnya baju tersebut tidak muat dengan aku. Dia begitu sakit hati dan menghantar sihir tersebut kepada aku.
Setelah sesi rawatan tersebut selesai aku begitu terkejut apabila mengetahui bahawa anak muridku sendiri yang berbuat demikian. Wallahualam.
Kalau jin tu tipu dan petik namanya aku tidak pasti kerana ada juga jin tersebut sengaja mereka cerita untuk menyesatkan anak adam dan mencetuskan pergaduhan tapi yang pasti kelima-lima perawat berlainan yang aku pergi semuanya mengatakan perkara yang sama.
(Maksud aku ketika sesi rawatan aku tidak sedarkan diri dan jin dalam badan aku yang bercakap dengan perawat).
Bila aku ingat kembali berkenaan anak muridku itu memang aku perasan tiap kali aku mengajarnya di dalam kelas, pasti dia akan tersenyum manis kepadaku sambil tersipu malu. Aku menganggapnya biasa sahaja dan memang aku tidak sangka dia yang buat semua ni.
Aku bertindak meminta cuti tanpa gaji selama dua tahun dan dalam tempoh ini juga aku turun naik pejabat yang berkaitan untuk urusan pertukaran namun semuanya hampa.
Kini aku telah pulih sepenuhnya dan tiada lagi gangguan tersebut setelah penat berubat dan wang pun dah banyak yang habis. Syukur suamiku dapat menanggung semua hutang komitmenku sepanjang aku bercuti tanpa gaji.
Pabila aku pulang ke kampung rumah mak aku, pasti ramai yang bertanyakan samada aku dah dapat pindah ke belum dan aku mengatakan aku mengambil cuti tanpa gaji kerana tak sanggup lagi berjauhan dengan suami dan anakku.
(Takkan aku nak cerita yang aku disihir semua tu kan). Hanya kenalan terdekat sahaja yang mengetahui kisah aku.
Biasalah orang kampung memang tahu aku seorang guru memandangkan dalam kampung aku hanya beberapa orang sahaja anak kampung kami yang bergelar guru.
Dan sekarang aku dalam keadaan tertekan kerana cuti tanpa gaji ku sudah habis dan aku mengalami trauma yang teruk untuk kembali bertugas ke bumi Borneo selepas peristiwa tersebut memandangkan usaha aku untuk memohon pindah pun menemui jalan buntu.
Tambahan pula, aku sebatang kara di bumi borneo dan suami aku bekerja dalam sektor swasta dan berpengkalan di utara tanah air sahaja. Suami aku tidak membenarkan lagi aku ke sana kerana khuatir perkara yang sama akan berulang lagi.
Saban minggu aku dan suami membuat rayuan pertukaran ke semenanjung namun semuanya hampa kerana menurut mereka aku masih dalam cuti tanpa gaji dan tidak layak untuk memohon pindah.
Jadi aku kena teruskan bertugas di stesen lama dan tunggu proses pertukaran seterusnya dan keadaan ini membuatkan aku tidak datang bertugas kerana aku trauma untuk ke sana lagi.
Jangan ditanya kenapa aku tidak berhenti kerja sahaja kerana sememangnya aku masih sayangkan kerjaya ni di samping hutang komitmen aku sendiri pun banyak. Memang setakat ini suami mampu menanggung hutang aku tapi dia pun mempunyai komitmennya yang tersendiri.
Sekarang aku redha dengan ujian ini walau pada hakikatnya aku rindu untuk kembali bertugas sebagai seorang guru tapi bukan di sekolah tersebut.
Jadi tujuan utama aku menulis confession ini adalah untuk meminta pendapat berkaitan permasalahan aku ni. Jika tuan puan ada pengalaman boleh berkongsi ya:
1) Apa tindakan kepada penjawat awam yang tidak hadir bertugas? adakah akan terus dibuang kerja?
2) Boleh bagi pendapat membina yang boleh tenangkan hati aku dengan ujian yang menimpa ni sehingga menjejaskan perjalanan kerjaya aku. Aku sekarang down teruk dan perlukan kata semangat untuk elakkan diri aku tertekan.
Terima kasih kalian sudi membaca kisah aku dan sudi memberikan pandangan.
– Anna (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit