Assalamualaikum. Salam Ramadhan Mubarak semua. Semoga bulan Ramadhan ini lebih baik dari Ramadhan sebelumnya.
Malam yang dingin ini tiba-tiba aku rasa nak menulis dan meluah. Namaku Adawiyyah dan aku seorang ibu kepada seorang anak. Ya aku ada anak dan aku pernah berkahwin.
Aku juga masih mempunyai ibu bapa. Aku bersyukur aku dilahirkan dalam keluarga yang bahagia. Ibu dan ayahku masing-masing menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik mendidik aku, menjaga aku, serba serbi cukup alhamdulillah.
Walaupun mereka pernah bergaduh depan mataku, tapi dengan izin Allah rumahtangga mereka masih utuh hingga hari ini.
Aku bersyukur Allah kirimkan keluarga ini kepadaku. Rasa sempurna bila ibu ayah masih setia menua bersama. Aku rasa keluarga aku lengkap. Tetapi walaupun keluarga aku lengkap, ada juga nasib yang tidak menyebelahiku.
Kisahnya bermula bila aku berkahwin dengan seorang lelaki yang aku tidak mengenali rapat. Bahkan kami kenal pun tidak terlalu lama dan akhirnya mengambil keputusan untuk bernikah.
Jujurnya sebelum nikah tidak banyak yang aku tahu mengenai lelaki ini dan selepas bernikah ujian perkahwinan pun bermula.
Rumahtangga mana yang tidak dilanda badai? Hatta kapal besar juga boleh karam di tengah lautan inikan pula perkahwinanku.
Selepas berkahwin, Allah uji aku melalui perbuatan suamiku yang bersifat baran hingga berlakunya keganasan dalam rumahtanggaku. Aku terseksa fizikal dan mental.
Tahun demi tahun aku bersabar aku bagaikan rasa sedang hidup dengan lelaki yang sakit mental (masa ni aku tak pernah tahu apa itu narsistik. Selepas berpisah aku jumpa artikal tentang narsistik memang ada juga mcm diri dia).
Bayangkan waktu hidup dengannya aku rasa takut nak ada zuriat dengannya. Aku tak bersedia tapi kalau dah suami ‘mahu’, kena juga layankan kerana aku fikir itulah tanggungjawab aku sebagai seorang isteri solehah
Tapi siapalah aku untuk melawan takdir Allah? Selepas 3 tahun lebih berkahwin, aku disahkan hamil seorang anak perempuan yang comel.
Waktu lahirnya anak ini, aku berharap agar ada kelembutan dan kasih sayang di hati si suami terhadap aku. Aku juga berharap tiada lagi sifat-safat baran yang menyakitkan itu.
Akan tetapi selepas lahirnya anak ini, aku rasa bagaikan aku tak mampu nak teruskan hidup bersamanya lagi. Rupanya hati aku ini telah lama pudar dan tawar tiada lagi rasa cinta dan hormat itu terhadap suami.
Aku tidak boleh lagi teruskan perkahwinan itu kerana aku tidak mahu anak aku hidup dalam keluarga toksik. Aku nak anak aku bahagia dan rasa selamat di sisiku.
Maka, selepas beberapa bulan anak aku dilahirkan, aku meminta suami melepaskan aku dengan cara baik. Sudah pasti si dia tidak mahu melepaskan aku tapi aku provok dan aku protes.
Aku berkata padanya “Jika tidak mampu membahagiakan saya apa gunanya simpan saya lagi?”
Akhirnya perpisahan di mahkamah itu berlaku jua. Maka terlerai sudah ikatan sah di antara kami.
Aku teruskan hidup dengan anak macam biasa. Setiap hari aku tidak berhenti mendoakan anakku agar Allah takdirkan takdir yang baik untuknya.
Adakalanya aku rasa sedih anak aku dari kecil telah diuji dengan penceraian ibu ayahnya sedangkan aku mempunyai keluarga yang lengkap ada ayah dan ibu yang masih bersama.
Tapi perpisahan ini lebih baik juga untuk emosi dan keselamatannya. Hari demi hari aku cuba berfikiran positif tidak semestinya anak yang melalui penceraian ibubapa tidak boleh bahagia.
Bagiku, ibu itu madrasah kepada anaknya. Tangan si ibu juga bisa menggoncang dunia. Jikalau si ibu mampu mendidik dan memberi kasih sayang yang terbaik kepada si anak walaupun tanpa si bapa, anak pasti boleh berjaya dan bahagia.
Ya, aku berfikiran positif begini. Aku cuba bersangka baik pada Allah. Aku cuba mencari hikmah di setiap ujian ini. Aku sedar ujian inilah membuatkan aku merayu-rayu menangis kepada Allah, menginsafi segala dosa.
Bahkan aku sering meluahkan segalanya dan berkongsi segala perasaan kepada Tuhan. Rupanya ujian ini ada kebaikannya. Allah nak aku lebih dekat kepadaNya.
Setiap hari aku memikirkan apalah nasib anakku kalau aku yang pergi dulu? Siapa yang akan menjaganya? Siapa yang akan menyayanginya?
Bagaimana makan minum dan pakaiannya? Aku overthinking sampai aku ada anxiety. Punyalah sayangnya aku terhadap anakku.
Sehinggakan aku pernah terfikir biarlah aku mati bersama anakku kerana aku tidak mahu meninggalkan dia seorang diri tanpa doa dan kasih sayangku. Begini rupanya perasaan menjadi seorang ibu. Sayang yang terlalu kuat kepada seorang anak.
Tetapi terkadang aku hairan juga apa ya perasaan ibu -ibu yang tidak jaga anak dengan baik? Ada yang selepas berpisah, tidak mahu jaga anak. Beri orang lain jaga. Ada yang sanggup buang anak dan dera anak.
Sudahlah penat dan sakit melahirkan anak tapi dengan selambanya membiarkan anak tanpa kasih sayang ibu? Ibu apakah ini ya? Di mana perasaan belas ihsan ibu terhadap anak yang tak pinta dilahirkan?
Walau seberapa jauh fikiran aku memikirkan masa depan, aku sedar aku tidak boleh buat kerja Tuhan dan akhirnya aku serahkan segala urusan anakku kepada Allah.. Allah pasti menjaganya lebih baik dariku.
Duhai anakandaku sayang, ibu tidak pernah berhenti mendoakan kamu selamat sejahtera dunia akhirat, dan menjadi bidadari Syurga.
Ketahuilah kamu yang ibu amatlah menyayangimu sehingga nafas terakhir ibu. Melalui Fathimah, ibu belajar tabah dan kuat untuk setia bersama.
Ibu tidak sempurna tapi ibu tidak akan pernah berputus asa menjadi yang terbaik untuk Fathimah. Ibu hanya ingin melihat senyuman sentiasa terukir di bibir itu.
Biarlah segala ujian berat itu Allah tujukan kepada ibu. Biar ibu yang galas segala bebanan asalkan Fathimah kekal bahagia.
Dulu aku kerap juga menangis bila memandang anak sendiri. Tapi lama kelamaan aku cuba berdamai dengan takdir.
Allah sebaik-baik Perancang. Allah Maha Baik. Allah tidak akan tinggalkan hambaNya walaupun dalam kesempitan. Ternyata ujian ini mengajar aku untuk sentiasa bergantung kepadaNya.
Jika ada orang menawarkan aku sama ada pilih duit berjuta-juta atau anakku, aku pasti memilih anakku. Anak tetap tidak dapat dibandingkan dengan duit atau segala bentuk material kerana anak inilah nyawa, harta dunia dan akhiratku.
Tiada apa yang aku harapkan melainkan semoga anakku menjadi penyejuk mata dan hati semua orang (dapat memberi manfaat kepada orang lain) serta dapat memimpinku ke Syurga Firdaous (anak yang solehah).
Semoga Allah meredhaiku, anakku dan kita semua. Terima kasih Tuhan untuk segalanya.
Kalau ada orang tanya daku wujudkah cinta pandang pertama?
Bagiku ianya wujud setelah aku melahirkan anakku dan aku percaya anakku juga merasakan yang sama sejak dia membuka matanya. Cintailah mereka selagi kita atau mereka masih ada…..
– Adawiyyah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit