Duhai Wanita, Janganlah Tamak

Assalamualaikum WBT,

Nukilan ini aku tujukan kepada Para Wanita yang menentang hukum Allah SWT kerana sifat tamak haloba dan hawa nafsu.

Aku perkenalkan diri aku,

Nama aku Fahmi, aku dibesarkan didalam suasana keluarga Islamik. bapa aku memiliki 3 orang isteri dan masing-masing diberi hak sama rata.

Keluarga besar kami cukup meriah, aku mempunyai 18 orang adik beradik dan 10 orang adalah adik beradik lelaki. Ramai antara kami berkahwin lebih dari seorang. Alhamdulillah rumahtangga aman dan rukun.

Aku dilahirkan dizaman menuju kearah kemodenan. Kaum wanita sudah mula berdikari, suara mereka semakin didengari dan ada juga dipilih menjadi pemimpin organisasi atau politik.

Maka zaman sekarang keadaan semakin mencabar. Ramai wanita yang tidak berkahwin, tidak menghormati suami dan hilang respek kepada kaum lelaki.

”Tidak akan bahagia suatu kaum apabila mereka menyerahkan kepemimpinan mereka kepada wanita.” Hadits ini diriwayatkan oleh Bukhari dari hadits ‘Abdur Rohman bin Abu Bakroh dari ayahnya. (Lihat Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim pada tafsir surat An Nisaa’ ayat 34)

Ada juga wanita yang aku lihat sudah berani keluar negara melancong berseorangan walaupun ditegah oleh Allah SWT dan dengan bangganya menghebahkan kepada umum

sabda Rasulullah bermaksud: “Tidak boleh wanita musafir kecuali bersama mahramnya.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

“Janganlah wanita melakukan bermusafir selama tiga hari kecuali bersama mahramnya.” (riwayat Bukhari dan Muslim)

Sehingga ada hadis menyarankan suami menemani isterinya untuk melaksanakan haji berbanding pergi berperang.

Melihat kepada perbincangan ulama yang mendalam, wujud beberapa keperluan untuk wanita bermusafir berdasarkan beberapa alasan.

Oleh itu, ada pendapat membenarkan dengan syarat yang sangat ketat. Antaranya, pemusafiran yang bermanfaat seperti belajar dan berdakwah, bukan sekadar melancong atau berjalan-jalan.

Lihatlah bertapa Islam memelihara martabat wanita, tetapi dipersiakan kononnya zaman sudah moden.

Ada dikalangan isteri, suami sudah mampu untuk memberikan nafkah zahir dan batin tetapi menjadi semakin tamak dengan memaksa si suami memberi keizinan untuk bekerja kerana ingin memenuhi kehendak hawa nafsu sendiri.

Sekiranya suami tidak mampu dan tidak berupaya, Allah SWT melonggarkan syarat dengan membolehkan isteri mencari rezeki, tetapi bukanlah kerana hawa nafsu dan tamak haloba

Ada dikalangan isteri tanpa segan silu menghebohkan masalah rumahtangga kepada umum. Walaupun tidak disebut nama, tetapi apabila suami dapat tahu, pasti hatinya menjadi remuk. Apa hukum sekiranya suami berdukacita?

Abi Sa’id al Khudri ra. menyebutkan bahwa Rasulullah saw bersabda :

“Sesungguhnya manusia yang paling buruk tempatnya disisi Allah pada hari kiamat adalah : suami yang memberitahu rahasia kepada istrinya dan istrinya pun memberitahukan kepadanya, kemudian salah seorang dari keduanya menyebarkan rahasia pemiliknya.” (HR. Abu Daud)

Duhai Muslimah sekalian, sesungguhnya dunia hanya persinggahan, mungkin kamu merasakan dunia ini tidak adil, tetapi percayalah, setiap hukum Allah SWT adalah benar dan kita sebagai hambaNya wajib mematuhi walaupun hati terseksa. Ganjaran hebat menanti kepada mereka yang sabar.

Berbalik kisah aku,

Aku bukanlah lelaki yang membelakangi isteri. Aku mengahwininya disaat dia terkapai-kapai mencari pelabuhan untuk berlabuh. Aku nikahinya disaat dirinya mempunyai sisi hitam dan tidak suci. Akan tetapi, aku memuliakannya sebagai isteri. Aku mengangkat darjatnya setanding wanita suci yang lain.

Demi Allah, aku tidak kisah masa lampaunya kerana aku ingin bertanggungjawab membimbingnya kearah yang benar.

Perjuangan aku bukan sekadar dia. Dengan rezeki dan harta Allah berikan, aku ingin melebarkan perjuangan aku dengan mengahwini seorang wanita yang kematian suami. Wanita ini mempunyai 3 orang anak kembar yang masih kecil. tiada pendapatan dan hilang tempat bergantung.

Aku kembali kerumah dan mengusulkan hajat aku kepada isteri pertama. Malangnya dia menyepak aku kerana terlalu mengikut amarah. Nusyuz keatasnya dimalam itu kerana dia keluar dari rumah tanpa izinku.

Wanita, inikah yang kamu mahukan didunia ini? Suami bukan hak milikmu mutlak, tetapi isteri adalah hak milik sepenuhnya suami.

Sudah 2 bulan aku bersabar. Aku tidak akan menceraikannya kerana dia masih dibawah tanggungjawab aku. Sekiranya aku boleh berlapang dada menerima kisah silamnya, mengapa dia tidak boleh menerima seorang adik dan sama-sama mendapat pahala dan ganjaran Allah SWT?

Mungkin pahala besar ini kita tidak dapat lihat dimata kasar, sebab itulah para wanita tidak mengendahkan pemberian pahala. Dalam kisah aku, aku menang kes poligami ini dan isteri pertama terpaksa menerima kenyataan.

Aku mampu dari segi zahir dan batin, tiada sebab untuknya berlaku nusyuz. InsyaAllah aku akan didik hatinya sikit demi sedikit. Dunia sudah akhir zaman, janganlah antara kamu menolak hukum Allah sehingga jatuh kafir. Allahuakbar.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Apa yang dikatakan Rasul kepadamu, terimalah ia dan apa yang dilarangnya bagimu, tinggalkanlah.” (Surah al-Hasyr, ayat 7). Semoga Allah Taala memelihara Muslimah sekalian.

Sekian,

Wassalam…

– Fahmi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *