Assalamualaikum. Terima kasih admin kerana menyiarkan confession ni. Nama aku Lavender (antara bunga yang aku suka). Dah tenang-tenang baru dapat nak tulis. Baru-baru ni, ada terbaca pasal isu cop tangan untuk budak-budak yang datang beraya. Aku ada membaca ulasan dan komen pembaca mengenai isu tersebut.
Rentetan komen itu, aku di sini menulis apa yang korang tengah baca ni. Nak juga meluah apa yang terbuku di hati, namun bukanlah pasal isu cop tu. Akan tetapi aku nak cuba buka minda mak ayah yang ada anak-anak kecil dan juga kita semua agar jadi panduan.
Aku pernah melalui zaman budak-budak, pergi kutip duit raya dari kampung ke kampung. Tapi tak pernah mengelat pergi dua kali rumah sama, semata-mata nak duit lebih. Dapat duit raya memang seronok tak terkata. Ada je yang tak bagi. Selepas berhempas pulas menjelajah, tiba masa kira syiling yang kami dapat. Eh! Adalah dalam puluh-puluh ringgit. Tak capai RM50 pun. Haha. Ingatkan dah ratus-ratus. Tapi tetap gembira walau dapat banyak tu. Memang misi aku nak kutip duit raya sehabis banyak. Kutip ikut kemampuan aku lah kan.
Betapa kroniknya aku, pernah juga membuat senarai nama orang kampung aku siap-siap kat kertas. Mudah untuk aku tanda mana rumah yang aku dah pergi. Biasa tak habis bertanda pun. Yang jadi mangsa, adik aku. Ajak dia sekali. Pusing dengan basikal sampai petang baru balik rumah. Mak ayah aku ajar ke? TIDAK! Tapi aku sendiri yang merancang semua ni. Macam 1 aktiviti yang menarik.
Tingkatan 3 merupakan tahun terakhir aku kutip duit raya. Selepas itu aku bersara dari agenda mengutip duit raya dari rumah ke rumah. Atas faktor aku dah besar. Malulah weh nak pergi rumah orang, kerana biasanya tuan rumah akan tanya ‘darjah berapa?’. Kau pula terpaksa jawab ‘tingkatan 4’. Adush! Sebab tu lah tingkatan 3 penamat karier tahunan aku tu. Syukur kerana Allah gerakkan detik hati sebegitu dan diberi rasa malu. Kenangan betul tang ni.
Ok, kita berbalik pada komen yang aku terbaca pada ulasan isu cop tangan tu. Ada komen daripada mak ayah mengenai anak-anak mereka, antaranya mereka tak akan biarkan anak-anak mereka pergi beraya kutip duit raya, pergi beraya ke rumah orang tanpa orang tua, dan bermacam lagi. Ada cakap kecil dah ajar kutip duit, besar nanti jadi pengemis. Oh! Tolonglah mak ayah. Setakat itukah pemikiran kita? Sampai jadi pengemis. Melampau sangat hang! Budak-budak datang beraya kot. Biar ajelah. Cuma BAB YANG BUDAK-BUDAK DATANG BERKALI-KALI SEMATA-MATA NAK DUIT LEBIH, ATAU MAK AYAH YANG JENIS BERKEHENDAKKAN DUIT MELEBIHI ANAK-ANAK. HAA.. INI AKU TAK SETUJU. Capslock tu tanda tak setuju tau. Bukan sesaja aku menghuruf besarkan dia.
Melalui pemerhatian aku. Ada 2 kategori mak ayah;
1. Memang ada mak ayah (tak semua) yang jenis menyuruh anak-anak pi kutip duit raya.
2. Memang ada mak ayah yang tak suka anak mereka beraya sendiri. Mereka lebih suka bawa anak-anak beraya. Tapi kan, mak ayah sama naik. ‘Anak kita yang ni tak dapat lagi duit raya’. ‘Anak kita 5 orang, 3 orang lagi kat rumah’. Sambil buat muka sardin. Tak malu melebihi budak-budak.
Itu realitinya. Ada je mak ayah yang tak puas hati atau ayat yang manis sikit, terkilan sebab anak mereka dapat duit raya sikit. Ni kisah benar ya. Sebab ada je yang luah rasa pada aku. Anak-anak dia dapat sikit, time anak-anak kawan dia. Dia kasi banyak. Haa camtu pulak noh. Kerana itu, aku memang bagi nasihat. Bila kita memberi jangan mengharap balasan. Kelak kau kecewa!
Selaku mak sedara kepada anak-anak buah. Aku ok je kalau anak-anak buah aku pergi beraya selain mereka beraya sesama keluarga sendiri. Berjalanlah korang pusing kampung sampai korang penat. Kadang-kadang nampak elok tengah berborak, eh dah senyap. Rupanya dorang pi raya. Alhamdulillah kampung aku ni dalam 30+ buah rumah je. Bukan semua rumah dorang sempat pergi pun. Adalah dalam 5-6 buah aje. Selamat ke biarkan mereka beraya macam tu? InsyaAllah. Kat kampung ni masih lagi ok. Kami tak bagi beraya jauh-jauh sampai kampung sebelah kerana keselamatan paling utama.
Adakah mak ayah mereka galakkan suruh pergi beraya? TIDAK! Akak aku tak berapa suka anak mereka beraya macam tu. Tapi aku ok je. Haha.
Kenapa aku ok? Kerana hari raya biasanya meriah dengan adanya budak-budak yang datang beraya. Aku memang suka kalau budak-budak datang beraya kat rumah. Boleh jamu dorang makan, bagi duit raya. Zaman sekarang, zaman budak-budak malu nak menziarah. Zaman budak asyik dengan handphone. Kalau mak ayah tak bergerak. Tercongoklah mereka depan tv. Kat rumah aku, tv tidak mendapat sambutan hangat macam biasa kerana bila balik kampung, mereka sibuk beraya sesama sepupu, sibuk kejar mengejar ayam, bermain bersama. Lagipun budak-budak ni mereka ada masa sendiri. Dah masuk menengah, biasanya mereka dah malu nak pergi beraya dari rumah ke rumah dah. InsyaAllah, tak akan jadi pengemis/meminta-minta bila besar nanti. Jangan doa atau bersangka buruk sebegitu ya tuan/puan mak ayah, pembaca sekalian.
Cuma, memang perlu sentiasa pesan. Tak kiralah mereka beraya sendiri atau semasa dengan kami. Jaga perangai, orang bagi duit raya ambil. Ucap terima kasih. Orang tak bagi, jangan komplen. Sampul duit jangan buka depan-depan. Perlu diingat, budak-budak tetap budak-budak. Ada juga yang terlepas laku. ‘Woww! dapat 5 ringgit. Kau dapat berapa?’. Bagi aku, itu biasa walau muka kau berubah warna secara tiba-tiba.
Kisah selepas dah tak kutip duit raya kan, aku mula kasi duit raya pada sepupu-sepupu, jiran aku masa umur cecah 20 tahun kot. Time tu masih belajar lagi. Rasa happy sangat walau aku bagi syiling je. Dalam 20 sen, 50 sen je sebab aku bukan ada duit nak kasi banyak-banyak. Tapi bukan sebarangan syiling tau. Aku bagi syiling-syiling yang berkilat (baca: baru) yang aku simpan.
Dan sekarang, aku dah kerja. Alhamdulillah pendapatan pun stabil sebab dah lama kerja kan. Gaji taklah banyak tapi cukup bagi aku. Tak sampai RM4/5/6 ribu. Bagitau siap-siap, nanti ada yang meneka terlalu banyak ribu. Aku pula yang terkejut kan. Haha.
Aku memang memperuntukkan bajet raya (termasuk duit raya untuk ayah aku) walau aku tau duit raya bukan wajib. Menjelang raya memang tak dinafikan bajet kita sememangnya naik mendadak. Bila sedia bajet raya, tak perlu letak harapan untuk diberi balasan atau apa. Kalau tak, kita akan terbelenggu ‘duit aku habis’, ‘eh sayangnya nak bagi duit ni’ dan macam-macam lagi. Memberi juga tak perlu menunggu apabila kita kaya.
1. Duit anak-anak buah RM10 untuk seorang. Dulu aku memang bagi kat dorang RM10, lepas tu dikurangkan kepada RM5 je disebabkan anak buah makin ramai. Tapi bila aku fikir balik, mana boleh RM5, nilai tu sama dengan anak-anak kawan aku. Tak boleh. Anak-anak buah kedudukan dia special sikit. Kena letak podium paling atas la bro! Senang cerita, aku masih belum mampu nak kasi dorang RM50 setiap seorang. Depa ramai, dah nak cecah 30. Aku bagi ikut kemampuan aku jelah. Bab duit raya, aku bukan masuk pertandingan siapa tukar atau beri duit raya paling banyak. Terpulang pada bajet masing-masing.
2. Duit RM50 (aku namakan Duit Khas) untuk anak-anak buah aku yang dah lepas peperiksaan macam UPSR, PT3 dan SPM. Yang ni aku buat inisiatif sendiri. At least setiap daripada mereka akan dapat merasa sesekali dapat note RM50 dari aku. Biasanya exam macam ni tak ramai, adalah seorang je untuk raya tahun tu. Sebab anak-anak buah baru meningkat dari tadika ke rendah ke menengah. Kira oklah. Seronok tengok bila anak-anak buah happy!
3. Duit anak-anak kawan sekerja, anak-anak kawan-kawan sama belajar dulu. Memang aku buat list siap-siap. Aku kasi RM3 dan RM5. Ingat semua ke aku kasi RM5? Tak juga, tengok bilangan anak mereka dan sesuai dengan bajet aku. Beri tanda ingatan dan berkongsi rezeki, bukan untuk orang cakap ‘bagus dia ni bagi duit banyak’. Eh, tak kuasa den. Aku bukan pemegang prinsip biar papa asal dipuji. Nanti aku nak beli tiket pi jalan-jalan camne? Sebab anak-anak mereka makin bertambah, 70 lebih dah. Kalau orang cakap, zaman ni masih ada bagi RM1? RM2? RM3? Pedulikan mereka. Itu bajet raya korang, korang punya sukalah nak kasi berapa. Kalau ikut cakap orang, korang akan dibayangi kemurungan. Hidup ini rugi untuk terlalu stress sangat.
4. Duit RM20 untuk mereka yang aku rasa layak dapat. Bajet 5 keping je.
5. Duit raya untuk budak-budak datang rumah dan time kami pergi beraya rumah orang (yang ni, aku kasi jika aku nak kasi. Kalau tak, memang tak kasilah).
Tips; Satu lagi. Duit raya biasanya aku prepare awal terutama RM5. Untuk tahun depan. RM1 yang masih berbaki, aku simpan. RM5 aku tukar dengan anak-anak buah. Pilih mana-mana yang baru sebelum mak ayah dorang bank in semua duit raya tu. Sebab kalau tukar RM5 dengan bank (time nak raya) biasa dapat yang buruk. Aku tak suka kasi duit buruk di hari raya. Susah nak buang perangai ni.
Kesimpulan dari tulisan yang mak aih panjang berjela kalah esei SPM ni. Mak ayah jangan anggap budak-budak yang pergi beraya tu, mak ayah dorang yang suruh. Sesetengah tu mereka pergi sendiri. Dan mak ayah yang tak benarkan anak-anak mereka pergi beraya tu, dengan alasan tak nak ajar anak meminta ke apa. Terserah. Namun jangan korang pandang sebelah mata pada budak-budak yang datang beraya. Walau ada setengah tu memang datang semata-mata kerana nak duit. Layan mereka sebaiknya. Nak bagi duit raya, bagi. Tak nak bagi, tak mengapa. Cakap elok-elok. Jangan sakitkan hati mereka. Simple. Naluri budak-budak memang ‘raya nak duit raya’. Kita yang dah besar, yang dah boleh berfikir secara matang ni je faham. Raya kembali pada fitrah. Ziarah untuk eratkan lagi ukhuwah dan silaturrahim. Yelah, cakap dari pengalaman. Hehe.
Semoga ada panduan dari tulisan ini dan mohon maaf kalau ada yang macam kasaq je bunyinya dan tak tersusun. Doakan aku bertemu jodoh dan dipermudahkan, diberi kecukupan dalam rezeki supaya aku boleh terus memberi bukan saja pada hari raya. Amin.
Sekian, terima kasih.
Ikhlas dari kejauhan;
– Lavender, Ex-pengutip duit raya.
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit