Assalamualaikum dan Salam sejahtera buat semua pembaca.. Maaf jika penulisan saya agak teruk untuk dibaca kerana saya bukan seorang yang pandai mengarang cerita dan hanya suka membaca pengalaman dan kisah orang lain..
Cerita ini hanya sekadar perkongsian buat semua tentang apa yang sedang saya lalui.. Terlebih dahulu mohon doa dari semua buat saya dan suami..
Saya dan suami baru sahaja selamat mendirikan rumah tangga pada bulan februari tahun ini setelah hampir 7 bulan kami mengikat tali pertunangan. Saya masih tak dapat lupakan kenangan indah sewaktu saya sah menjadi isterinya kerana ini lah impian kami setelah hampir 2 tahun kami berkawan.
Hari ini, sehingga cerita ini dikarang, usia perkahwinan kami baru sahaja mencecah 3 bulan. Terlalu awal bukan untuk menceritakan pengalaman berumahtangga? Tetapi ini lah yang sedang saya dan suami lalui..
Dua bulan sebelum kami bernikah, suami saya ada menceritakan tentang gangguan yang dihadapinya pada setiap hari dan 24 jam..
Korang semua bayangkan gangguan tersebut adalah suara bisikan yang mana bukan sahaja satu suara malah ada 3 jenis suara yang terdiri daripada lelaki dan perempuan.
Suara itu amat mengganggu suami saya terutama dalam soal ibadatnya dan kepercayaan dia. Sehingga suami saya tidak tahan dan menceritakan hal ini kepada orang tuanya dan akhirnya dia dibawa untuk berubat di pusat perubatan islam..
Waktu itu, ustaz yang mengubatinya beritahu bahawa dia hanya mengalami gangguan jin dan memberikan minuman untuk dihabiskan..
Namun, hari berganti hari, keadaan suami saya masih sama. Sekarang tibalah hari pernikahan kami.. Masih segar di ingatan saya, suami saya memakai baju melayu berwarna putih. Sungguh segak dan manis seperti selalu.. Alhamdulillah majlis kami berjalan lancar seperti yang kami rancang..
Namun, kehidupan berumah tangga kami bukan mudah.. Semakin hari gangguan tersebut semakin dahsyat sehingga menggangu hubungan kami..
Suami saya sering tidak boleh tidur kerana diganggu sehingga tidak dapat fokus dengan kerjanya.. Suami saya juga menjadi seperti tidak siuman kerana dilihat bercakap sendiri.
Pernah satu malam, saya terjaga melihat suami saya seperti kerasukan yang mana ketawa sekuat kuat hati sebelum bertindak agresif ingin mencederakan saya. Dia juga memegang HF saya dan semua kunci dan saya benar-benar tidak boleh lari menyelamatkan diri saya.
Saya hanya menguncikan diri dan menangis menahan semuanya. Saya benar tidak kuat untuk menjalani hal ini tetapi saya berkeras untuk tidak beritahu hal ini kepada ibu bapa saya. Bagi saya ini adalah aib suami saya, dan saya patut rahsiakan dan bantu suami saya selagi boleh..
Tapi pada suatu malam, saya benar benar tidak mampu untuk laluinya yang mana waktu itu suami saya seperti hilang arah.. Ketawa, menangis, menjerit memarahi saya secara tiba tiba, membuang pakaian saya, dan segala benda yang berkaitan dengan diri saya.
Tetapi, pada suatu pagi sebelum bersahur, nasib menyebelahi saya dimana saya boleh melarikan diri saya dan akhirnya saya balik mengambil ibu dan adik saya untuk melihat keadaan suami saya.
Alangkah terkjeutnya ibu saya sewaktu sampai di rumah sewa, suami saya sedang membakar semua barangan peribadi saya termasuk surat nikah kami.. Dan saya faham itu bukan dirinya.
Keesokan harinya, saya dan ibu membawanya berubat ke salah satu pusat perubatan islam dan dari situlah baru semua nya terungkap yang mana sebenarnya kami bedua telah disihir.
Memang benar, saya sering mengalami mimpi buruk selama 3 bulan perkahwinana kami seperti melihat anjing hitam di dalam bilik kami, ular hitam kepala dua, jatuh dari tempat tinggi, berada di tengah lautan hitam berseorangan diatas sampan.
Dan saya pernah juga bermimpi seorang wanita yang berubah wajahnya, kadang cantik dan kadang buruk rupanya. Bila dia cantik dia berambut pendek dan bila dia buruk dia berambut panjang.
Selain itu, kami juga sering mendengar tapak kaki orang bejalan di dalam rumah sewa kami tanpa henti tapi kami hanya mengabaikannya.
Namun begitu, keadaan suami saya menjadi semakin buruk setelah kami berubat. Seperti meradang dan makin menunjukkan taringnya..
Suami saya sekarang seakan tidak pedulikan saya lagi, bencikan saya, dan juga lebih pilu menuduh saya dan ibu saya menyihirnya.. Tapi saya langsung tidak ambil hati kerana saya tahu keadaan dia yang sebenar. Saya yang berada dengannya di saat getir dia melalui gangguan ini..
Dia tidak gila walaupun ada yang berpendapat dia sudah gila. Saya masih simpan harapan bahawa suami saya akan pulih seperti dahulu. Saya rindukan suami saya yang pemalu tapi sangat penyayang dan ambil berat.
Sepatutnya ini lah ramadahan dan syawal kami yang paling indah kerana pertama kali kami menyambutnya bersama.
Tetapi perancangan Allah lebih baik, Allah ambil nikmat bahagia buat sementara ini.. Mungkin Allah mahu simpan bahagia dan gembira ini untuk ramadhan dan syawal yang akan datang.
Setiap hari doa saya untuk suami saya tak pernah lekang. Saya mahu kehidupan yang gembira seprti orang lain. Saya mahu ada anak dan keluarga bersama dengan suami saya..
Saya mohon doa semua yang membaca ini, tolong doakan kesembuhan buat suami yang saya cinta dan sayang.
Walau apa pun jadi, sayang saya tak pernah pudar walaupun suami saya dah tak ingat dan pedulikan saya.. Saya masih pandang suami saya seperti diri dia yang pertama kali saya jumpa. Senyuman dia, pemalu dia, saya masih ingat.. Hanya Allah sahaja yang mengetahui segalanya..
TERIMA KASIH SUDI BACA KISAH SAYA.
– Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit