“Apa instagram account awak?”
“Maaf, saya tiada instagram.”
“Ahh tipulah. Tak kan takde. Cantik macam ni mesti beribu followers.”
“Betul, saya tak tipu.”
“Kalau macam tu, facebook?”
“Saya tak guna fb. Kalau ada pun cuma guna untuk tahu isu semasa sahaja. Bukan untuk bersosial.”
“Peliknya perempuan macam awak ni takde instagram. Jarang saya jumpa.”
Adakah terlalu janggal untuk tidak memiliki sebarang sosial media? Situasi di atas seringkali aku alami dan jawapan yang aku terima pasti dianggap sukar untuk dipercayai. Aku memilih jalan untuk kurang menghabiskan masa menghadap dunia virtual sepertimana rakan-rakan sebaya. Ya, mungkin aku akan dianggap kolot tidak mengikut trend terkini tapi aku yakin aku lebih gembira memilih jalan yang berbeza sedikit walaupun ada masa aku rasa seperti ketinggalan mengenai bab kehidupan rakan-rakanku. Tidak ku tahu Si Bedah baru pulang dari London melancong bersama keluarga. Tidak ku tahu Si Kiah bertukar gajet baru yang lebih up-to-date. Yang cuma aku tahu, rakan-rakan rapatku tidak pernah lupa untuk bertanya khabarku dan bercerita tentang apa yang terjadi mengenai diri masing-masing setiap hari. Cukup sahaja dengan aplikasi WhatsApp. Lebih dari memadai.
“Luna, kau buatlah instagram. Mesti ramai gila follow kau. Nanti boleh jadi famous. Cuba tengok ni macam Si Kepah ni. Boleh jadi model. Dapat gift macam-macam. Kau ni cantik, rugilah takde instagram.”
“Takpelah Kira, aku tak minat lah.”
Seringkali rakan-rakan rapatku memaksa aku membuka akaun instagram. Sehingga ada yang menawar diri dan terlebih rajin untuk membuatkan satu profile untuk ku hanya sebab aku degil dan tetap dengan pendirianku. Jangan risau, aku pasti halang, dan tak mungkin aku biarkan gambarku di tayang. Aku bukanlah kolot sepertimana kalian sangka. Aku pernah bersosial di alam maya juga, dulu. Mengapa tidak aku teruskan? Aahhh, percayalah semua orang ada sebab tersendiri untuk perkara yang mereka pilih untuk lakukan.
Suatu ketika dahulu, aku aktif di alam maya. Ketika di zaman Twitter masih baru untuk diteroka, aku memiliki beribu pengikut tanpa aku tidak ketahui mengapa dan kenapa mereka berminat untuk menjadikan aku salah seorang following mereka. Seronok, seronok sangat apabila semua benda yang kau kirim di laman sosial, pasti ada yang membalas dan melayan. Isi kosong pun boleh menjadi lucu. Tiba-tiba sahaja aku merasakan mereka seperti sudah lama menjadi kawanku walaupun hakikatnya tidak pernah berjumpa.
Sabankali aku menghabiskan masa, tanpa jemu kuhadap telefon pintar di tangan, tidak ku hiraukan sekeliling. Jiwaku semakin lama semakin disedut ke alam maya. Makan, minum, sehinggakan saat mandi tidak kulepaskan langsung apa yang terjadi di alam maya. Adakah hidupku kini di alam maya? Aku tersentak.
Perlahan-lahan aku undurkan diri dan kurangkan masa di alam maya dan lantas aku mula sedar, hidup di alam nyata rupanya lebih indah. Lebih realistik. Lebih optimistik. Di saat rakan-rakan lain mula melibatkan diri dalam dunia media sosial, aku pula sebaliknya.
Di zaman instagram mula menapak dan menonjolkan diri, berpusu manusia mendaftarkan diri untuk dikenali di platform tersebut. Ku lihat rakan-rakanku bersungguh sedaya upaya untuk mengambil gambar yang cantik setiap kali kami keluar untuk ‘menghabiskan’ masa bersama atau mungkin lebih tepat menghabiskan masaku melihat gelagat mereka untuk mendapatkan gambar yang cantik semata-mata untuk di upload ke instagram. Aku hanya tersenyum dan melayan sahaja. Aku sudah masak, tidak ku membenci kerana memang lumrah sekelilingku begitu, cuma ikut arus sahaja.
Lumrah juga naluri seorang perempuan diminta pujian. Lebih banyak pujian, lebih yakin dirinya. Aku pula, tidak ku dahagakan sebarang pujian, yang di alam nyata sudah mencukupi. Aku belajar menerima hakikat dan bersyukur dengan apa yang ada serta belajar menyayangi diriku seadanya. Jika bukan aku, siapa lagi? Aku juga belajar sebenarnya tidak perlu aku tayangkan diriku untuk tatapan sedunia dan mengharapkan pujian hanya kerana untuk membuatkan diriku bertambah yakin kerna yakin itu diri sendiri yang tentukan, orang lain tidak layak untuk menetapkan siapa kita. Aku selesa.
Di saat rakan-rakanku sibuk berusaha mendapatkan perhatian agensi-agensi model agar diri mereka tercalon untuk sesi bergambar dan duta produk, aku sibuk persiapkan diri sendiri menghadap dunia realiti dan fokus ke arah kerjaya yang ku impikan. Ku sering di beri ceramah percuma oleh rakanku bahawa aku mampu mendapat duit cara mudah hanya dengan bergambar. Hidup bakal mewah. Hakikatnya, tidak semudah yang disangka kerana aku sudah mempunyai pengalaman sesi bergambar untuk iklan. Seharian aku habiskan masa, bermula jam 8 pagi sehingga 12 malam. Bayarannya? Aku cuma boleh ringkaskan tidaklah setimpal dan tidaklah se-glamour yang kau sangkakan. Letih itu tidak dapat ku ungkapkan.
Pintu rezeki itu luas. Apa yang kita usahakan, kita akan dibalas setimpalnya. Berkat kesungguhan aku fokus ke arah kerjaya yang ku impikan dan kini umurku bakal mencecah dua puluh tiga tahun, jumlah sara diri ku menghampiri lima angka setiap bulan. Tidak perlulah ku nyatakan berapa. Cukup dengan usaha aku selama ini walaupun kedengaran seperti mustahil. Aku tidak perlu memberitahu satu dunia hidupku kini berjaya, cukup sekadar rakan-rakan rapatku dan paling penting ibu bapaku bangga dengan apa yang aku kecapi serta mampu untuk memewahkan mereka. Aku tidak juga lupa rakan-rakan yang setia denganku tanpa khidmat sosial media. Yang tidak jemu mengambil tahu khabar beritaku saban hari. Ku sedar merekalah kawan yang boleh aku percayai dan tak kan pernah putus persahabatannya walau terpisah jarak beribu batu.
Kini, aku lebih menikmati setiap detik yang aku lalui, tanpa aku perlu hiraukan si cantik yang lebih cantik dariku, mahupun si kaya yang lebih kaya dariku. Bukankan itu cuma gambar sahaja? Adakah kau yakin semua itu benar? Aku cuma percaya itu hanya ilusi untuk menunjukkan hidup siapa lebih bagus, platform sosial media seolah-olah platform untuk bersaing mengenai kehidupan seseorang. Mengaburi mata yang melihat dan minda yang mudah percaya, aku telah saksikan sendiri begitu dustanya sosial media itu. Di saat rakanku mengupload gambarnya sambil menggayakan beg LV kepunyaaku sambil bersandar di kereta buatan German juga kepunyaanku dan menerima pujian, aku hanya mampu tersenyum dan masih melayan sahaja. Tidak ku hiraukan jika itu yang membuatkannya bahagia. Bahagiaku pula? Cukup dengan dunia realiti dan nyataku yang aku telah kecapi dan menjadikannya lebih indah dari dunia alam maya.
– Miss X
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit