Durian Berharga Dua Ringgit

Saya teringat kisah hampir 25 tahun yang lalu. Saya masih kanak-kanak, barangkali masih di usia 8 tahun.

Di hadapan kawasan rumah kami, di tepi sebuah jalan besar ada jualan besar-besaran durian setiap kali musim durian tiba. Kadang sampai sebulan mereka berjualan di situ.

Saya sering melewati kawasan tersebut dan melihat ramai orang mengelilingi kawasan berjualan tersebut.

Pada satu petang, ibu saya menghulurkan saya RM2. Katanya, untuk dibuat membeli durian di hadapan kawasan rumah yang selalu saya lewati itu.

Saya tidak tahu RM2 itu nilainya sebesar apa, apatah lagi nilai sebiji buah durian. Lantas saya menapak menuju ke tempat berjualan tersebut yang penuh dikerumuni umat manusia.

Saya terkebil-kebil di situ, tidak tahu mahu menegur siapa. Seberapa detik, seorang pakcik yang mungkin salah seorang pemilih gerai durian itu menyapa saya.

Saya maklumkan, ingin membeli durian dua ringgit sambil saya menghulurkan sekeping wang RM2 yang wujud ketika itu. Pakcik itu kelihatan tergeleng-geleng sambil tersenyum semasa mendengar kata-kata saya.

Beberapa saat kemudian, saya lihat pakcik tersebut mencari-cari di serata kelompok durian yang dikumpulkan di atas tanah yang dilapik kanvas biru besar, durian yang berharga dua ringgit.

Tidak saya tahu, nilai tersebut sebenarnya tidak mencukupi waima untuk sebiji durian.

Kemudian, pakcik tersebut masukkan dua atau tiga biji (saya lupa jumlahnya) durian yang kecil di dalam plastik.. Saya terima sambil mengucapkan terima kasih, pakcik tersebut tersenyum.

Saya pulang ke rumah dengan gembira, kerana hajat ibu saya untuk makan durian berjaya saya sampaikan.

Ibu saya terkejut melihat durian yang saya bawa, tanya ibu, Pakcik yang jual durian bagi durian sebanyak ini dengan nilai RM2? saya iyakan pertanyaan ibu. Durian itu dibuka, isinya elok dan rasanya sedap.

Pakcik, terima kasih. Sebab kebaikan hati pakcik, pakcik berusaha mencari durian yang sesuai dengan harga dua ringgit yang saya bawa tanpa memperkecil saya. Tanpa ketawa geli hati sambil bercerita pada kawan-kawan pakcik anak kecik itu bawa RM2 untuk beli durian.

Cerita ini saya kenang walaupun bertahun berlalu, semoga Allah membalas kebaikan pakcik di Syurga nanti.. Saya kenang jasa baik pakcik sehingga hari ini.

– Chempaka (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Allahuakbar. Baik sungguh hati pakcik tu. Moga Allah beri balasan kebaikan pada pakcik tu di dunia dan di akhirat. Allahummaamiin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *