Ekzema Dari Umur 7 Tahun, Suami Tak Geli Ke?

Ekzema ni satu penyakit kulit yang mana bila dah kena, susah sangat nak baik. Susah nak jumpa pesakit yang sembuh 100%. Kebanyakannya cuma bergantung pada ubat and ekzema akan sentiasa on-off. Harini baik, esok gatal. Bulan ni clear, 3 bulan lagi datang.

Ya, aku manusia yang ada ekzema dari kecik. Tak tahu daripada siapa aku dapat tapi keluarga aku semua takde penyakit ni. Aku SORANG saja ada.

Masa kecik kita mana faham. Yang aku tahu, aku gatal merenyam aku garu sepuasnya. Kadang-kadang sampai melecet. Banyak nanah-nanah kecil.

Melecet kulit jadi berair dan merah. Bila nak mandi, menyiram air paip ibarat simbah api atas kulit. Sakit sesakitnya. Pedih sangat. Aku budak yang lasak walaupun perempuan. Suka ikut atuk masuk kebun. Suka panjat pokok, main tanah, peluk kucing, peluk ayam itik.

Kami sekeluarga duduk dengan atuk nenek di kampung. Jadi siang-siang ayah dan ibu keluar kerja. Dah pesan jangan main kotor sbb aku ada masalah kulit. Kotor + berpeluh dan gatal, sangat siksa. Tapi kita budak-budak. Yang kita tahu seronok main.

Setiap malam lepas aku tidur, aku rasa ada orang selak baju dan seluar aku. Ya. Orang tu adalah ibu. Ibu ambil ubat sapukan pada badan aku. Ekzema yang bermula di leher tanpa aku sedar dah merebak sampai tengah dada, perut dan pinggang belakang.

Beberapa tahun ayah ibu ada bawa aku ke hospital ambil ubat. Doktor bagi mandian warna purple, bagi ubat sapu dan pil. Kecik-kecik lagi aku dah bergelumang dengan ubat. Pergi sekolah makan ubat. Tengah sekolah makan ubat. Balik sekolah makan ubat.

Ada masa aku degil. Tak boleh makan udang sotong, aku makan juga tanpa pengetahuan ibu. Menginjak umur 13 tahun aku masuk asrama. Ekzema aku makin banyak.

Selalu dalam dorm, aku sorok-sorok. Suka pakai tudung dan takkan salin baju di situ. Aku lari ke bilik air bawa baju tukar di sana sebab segan kalau-kalau kawan nampak ekzema aku yang dah merebak ke bahu.

Begitulah. Sebanyak mana ubat dan penjagaan makan, tetap ekzema aku keluar dan masuk. Mama pesan suruh jaga badan. Esok kahwin macam mana tu? Ketika tu aku naif. Masih sekolah menengah rendah dan tak faham apa-apa. Apa kaitan ekzema dan kahwin pulak ni?

Sampailah aku fahami apa itu maksud kahwin. Apa maksud sebenar ‘malam pertama’. Andai satu hari nanti jika ada jodoh, badan ini akan terdedah dilihat oleh lelaki yang bernama suami. Sejak itu, aku mula jadi takut.

Dipendekkan cerita aku sambung belajar 4 tahun di Kelantan. Aku simpan azam nak dapatkan kerja bagus. Aku nak kerja keras kumpul duit.

Aku nekad nak buat rawatan ekzema yang proper walaupun mahal. Aku masuk dalam banyak group FB dan Telegram belajar ilmu-ilmu pasal ekzema. Dari situ aku nekad kalini mesti cari rawatan yang betul.

Sementara tu aku buat juga pencegahan awal. Kurangkan makan telur, ayam, daging, nugget, belacan dan seafood. Aku banyakkan makan sayur. Banyakkan makan buah.

Tak pakai sabun banyak buih sebab boleh keringkan kulit. Pakai sabun harga beratus 1 botol. Bende ni memang dah lama aku lakukan, cuma kalini ini lebih kerap dan kuat semangat. Tapi macam aku kata, ekzema ni kejap datang kejap pergi. Masih ada lagi.

Kadang-kadang penyebab dia sukar nak tahu. Jaga makan pun keluar. Dah makan ubat pun keluar lagi. Bila dah kerja, aku nekad jumpa seorang doktor pakar. Dia suruh aku tukar semua produk mandian, sabun cucian hatta sabun cuci piring. Aku ikut, aku makan ubat lagi dan lagi.

Alhamdulillah akhirnya ekzema aku makin pulih dalam masa setahun. Kadang-kadang ada naik tapi tak sekerap dulu. Tapi yang merunsingkan aku adalah parutnya.

Mungkin daripada kesan garu sebelum ini, kulit aku jadi hitam. Ada tompok-tompok gelap di bahagian pinggul, leher, dada, perut dan bahu. Di celah paha juga ada sedikit.

Penderitaan ekzema yang aku hadap sejak kecik, aku tak sangka merebak seluas itu. Aku overthinking dan sangat insecure. Macam mana bila kahwin dan cuba meraikan suami dengan badan buruk begini.

Apa dia sudi? Apa dia geli? Apa dia jelik nanti? Percaya atau tidak di usia 27 tahun, aku menolak banyak lelaki yang datang untuk mengenali.

Aku terfikir macam mana kalau betul-betul ada jodoh mestilah dia ajak kahwin. Boleh ke dia terima kekurangan aku? Macam mana kalau dia geli? Allahu mungkin nampak macam aku terlebih fikir, tapi itulah hakikatnya.

Untuk rawatan ekzema, aku habis beratus-ratus setiap bulan. Aku cari pula ilmu pasal hilangkan parut badan termasuklah kesan ekzema.

Memang ada iaitu rawatan laser. Tapi satu sesi sangatlah mahal. Menelan ratusan dan ribuan ringgit. Apalagi nak hilangkan parut banyak di badan aku, harganya memang cukup gila.

Dek kerana takut, aku pernah terfikir tak nak kahwin SELAMANYA. Biarlah aku hidup sorang daripada terpaksa ‘mempersembahkan’ badan ni pada suami.

Betul ke pemikiran aku? Memang betul ada lelaki yang katanya terima kekurangan aku. Tapi kekurangan tentang ekzema ni aku tak pernah beritahu.

Takkan nak bagitau sebelum kahwin? Kalau takde jodoh, malulah orang tahu kekurangan kita. Kalau bagitahu selepas kahwin, entah macam mana kalau dia tak terima?

Aku stress korang. Banyak kali aku rasa tak guna. Rasa buruk. Bayangkan dari umur 7 tahun aku bergelut dengan benda ni. Sekarang tengah pulih tapi parutnya

MasyaAllah banyak. Aku risau takde sesiapa boleh terima kekurangan ni. Betul. Lelaki yang baik akan ada susah senang busuk dan wangi kita. Tapi parut yang ada ni muncul di tempat-tempat yang crucial. Aku risau. Sangat risau.

Dalam tahun ni juga, aku ada pindah rumah sewa sebab bertukar tempat kerja. Nak dijadikan cerita tilam yang tuan rumah bagi rupanya dah lama tak tukar. Luaran nampak elok. Badan aku mula naik gatal. Nak taknak, aku beli tilam baru. Tapi aku sedih. Ekzema aku muncul lagi.

Tapi kalini lebih gila. Ia muncul di sekitar buah dada. Parut di dada belum hilang dah muncul baru. Dalam masa 1 malam, ia tumbuh banyak.

Bangun pagi aku panik menggigil. Jam 11 aku telefon klinik doktor pakar berdekatan untuk emergency appointment. Aku ke sana ceritakan pada doktor.

Doktor kata memang punca dari hama tilam. Katanya setiap tahun sensitiviti kulit aku makin kronik. Aku rasa nak nangis.

Tapi macam biasa, doktor cuma bagi injection, ubat gatal dan balik minta aku berpantang makan. Balik rumah aku mandi. Banyak kali aku sental badan. Aku rasa jijik dengan diri sendiri.

Di bilik air, aku tengok diri aku pada cermin. Berderai air mata. Kenapa dugaan aku sampai berbelas tahun ni? Aku pernah baca kisah ibu yang tak dapat breastfeeding anaknya sebab buah dadanya ada ekzema.

Aku remuk hati. Allah. Macam mana esok-esok ada anak tiba-tiba ekzema aku datang? Bayangkan tak boleh susukan anak sendiri.

Bagi orang mungkin aku cuma melebih-lebih. Tapi ia masa depan aku. Mestilah aku terfikir. Sedangkan orang yang dah kahwin pun penuh insecure. Apalagi manusia lemah macam aku.

Setiap malam menangis, aku depres fikirkan macam mana nak rawat. Segala macam ubat drpd moden ke kampung ceruk semua aku dah cuba. Tapi ekzema ni tetap pilih untuk datang semula ke badan aku. Sesuka hati dia. Bila-bila yang dia nak.

Aku minta korang doakan aku kuat. Bukan mudah menjadi ekzema fighter. Tak sekadar perit di badan, tapi terkadang perit emosi. Perit memikirkan setiap hari. Agaknya bila semua dugaan kesihatan ni nak habis?

Kalau ada ikhtir, mohon korang beritahu. Ya. Aku pesakit ekzema yang terdesak nak pulih.

– Maya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *