Em4k

7 April 2021, 24 Syaaban,

Rabu.

Masa ni tengah pkp, tapi aku buat keputusan untuk balik kampung, nak jenguk ayah, sebab mak kata ayah macam tak berapa sihat. Tak tahu lah tapi sangat mudah urusan nak balik kampung, urusan surat rentas negeri. Terima kasih untuk Kak Ani sebab tolong.

Mungkin sebab aku cakap kat mak “mak tolong doakan kita nak mntak sign polis untuk surat rentas negeri ni ea”

Masa sampai kampung, mak sambut dengan happy. Sebab dah berbulan tak balik sejak covid. Senyum smpai telinga dapat jumpa si maira lepas berbulan tak dapat jumpa

Tapi mak ada cakap “ti, mak rasa macam kebelakangan ni macam nafas laju sikit, cepat semput” bila tanya kenapa mak kata tak tahu la.

8 April 2021, 25 Syaaban,

Khamis.

Aku nak hantar kak dira bawak aisy check up kat kk, mak cakap “ti, mak nak ikut, nak cek yang mak rasa semput ni”. Aku pun bawak mak skali. Dekat kk diorang hanya bagi neb sekali and discharged dengan ubat batuk.

Balik dari klinik, mak tanya nak masak apa. Aku cakap teringin nak makan acar ikan aya mak masak. Tu lauk kegemaran aku dari kecik. Hari-hari pun aku boleh makan.

Dah lama tak balik kampung ni, dah lama tak makan. Sejak mengandung mengidam. Tengahari tu mak masak lauk tu. Sedapppppp..

9 April 2021, 26 syaaban,

Jumaat.

Ayah kata nak bekam. Kami pun bawak ayah pergi bekam. Aku, suami, ayah,mak pergi sama. On the way balik dari bekam, aku teringat mak cakap semput dia masih tak settle. Aku pun terpikir nak bawak dia pergi klinik swasta.

Tapi hari tu hari jumaat, mostly klinik tutup. Sampai la jumpa 1 klinik bukak. Dekat klinik doktor cek lungs, doktor bagi neb. Pastu doktor cek jantung. Dapat result jantung doktor kata bacaan ada suspicious sikit. Jadi doktor kata kena refer hospital.

Sampai hospital, tengah jalan kaki pergi kecemasan, mak tanya “ doktor nak buat ape eik kat mak? Lama ke eik?”. Aku tau dia takut, sebab dia tak pernah masuk wad kecuali bersalin.

Sampai kecemasan, mak je boleh masuk, aku kena tunggu luar sebab covid. Dalam 3 jam aku tunggu, seorang staff cakap, “Waris Siti Rohani ke? Pergi daftar masuk wad ya.”

Aku tanya dia kenapa kena masuk wad? Mak saya kenapa?? Tapi dia tak tahu sebab dia hanya disuruh untuk mintak waris pergi daftar.

Dekat bahagian pendaftaran, aku nampak mak ditolak dengan strecher. Pada mak dipasang oksigen nasal prong, mak dah tukar baju patient, mak nampak sikit lemah.

Aku hantar mak ke wad, tapi tak boleh ikut ke katil, aku jumpa nurse kat kaunter tanya keadaan mak. “potassium mak awak low, jadi kena masuk wad dulu untuk pantau, lagi pun ada jangkitan kuman pada paru-paru, kena masuk antibiotik dulu”

Diagnosis mak, pneumonia and hypo k. Pada fikiran aku, patut la mak susah nafas. Lepas complete antibiotik dan correction of potassium, mak akan okey and boleh balik. Hati aku lapang.

Mak masuk wad kuarantin sebab kena tunggu result covid sebelum di masukkan ke wad biasa. Dekat wad biasa baru boleh melawat. Aku hanya cuti 7/4-11/4. Jadi aku fikir aku balik dulu melaka, nanti mak dah discharge aku balik jenguk mak lagi.

10 April 2021, 27 Syaaban,

Sabtu.

Kami dapat call mak. Dapat cakap dengan mak. “Mak makin ok dah ni, tadi mak makan nasi lauk masak lemak, sedap. Mak ok ni, jangan risau”.

Ayah cakap dengan mak “takpe la ani, sama-sama kita tak sihat. Sama-sama la kita jaga diri ya?”

11 April 2021, 28 Syaaban,

Ahad.

Aku cuba call mak lagi pagi tu, nk cakap aku nak balik melaka dulu, tapi mak tak angkat call. Berkali aku cuba call tapi tak dapat. Mugkin mak nak berehat.

Aku pun kemas-kemas beg nak balik melaka. Tengah loading barang masuk kereta. Tiba aku dapat call. Call dari hospital.

“Puan, kami nak maklum, mak puan kena serangan stroke dekat wad, ada pesakit lain nampak dia terduduk dalam bilik air, sekarang mak puan tak boleh bergerak, tapi dia boleh dengar arahan”

Bam! Aku terduduk. Stroke? Tak boleh bergerak? Eh, mak takde hypertension takda kencing manis. Macamana..??

Bertalu tanda soal dalam kepala aku. Patut aku call mak tak angkat dari pagi. Terus aku beritahu pada abang dan adik-adik. Tapi pada ayah kami belum beritahu sebab dia kurang sihat.

Aku tenangkan diri sebab kami masih belum dibenarkan pergi tengok mak sebab mak masih belum dipindahkan ke wad biasa. Keputusan covid dah keluar , negative, tapi wad belum kosong.

12 April 2021, 29 Syaaban,

Isnin.

Pagi-pagi lagi aku call wad tanya mak dah pindah wad ke belum. Diorang cakap dah pindah. Aku geram sebab tak maklum pun. Tengah aku siap-siap nak pergi tengok mak, dapat call lagi dari hospital “puan, boleh datang cepat tak? Kita nak jumpa”

Aku tak sedap hati. Dari pagi aku tak sedap hati. Sebagai nurse, aku tahu maksud doktor nak jumpa cepat tapi otak aku macam blank. Yang aku tahu aku nak sampai hospital cepat.

Sampai je hospital aku terus naik wad. Abang dan suami aku tunggu dekat kereta dulu. Sepanjang langkah ke wad aku macam tak tentu arah, terasa ada beban berat kat bahu. Masuk je wad, aku cari mak dari katil depan sampai katil belakang, tapi mak takde.

Tapi dekat katil depan ada 1 katil hujung yang tertutup langsir, aku tak rasa tu mak. Aku pergi kaunter tanya nurse mana mak aku, nurse tunjuk katil yang tertutup langsir tu.

Aku jalan ke katil. Perlahan. Tak sanggup tengak apa ada di balik langsir. Aku selak langsir, nampak mak terbaring kaku, pada muka mak nampak ada wayar dekat hidung dan mak dah di intubate (ditidurkan).

Sebelah mak ada seorang doktor tengah ‘bagging’ mak. Aku pandang muka doktor mohon pengertian. Mulut aku kaku tak tahu nak cakap apa. Doktor tu tunjuk ke arah lagi seorang doktor yang berjalan ke arah aku.

“Puan, mari ikut saya”. Doktor bawak aku ke meja, atas meja tu ada laptop. Terpampang result ct brain.

“Puan, semalam mak puan kena serangan stroke, ni result ct brain mak puan. Serangan stroke tu agak kuat. Tapi mak puan masih boleh mendengar arahan. Cuma dia tak boleh bergerak.

Tapi pagi tadi, mak puan kena serangan stroke kali ke dua. Serangan ni agak kuat sampai kami terpaksa intubate mak. Sekarang, kami nak buat ct brain kali ke dua untuk tengok keadaan otak mak puan macamana”.

Terasa nafas aku tersekat, kaki aku lemah untuk berdiri, seluruh jiwa raga aku melayang. Ku kuatkan genggaman tangan sendiri, mengumpul sisa semangat yang ada,

Aku speechless. Hanya pandang staff tolak katil mak bawak ke ct brain. Sepanjang tggu mak, aku fikir macamana nak beritahu pada abang aku kat bawah tu.

Sekembali mak dari ct brain, mak di tolak ke wad lain. Ke icu. “puan, ada adik beradik lain datang tak? Saya nak jumpa semua boleh?”. Aku call abang “din, naik wad kejap, doktor nak jumpa”

Abang sampai. Kami berdua jumpa doktor. Sempat aku beritahu pada abang perihal mak kena serangan stroke kali kedua. Ku lihat abang pandang mak di katil. Seolah tak percaya. Doktor tunjuk kami keputusan ujian ct brain kali ke 2,

“Kalo dibandingkan result ni dengan yang semalam, keadaan otak mak awak sangat teruk, hampir separuh otak mak awak rosak akibat stroke.

Sekarang keadaan mak awak sangat kritikal,jantung dia bila-bila masa akan terhenti. Bila-bila masa mak awak akan pergi, jadi sekarang, awak boleh bawak semua ahli keluarga untuk jumpa mak untuk kali terakhir”. Kami terdiam, tak mampu untuk kata apa-apa.

Abang aku terduduk. Teresak-esak dia menangis ditepi katil mak. Mungkin tengah nak menghadam semua benda ni. Benda yang aku sendiri masih belum mampu hadam.

Malam itu, malam selasa, malam ramadhan, aku bawak ayah dan adik-adik, untuk jumpa mak. Masih terbayang wajah sugul adik-adik yang tiba-tiba terima berita sayu ni, masih terbayang wajah ayah, terima berita mngenai isteri nya yang tercinta. Alhamdulillah ayah tenang.

13 April 2021, 1 Ramadhan,

Selasa.

Aku datang jenguk mak. Pandang wajah kaku mak.

“Mak.. Kita datang.. Mak, kita mcm tak percaya, tapi tak apalah mak ni semua keje Allah. . Mak, kita mintak maaf, semua salah silap kita selama ni, kalo ada yang mak terasa, yang mak sedih, kita mintak maaf. Kita sayang mak sangat.

Terima kasih sebab jadi mak terbaik untuk kami adik beradik. Mak jangan risau, pasal ayah dengan adik-adik, inshaAllah kami ok.

Mak, tolong maafkan semua anak-anak mak yang tak sempurna, kami banyak buat salah, kami mintak ampun. Semoga Allah mudahkan urusan mak…”

Masa tu berlalu dengan aku pandang mata tertutup mak, sesekali air mata mak mengalir. Aku pandang muka yang aku rindu, pipi itu, pipi yang jarang sekali dapat aku cium.

Mata aku teralih pada tangan mak, tangan yang mendukung aku masa aku kecil, tangan yang banyak mendidik aku, mengajar aku, tangan yang kini sudah kaku..

Sempat aku baca kan yaasin, sebelum berlalu pulang.

14 April 2021, 2 Ramadhan

Rabu.

Pagi tu aku tak pergi jenguk mak. Sbb satu badan aku sakit-sakit, terasa macam nak demam. Mungkin sebab tengah sarat mengandung masa tu. Aku rancang belah petang aku nak pergi jenguk mak.

Masa melawat mak, sempat aku urut-urut badan mak, sambil baca yassin dan berbual dengan mak.

Mata aku memandang tepat pada screen monitor sebelah mak, bacaan tekanan darah, nadi mak semakin menurun…

Malam tu aku terlelap awal, mungkin sebab penat. Hampir pukul 12 malam, phone aku berbunyi. Aku terus terjaga dan terus terduduk. Tenang aku jawab panggilan tu “puan, puan ada kat mana? Boleh datang wad sekarang tak? Mak puan makin kritikal..”

Terus aku call abang, beritahu keadaan mak. Kejut salah seorang adik dan bertolak ke hospital. Abang aku sampai dulu, berlari dia ke lift. Tapi lift semua lambat, terus dia melangkah ke tangga.

Mak berada di tingkat 7. Laju langkahnya, berharap dapat disisi mak pada saat ini. Sambil laju langkah mendaki anak tangga, phone abg berbunyi. Langkah abg terhenti di tingkat 2, terduduk abg disitu, bila nurse maklumkan, mak dah tak ada….

Aku tiba di wad tak lama lepas tu, berat langkah menuju ke katil mak. Terpandang jasad mak yang sudah diselimuti. Tapi, kami semua tak nangis, tak tahu la mana datang kekuatan, tapi kami semua bertenang smpai la urusan mandi mak selesai.

Bertuah aku berpeluang mandikan jenazah mak. Jasad mak bersih sekali, mak seumpama sedang enak diulit mimpi, wajah mak tenang, setenang hati aku meredhai pemergian mak.

Sebelum zohor, semuanya sudah selesai. Dari hospital aku bersama mak dalam van jenazah untuk dihantar ke rumah. Kami semua dapat melihat dan mencium jasad mak untuk kali terakhir.

Gigih aku kucup puas-puas wajah mak walaupun perut memboyot membataskan. Ku usap, pandang sepuasnya wajah mak. Pandangan yang terakhir sebelum wajah mak ditutup semula.

Tiba waktu mak di bawa ke kubur. Aku pandang jasad mak diangkat ke van, jatuh lagi airmata yang entah ke berapa kali untuk hari itu, sebab aku tau, itu adalah perjalanan terakhir mak ke negeri abadi. Mak takkan pulang lagi ke rumah ini. Berlalu van membawa mak,

Yang turut sekali membawa seluruh semangat aku. Ingin sekali aku halang, pegang, peluk badan mak. Aku masih perlukan ibuku, aku masih mahu rasakan pelukannya, aku masih perlu nasihat dan kata-kata semangat darinya, tapi takdir tuhan mengatasi segalanya.

Ya Allah, telah kau ambil ibu kami, ibu kami yang sangat baik, yang jarang kami dengar umpat keji dari mulut nya, ibu yang sangat taat kepada ayah kami, ampunkan ibu kami, lapangkan dan terangkan kuburnya, jadikan kubur sebagai sebaik-baik tempat istirehat untuknya,

Selamatkan dia dari azab kubur dan azab api neraka, berikan syurga tertinggi kepada ibuku dan disana dapat kami berkumpul semula. Aamiin.

Antara nikmat Allah yang sangat aku syukuri ialah digerakkan hati untuk balik ke kampung berjumpa mak dalam keadaan mak sihat, sebelum segalanya terjadi. Dapat makan lauk kesukaan aku yang mak masakkan untuk kali yang terakhir.

Segalanya terlalu cepat, sekelip mata mak hilang dari kami. Tapi Allah ambil mak dalam keadaan paling baik, dibulan paling mulia, sakit mak tak lama.

Banyak pertanyaan tanpa jawapan tentang apa yang menimpa mak, tapi aku percaya jawapannya cuma satu, Allah memang dah nak ambil mak. Allah sayang mak.

Selamat jalan mak.. Ibu yang ku cintai, berpisah kita didunia yang sementara, doaku kita kembali bersatu disyurga illahi. Aamiin..

– Siti (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *