Aku anak ketiga dari 4 beradik, dari utara tanah air. Kalau diikutkan taraf hidup, aku membesar dalam keluarga B40.
Ayah seorang pengawal keselamatan di pasaraya dan emak seorang surirumah yang kadangkala mencari pendapatan sampingan dengan mengambil upah membuat kuih.
Kami hidup sekadar cukup makan, ada masanya tidak cukup. Kadang terpaksa meminta beras dari rumah nenek disebelah, meminjam kawan ayah atau saudara untuk belanja harian,
Bil air pernah beberapa kali dipotong dan setiap kali terjadi, ayah menebal muka memasang paip air dari rumah pakcik demi bekalan air.
Kenderaan kami pada waktu itu hanyalah sebuah motosikal lama peninggalan arwah datuk. Jika hendak ke pekan, ayah akan berulang alik mengambil kami. Jika hujan dan ingin kemana-mana, sekali lagi ayah menebal muka meminjam kereta pakcik.
Namun sesukar manapun hidup, emak dan ayah tidak sesekali mengabaikan pendidikan. Tidak pernah kami ke sekolah tanpa duit belanja. Sedaya upaya mereka akan mencukupkan keperluan sekolah.
Memasuki sekolah menengah, biasanya kami akan ke sekolah menaiki basikal. Aku perlu berkayuh sejauh lebih 15km setiap hari ke sekolah. Wajahku dan kakak hingga sekarang berbintik hitam berikutan terik matahari.
Kakak, aku masih ingat selama 5 tahun bersekolah menengah, kakakku hanya mempunyai sehelai baju sekolah putih yang akan dicuci setiap hari sehingga baju itu telah bertukar warna kehijauan.
Walaupun kakakku mendapat biasiswa, biasanya akan diberi kepada emak untuk menampung biaya kami adik beradik yang lain. Ketika itu, aku kurang memahami situasi dan tidak berasa apa-apa. Setelah dewasa, barulah aku mengerti pengorbanan seorang kakak disebalik semuanya.
Emak telah meninggalkan kami di usianya menginjak 60 tahun, berikutan penyakit darah tinggi dan kencing manis. Aku sempat bersamanya cuma 27 tahun.
Beberapa memori semasa kecil adalah semasa emak menyuap makan nasi yang dikepal bersama ikan sambil aku berlari di halaman.
Aku terjatuh dan terluka di lutut, emak mendapatkan dan meniup lukaku. Sama seperi yang aku lakukan sekarang terhadap anak-anakku.
Memori yang lain adalah semasa aku diapit ayah dan emak di atas motor. Dibawa berjalan sekitar pekan, aku masih ingat angin laju yang meniup rambut dan emak menyuap kuih ke mulutku.
Bezaku dan adik adalah 6 tahun, jadi aku sempat merasa menjadi anak yang ditatang dalam tempoh itu. Aku mempunyai anxiety terhadap orang yang tidak dikenali sehingga umurku 7 tahun.
Pelbagai kisah yang ayah dan emak ceritakan antaranya aku pernah dibawa ke kenduri kahwin dan enggan masuk ke dalam rumah kerana terdapat ramai orang. Puas dipujuk namun aku tetap meraung menangis enggan turun dari pangkuan mereka.
Akhirnya mereka mengalah dan membawaku pulang tanpa sempat menjamah jamuan kenduri. Betapa sabarnya mereka melayani aku si anak.
Jika ke tadika, emak akan menghantarku dan menungguku di sana hingga tamat sesi, jika tidak aku akan meraung menangis. Aku juga mendapat tahu yang emak sedang mengandung itu dan disebabkan itu, aku hanya bertadika sehingga 4-5 bulan saja kerana kandungan emak yang sarat.
Betapa gigihnya emak bila dikenangkan kerana jalan ke tadika tidaklah mudah, perlu melintasi landasan kereta api lama di mana perlu memanjat sedikit bukit kerikil di kiri dan kanan landasan.
Seingat aku, mudah tergelincir dan curam tapi emak gagahkan dalam keadaan dia yang mengandung demi menyekolahkan aku anaknya.
Meskipun hanya sempat bertadika beberapa bulan, aku masih ingat yang aku telah pandai sejak hari pertama persekolahan.
Ketika kecil, aku tidak pernah memikirkan itu hal yang besar namun setelah dewasa baru aku sedar kebolehan membaca bukanlah sesuatu yang semula jadi, memerlukan seorang guru yang konsisten mengajar setiap patah perkataan dan tidak mungkin aku dapat menguasainya semasa tadika.
Sepanjang di tadika, yang aku kisahkan adalah keberadaan emak bukan apa yang diajar oleh cikgu. Jika emak tidak berada dalam radar penglihatanku, aku akan gelisah.
Setelah diselidik, emak menyatakan bahawa dialah yang mengajarku membaca di rumah. Ya Allah, sesungguhnya aku menjadi saksi kasih dan sabar emak terhadap diri ini.
Lahirnya adik bongsu, emak mula memberi perhatian kepadanya yang masih kecil. Pernah aku ditanya emak adakah aku gembira mempunyai adik, aku menjawab perlahan ya. Sedangkan di dalam hati aku memendam rasa dengan perhatian emak yang telah terbahagi.
Sesekali aku terasa hati apabila asyik perlu mengalah kepada adik. Pernah sekali, aku mengatakan ingin lari dari rumah kerana terasa hati emak asyik memenangkan adikku. Dan aku benar-benar keluar dan berlari ke luar rumah, melintas jambatan dan ingin menuju ke landasan kereta api.
Aku masih ingat emak mendukung adik dan berlari mengejarku sambil memujukku pulang. Bukanlah memujuk sebaliknya menakutkan aku dengan mengatakan di seberang landasan terdapat sesuatu yang menakutkan. Aku ragu-ragu dan akhirnya pulang.
Masa berlalu dan anxietyku semakin pudar dengan hadirnya rakan-rakan (dan perkembangan otak). Aku dikurniakan akal fikiran yang lebih tinggi (dalam pelajaran) berbanding kakak dan abang, dan berjaya membawa balik beberapa anugerah sepanjang persekolahan yang aku rasa membanggakan emak dan ayah.
Ayah tidak pernah terlepas menghadiri setiap sesi anugerah manakala emak tidak pernah hadir namun tersenyum bangga setiap kali aku bercerita.
Pernah semasa aku berumur 11 tahun, emak dan ayah ingin membawaku ke pekan. Berulang alik ayah menghantar aku dan emak menaiki motosikal lamanya.
Mereka membawaku ke sebuah pasaraya besar dan kami ke kedai cenderahati, rupanya mereka ingin membeliku hadiah sempena keputusan peperiksaan ku yang cemerlang. Aku masih ingat lampu tidur hello kitty yang aku pilih sendiri. Itulah hadiahku yang paling bernilai ku kira semasa itu.
Menginjak usia remaja, aku semakin menjauh hati dengan emak. Emak kurasakan lebih memenangkan adik beradik yang lain. Misalnya kakakku tidak disuruh membuat kerja rumah sedangkan aku dileter jika tidak melakukan.
Emak pernah bekerja sebagai pembantu kedai dan ketika itu, emak mengarahkanku untuk menyiapkan segala kerja rumah sebelum dia pulang. Kakak sulungku Ketika itu di universiti. Emak pada masa itu masih lagi menuruti tradisi lelaki tidak perlu membuat kerja rumah.
Emak kukira sewaktu itu mengancamku jika aku tidak selesaikan kerja-kerja rumah sebelum dia pulang. Segalanya dipertanggungjawabkan kepada aku yang Ketika itu sibuk dengan kelas tambahan PMR dan menyebabkan aku terasa hati dengan emak.
Aku juga seringkali disisihkan setiap kali menempah makanan luar. Aku dianggap tidak wuud setiap kali adik beradik yang lain sedang memikirkan makanan yan ingin ditempah. Aku cuba memujuk diri dengan menyatakan emak tidak cukup duit tapi kenapa hanya aku.
Setiap kali makanan sampai, aku pura-pura tidak melihat mereka yang lain menikmati makanan itu. Emak tidak pula menggalakkan mereka berkongsi dengan aku.
Setelah acap kali terjadi, aku hanya akan masuk ke bilik dan kadang kala menangis sendiri. Setiap tindakan emak yang kukira menyakiti hatiku ibarat seketul bata yang ku susun bagi membina dinding emosi dalam diri.
Aku sangat jarang dan akhirnya menjadi kekok untuk berkongsi cerita dengan emak sehingga dewasa.
– Zaharah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit