Hari itu, mak bercerita dengan nada yang sangat berbeza. Tidak seperti biasa, suara mak terdengar lebih tenang, tetapi ada sesuatu yang membuatkan hatiku sebak.
“Mak rasa mak dah tak lama.”
Kata-kata itu begitu berat dan memberi kesan mendalam pada diriku. Mak yang selama ini kuat dan penuh semangat, kini meluahkan perasaan yang paling aku takuti.
Haritu juga dia bercerita tentang duit simpanannya yang ingin diberikan kepada semua anak-anaknya.
Mak tidak mahu ada yang tertinggal, tidak mahu ada yang merasa terbeban apabila waktunya tiba. Dia mahu memastikan segala-galanya terurus dengan baik, supaya anak-anak tidak perlu risau lagi.
Semua itu adalah kerana kasih sayang seorang mak yang mendalam, yang sentiasa memikirkan kesejahteraan anak-anaknya, walaupun mak tahu bahawa kami sudah cukup dewasa dan mampu menguruskan kehidupan kami sendiri.
Namun, yang paling menyentuh hatiku adalah kata-kata mak yang mengatakan bahawa dia seperti sudah puas hidup.
Mak berkata dengan penuh kerendahan hati bahawa dia telah melakukan segala yang terbaik dalam hidupnya, dan kini dia rasa sudah tiba masanya untuk melepaskan semuanya.
Dia juga menyatakan bahawa dia melihat kami, anak-anaknya, mampu untuk hidup tanpa dirinya. Kata-katanya itu membuatkan hatiku terasa sangat perit dan pilu.
Walaupun aku tahu mak berkata begitu kerana dia sudah mencapai kedamaian dalam hatinya, aku tidak dapat menahan perasaan. Mak adalah segalanya bagi ku. Dia adalah tempatku mencari perlindungan, tempatku mengadu, dan sumber kekuatanku yang tidak pernah putus.
Mendengar dia berkata bahawa dia sudah puas hidup, rasa seolah-olah dunia ini tiba-tiba menjadi lebih sunyi. Aku masih belum siap untuk kehilangannya, walaupun aku tahu itu adalah suatu kenyataan yang pasti.
Aku menyedari bahawa mak sudah pun melalui pelbagai perjuangan dalam hidupnya. Dia telah menjalani kehidupan yang penuh dengan cabaran dan pengorbanan demi anak-anaknya.
Tetapi, bagiku, selagi dia masih ada di sini, aku ingin terus berada di sisi beliau, memberikan segala yang terbaik sebagai tanda terima kasih atas segala pengorbanan yang telah beliau lakukan.
Namun, aku juga tahu bahawa kehidupan adalah sesuatu yang tidak dapat kita kekalkan selamanya.
Apa yang penting kini adalah memberi mak rasa kasih sayang dan penghargaan yang tulus, menghargai setiap detik yang ada, dan memastikan beliau tahu bahawa anak-anaknya akan terus hidup dengan nilai-nilai yang dia tanamkan dalam diri kami.
Kehidupan ini tidak akan pernah lengkap tanpa mak. Namun, aku harus belajar untuk menerima kenyataan bahawa setiap yang hidup pasti akan pergi.
Apa yang paling penting adalah untuk meyakinkan mak bahawa kami akan terus menjaga diri kami dengan baik, sebagaimana dia selalu menjaga kami.
Dan aku akan terus berdoa agar mak diberikan ketenangan, kesihatan tubuh badan yang sihat, kebahagiaan yang sejati dan dikurniakan usia yang panjang kerana dia adalah seorang mak yang sangat istimewa dalam hidup kami.
– Anak Mak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Hilang mak hilang la sgala keindahan dunia ni..aku dah merasainye..