Assalammualaikum and hi semua. Selepas membaca confession Dhiya, (https://iiumc.com/kalau-nak-tengking-pukul-anak-fikir-lagi-sekali/) saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya.
Benar apa yang beliau cuba sampaikan. Saya pernah melihat sebuah talk psychology, presenter tu kata kalau kita merasa senang dengan sesuatu perkara yang susah untuk orang lain, sebenarnya kita sedang mengalami trauma dan dipaksa untuk menerimanya.
Dalam context ini, saya maksudkan orang-orang yang merasa dengan pukul itu akan dapat menjadikan anak-anak “manusia” hanya kerana waktu kecil mereka menerima pukulan juga.
Untuk pengetahuan, masa saya kecil, saya pernah ditengking dan ditampar ayah. Ayah bukanlah pendera dan dia memang baik.
Ayah lebih banyak diam. Kalau saya dapat keputusan tak bagus pun dia hanya kata tak mengapa sahaja walaupun saya nampak kekecewaannya. Namun, kejadian-kejadian jarang berlaku itulah yang menghantui saya.
Pertama, kejadian tengking tu berlaku waktu saya nak buat kerja sekolah. Saya tak faham soalan kerja latihan, jadi saya tanya pada ayah.
Luluhnya hati saya bila ayah mengamuk kata jangan ganggu dia nak makan. Waktu tu, saya darjah satu atau dua tak ingat.
Saya terus hilang minat untuk belajar kerana saya memang seorang yang lambat tangkap, jadi tanpa bantuan saya tak akan faham.
Sehinggalah saya masuk sekolah menengah, saya mulai minat belajar semula. Namun, pengalaman lalu mempengaruhi gaya pelajaran saya.
Saya tak suka bekerja dalam kumpulan, semua dilakukan sendiri. Walaupun ada tugasan kumpulan, saya akan siapkan semuanya dan biarkan ahli lain jadi free rider.
Masuk alam universiti, saya masih begitu. Sehinggalah semester ketiga tahun lepas waktu PKP pertama berlaku.
Saya sangat tertekan dengan tugasan yang banyak. Saya luah pada housemate saya, A (classmate juga) dan kata-kata dia buatkan saya sedar bahawa saya ni bermasalah rupanya.
Saya tak beri peluang untuk orang lain bantu saya. Saya tidak beri kepercayaan pada semua yang mereka pun sebenarnya boleh buat tugasan tu.
Sejak tu saya ubah pendirian dan mulai suka berkumpulan. Kalau anda ingat lagi, punca saya jadi suka sendirian kerana saya percaya tiada orang lain akan bantu saya macam waktu saya minta tolong ayah dulu.
Jadi, nasihat saya tolonglah jangan tengking anak kerana ianya meninggalkan kesan.
Sampai sekarang saya masih ingat ayat yang ayah utarakan, mimik mukanya dan ekspresinya. Setiap kali teringat juga saya terasa hendak menangis walaupun sekarang saya rapat dengan ayah.
Kedua, kejadian saya ditampar berlaku sewaktu saya darjah lima. Waktu tu saya ke rumah kawan perempuan berdekatan sekolah agama.
Saya tahu memang saya salah sebab tak beritahu pada ayah terlebih dahulu. Saya cuba hubungi ayah melalui telefon kawan tapi tidak disambung.
Akhirnya saya pulang kerumah jam 7 begitu (sekolah saya habis jam 5.30) dan ayah ada dirumah. Waktu tu sepatutnya dia bekerja (shift malam) dan dia dengan pakaian kerjanya tunggu saya kat rumah.
Saya sangat takut pada waktu tu. Bila saya sampai dia tanya saya ke mana dan saya jujur cakap kerumah kawan.
Waktu tu saya happy sangat, sebab saya tak ramai kawan dan tak pernah ke rumah kawan. Kawan tu jela yang bersama dengan saya sepanjang sekolah rendah. Tapi kebahagiaan tu sekejap saja. Saya terus ditampar dan ditengking lagi. Ayah kata sayalah punca dia tak masuk kerja haritu.
Saya mengaku memang salah saya. Tapi wajarkah saya ditampar? Setakat cubit saya tidak kisah.
Mulai tu, saya tidak pernah ke rumah kawan lagi sehingga sekarang. Saya pun takde kawan. Saya menjadi attached di rumah dan anti social walaupun saya suka outdoor. Saya sedar perkara ni waktu saya sekolah menengah.
Saya jadi benci bila terpaksa tinggalkan rumah, rasa takut tapi tidak rasa terkurung pun. Saya yakin saya terdorong jadi begini kerana peristiwa itu.
Saya trauma untuk kemana-mana dan saya sentiasa fikir duduk dirumah sajalah dekat luar tak selamat walhal sebenarnya kerana saya takut.
Tahun lepas, pertama kali saya keluar ke mall dengan kawan perempuan. Saya minta izin ayah dan naik grab. Ayah okay sahaja.
Bila dah berlarutan ke waktu malam, ayah whatsapp suruh balik. Waktu tu jam 8 tak silap. Saya terus cuak dan cakap dekat kawan saya kena balik sekarang.
Kawan saya relax sahaja dan masih berlambat-lambat. Tuhan saja tahu betapa banyaknya doa saya waktu tu supaya ayah tak marah.
Alhamdulillah waktu saya balik tak terlalu lewat dan saya terus ke bilik. Sejak tu, saya tak pernah keluar lagi dengan kawan.
Kesimpulan yang saya nak nyatakan, segala perlakuan ibu bapa akan beri kesan pada anak-anak. Emosi mereka kita tak tahu.
Ambillah contoh saya ini, dah dewasa pun masih terkesan dan ketakutan. Setiap perlakuan tu akan diingat sampai mati. Ikatan keluarga tu sangat goyah bila berlaku perkara begini.
Anak-anak akan beremosi dan tak percaya ibubapa. Semoga semua ibubapa dapat bersabar dengan kerenah anak-anak dan dapat mengawal kemarahan. Terima kasih kerana membaca.
– Juju (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit