Emosi Wanita

Assalamualaikum warga iium confession. Sebenarnya kisah ni agak ke arah rumahtangga, tapi sengaja saya ‘confess’ di sini sebab bagi pandangan saya, komen-komen dari pembaca di page iium confession ini lebih berilmiah, lebih waras dan lebih positif. Jadi saya berharap agar admin ‘page’ ini sudi menyiarkan kisah saya ini untuk para pembaca memberikan pendapat mahupun dijadikan tauladan.

Saya berasal dari selatan tanah air dan telah memasuki ‘3 series’. Dan semestinya saya adalah seorang wanita. Mungkin bagi kebanyakan orang, dengan usia 30an adalah normal jika wanita itu mula beremosi. Tetapi saya telah mula berlawan dengan emosi begini sejak awal 20an lagi. Terutamanya dengan keluarga terdekat dan semestinya pasangan hidup. Pasangan saya sekarang adalah perkahwinan kedua saya dan inshaaAllah untuk yang terakhir bagi saya. Saya tidak pasti sama ada perkahwinan pertama saya gagal disebabkan oleh emosi saya ini, ataupun memang ketidaksehaluan saya bersama pasangan yang dahulu sehingga jodoh terhenti di situ saja.

Dan masalah emosi saya ini tidak mengganggu dalam pekerjaan saya. Pergaulan saya dengan rakan2 sekerja adalah normal. Saya langsung tidak terkesan jika ada rakan-rakan yang bergurau agak kasar dengan saya. Tapi dengan suami, saya sangat mudah sensitif. Perubahan riak muka dia sahaja sudah boleh membuatkan saya berfikir sudah ada perempuan lain dalam hatinya.

Sekarang, perkahwinan kami menjangkau 2 tahun. Dan emosi saya semakin menjadi-jadi. Perkara-perkara kecil boleh timbulkan pergaduhan antara kami. Awal-awal dahulu saya akan menjerit kalau berlaku pergaduhan, tapi sekarang saya memilih untuk menangis sepuasnya. Dan apa yang saya perasan, suami saya seakan-akan mula rimas dengan sikap saya.

Bukan saya tidak pernah untuk berbincang dengan suami keadaan ini, malah berkali-kali tetapi emosi saya tetap sama. Saya seorang yang ‘outspoken’, jika ada rasa tidak puas hati atau ragu-ragu, saya cuma mampu pendam untuk sehari atau dua hari saja. Masuk hari ketiga (paling lama), saya akan tanya dan luahkan segalanya pada suami. Berkenaan saya perasan mata dia kerap tengok perempuan lain bila di luar,sampai tahap saya kata dia leka perhatikan kakak ipar saya masa berada di kampung. Dan saya juga kerap curiga kalau-kalau dia masih menaruh hati pada bekas isterinya.

Luahan hati saya ni pada awalnya memang buatkan suami saya sangat tak selesa dan melenting. Tapi akhir-akhir ini dia dah mula tenang dengan tuduhan saya. Dia bagi keyakinan pada saya semua tuduhan saya tak berasas. Dan waktu saya waras, saya dapat merasakan malunya dan rasa berdosanya saya bila mengenangkan tuduhan-tuduhan saya pada suami saya. Saya cuma mampu ungkapkan rasa bersyukur apabila suami berusaha meyakinkan saya bahawa hatinya hanya untuk saya. Cuma, dia minta saya tidak kerap memikirkan dan menuduh seperti itu lagi, kerana kata-kata boleh menjadi doa. Dia tak nak diduga dengan situasi seperti yang saya fikirkan. Tapi, akan ada masa-masa tertentu yang emosi saya memuncak dan saya kembali ragu-ragu pada suami saya.

Saya mohon pendapat bagi yang lebih berpengalaman dalam alam perkahwinan, dan ada tak wanita-wanita lain yang senasib dengan saya. Mungkin bagi yang tak merasakan emosi seperti saya ini, akan menganggap perkara ini remeh. Tapi bagi saya, berlawan dengan emosi seperti ini sangat menyesakkan jiwa.

Oh ya, sebelum saya terlupa, mak saya juga ade sikap seperti ini. Mak saya dah di usia 70 an. Perlukan perhatian yang kadang-kadang ada mendatangkan rasa rimas bagi anak-anak. Saya sedaya upaya cuba ikutkan emosi mak saya kerana di usia begitu, kebanyakannya memang perlukan perhatian. Yang menjadi persoalan saya, adakah genetik mak saya itu ada kaitannya dengan emosi saya ini? Dan saya sangat-sangat mengharapkan saya tidak terus menerus bersikap begini sehingga ke tua yang boleh mendatangkan kerimasan pada anak-anak dan suami.

Pesan saya pada para pembaca,

1. Bagi suami-suami di luar sana,ikhlaskan la hati dalam mencintai wanita. Apabila anda dah buat keputusan untuk menjadikan dia suri hidup anda, jaga la hati dan emosi nya smpai ke akhir hayat. Jangan ada tawar dalam perkahwinan walaupun dah bertahun-tahun hidup bersama, apatah lagi untuk yang belum melepasi fasa pertama perkahwinan. Kerana lelaki tak kan faham emosi wanita, apatah lagi wanita macam saya. Kalau isteri jenis memendam,bperkara kecil macam ni boleh mendatangkan tekanan yang hebat. Selain itu,sudilah ikhlaskan hati untuk terima kekurangan isteri yang masuk tahun pertama atau kedua perkahwinan yang baru nampak kelemahan dan kekurangannya. Kerana wanita ini akan lebih kuat jika sendiri, tetapi macam-macam ragamnya jika dengan pasangannya. Maka teruskanlah bersabar dan jadilah lelaki sejati untuk mengawal ‘kegilaan’ para wanita ini. Dan jaga lah hati untuk tidak membuka ruang hati untuk wanita-wanita lain yang kelihatannya lebih sempurna,sedangkan belum serumah dengannya pun.

2. Buat para wanita lain yang sangat tenang dalam rumahtangga dan mudah untuk mengawal emosi sendiri,janganlah memandang rendah untuk insan seperti saya. Saya puas berlawan dengan emosi,saya dah berusaha dengan dekatkan diri pada Dia, tetapi akan ada masa juga emosi tu yang mengawal diri saya. Kadang-kadang saya rasa mahu pergi berjumpa dengan pakar psychiatric untuk kekecohan yang berlaku dalam minda saya. Saya bersyukur mungkin dengan adanya kerjaya saya (meminimumkan masa lapang saya supaya tidak terlalu memikirkan perkara yang tidak sepatutnya), dengan agama yang ibu bapa saya terapkan dari kecil, saya masih mampu mengawal diri saya dari bertindak di luar jangkaan. Dan saya semakin bersyukur, dengan pertambahan usia, saya semakin dapat mengawal emosi saya yang mana sebelum ini saya kerap mengetuk kepala sendiri dengan agak kuat dan membaling-baling barang untuk melepaskan emosi saya.

Sekian dulu luahan hati saya, terima kasih ‘admin’ jika sudi menyiarkan cerita saya ini. Saya berbesar hati jika ade yang sudi memberikan pendapat atau berkongsi cerita yang sama dengan saya. Dan saya juga bersedia jika ade kecaman-kecaman untuk kisah saya. Untuk suami saya, jika awak tahu yang mencoret ini adalah isteri awak, saya berharap awk dilimpahkan rahmat Allah sentiasa, dan ikhlas dalam memperisterikan saya sehingga ke akhir hayat. Dan saya takkan berhenti untuk berubah ke arah yang lebih baik. Semoga nanti awk akan dapat rasa kemanisan memperisterikan saya apabila saya sudah berjaya menakluk emosi saya sendiri. InshaaAllah..

– Insan yang mengharapkan rahmat Allah.

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *