Entah

Hai semua. Semoga semuanya baik-baik belaka. Kali ini ZP akan kongsikan lagi penulisan ZP. Ingat, ZP bercerita, anda membaca.

Bamm!

“Berapa kali kamu buat macam ni? Kamu nak main-main dengan saya? Jangan cabar saya!” Kuat suara Cikgu Sharol sambil menghempas buku teks di kepala anak muridnya. Anak murid bernama Nadia.

Merah wajah Cikgu Sharol menahan marah. Nadia hanya diam sahaja. Terkutik di situ tanpa suara.

Yang peliknya kepala Nadia sedikit pun tidak bergerak walaupun dihentak kuat dengan buku yang tebal itu. Seolah-olah kepala Nadia itu kuat bagai besi. Mimik muka Nadia pun tidak menunjukkan sakit.

Sememangnya ada rasa kasihan untuk Nadia. Kesalahan Nadia kerana tidak siapkan kerja rumah yang diberikan. Kesalahan itu sudah berulang kali Nadia lakukan.

Semua anak murid di sekolah tersebut tahu akan garangnya Cikgu Sharol. Semua anak murid akan takut apabila terdengar nama cikgu tersebut. Tetapi Nadia tidak takut akan Cikgu Sharol.

***

“Ringgg! Ringgg!”

Bergema di segenap sudut sekolah bunyi loceng. Menandakan waktu rehat. Laju langkah aku menuju ke kantin sekolah.

Berjaya! Aku sampai ke kaunter awal sekali untuk membeli makanan. Mujur aku tidak perlu beratur lama,dapat mengelak dari murid sekolah yang lebih ramai.

Itu kelebihan aku, apabila menduduki kelas yang hampir dengan kantin.

Aku membeli tiga biji kuih donut. Kuih kegemaran aku, yang boleh dikatakan setiap hari wajib aku beli. Dari jauh ternampak rakan satu kelas aku, Nadia.

Nadia sedang berbual dengan kawan baiknya, Laila. Laila, satu-satunya kawan yang Nadia ada. Satu-satunya juga kawan yang Nadia selalu berborak.

Hampir enam tahun di sekolah ini. Aku memang tidak pernah mendengar suara Nadia. Nadia selalu mendiamkan diri walaupun cikgu yang bertanya. Pelikkan? Tetapi itu benar.

Jika Nadia hendak cakap atau beritahu sesuatu semuanya melalui Laila. Sekali lagi pelik bukan? Tetapi itu benar.

Pernah juga aku menyapa Nadia tetapi Nadia hanya membalas dengan senyuman. Senyuman sedikit tetapi jelingan matanya merenung aku.

Agak seram aku dibuatnya. Selepas tu aku tidak berani lagi hendak tegur Nadia.

Walaupun Nadia tidak pernah kacau orang tetapi Nadia selalu menjadi mangsa usikan murid lain. Walaupun bukan deraan tetapi usikan itu tetap memalukan Nadia. Aku juga selalu menjadi tukang gelak setiap kali Nadia menjadi bahan usikan.

***

Terkadang aku sering tertanya-tanya, kenapa Nadia tidak pernah palingkan mukanya setiap kali dia ingin memandang.

Maksud aku jika Nadia ingin melihat ke kiri pasti seluruh tubuh Nadia akan memusing kiri. Jika Nadia ingin melihat ke kanan seluruh badannya akan berpusing ke kanan. Pelik bukan? Tetapi itu fakta.

***

Suatu hari, ketika sedang melepak dengan Laila.

“Dee, Nadia kata dia nak datang rumah kau malam ni,” kata Laila.

“Mengarutlah kau, dengan aku pun dia tak pernah bercakap ada hati nak datang rumah. Dia mana tau rumah aku kat mana,” balas aku. Laila hanya mendiamkan diri mendengar jawapan aku. Setelah berborak seketika, kami pun pulang ke rumah.

***

Pagi, 1.30 pagi.

Di dada langit berlatarkan suasana yang kelam. Bintang begitu kedekut menyumbang sinarannya. Gelap keadaan muka bumi. Aku terjaga dari tidur apabila terasa dahiku bagaikan disentuh. Langsir di tingkap tercabut. Terdampar kain langsir di lantai.

“Kuat betul angin sampai langsir ni tercabut?” Bisik hatiku. Aku bangun merapatkan diri ke tepi tingkap.

Aku merasa hairan, suasana di luar tenang sahaja, tidak ada tanda ribut atau hujan yang berbekas.

***

Pagi.

Dari pintu rumah aku melihat Laila menapak memasuki halaman rumah aku.

“Assalamualaikum Dee,” kata Laila di pintu rumah.

“Waalaikumussalam Laila, masuklah,” jawab aku yang duduk di meja makan. Laila merapat ke meja lalu dilabuhkan punggung duduk berhadapan dengan aku.

“Dee!! Nadia kata dia ada datang rumah kau. Dia tengok jam kau masa tu pukul 1.30. Dia cakap minta maaflah dia terlanggar kuat langsir bilik kau sampai tercabut. Hahaha,” ketawa kuat Laila.

“Tipulah kau Laila. Bila masa dia dating?” Balas aku geram kerana bagi aku Laila cuba menakutkan aku.

“Nah! Tengok ni, gambar bilik kau, kan?” Tanya Laila sambil menunjukkan lakaran gambar pada sehelai kertas. Aku merenung lakaran itu.

“Eik? Bilik aku ni,” kata hati aku. Aku renung puas-puas lakaran itu. Memang jelas keadaannya seperti di dalam bilik aku. Malah susun atur rak buku pun sama.

Laila bersuara lagi,

“Kau pakai baju kartun Garfield dan seluar coklat, kan Dee? Nadiah kata dia nak kacau kau lagi tapi ada Al -Quran sebelah katil kau. Hahaha, jadi dia cuma cuit dahi kau. Haha”

“Laila, macam mana kau boleh dapat lakaran ni? Suasananya betul sama macam bilik aku. Setahu aku tak pernah bawa masuk orang ke bilik aku,” Soal aku dengan perasaan hairan.

“Lakaran tu Nadia yang bagi. Dan Nadia yang cerita apa dia buat dalam bilik kau. Kan aku dah cakap Nadia ada kuasa magik, hahaha,” Laila ketawa kuat lagi. Aku terdiam apabila mendengar jawapan Laila. Rasa takut timbul dalam diri aku.

Laila sambung bercerita,

“Sebab tu dia tak pernah rasa sakit bila Cikgu Sharol pukul. Dia pun suka kacau cikgu ketika tidur. Nadia selalu buat Cikgu Sharol tidur berjalan setiap malam, hahaha,” ketawa Laila kekal.

Laila seperti tidak takut atau tidak tahu apa yang diceritakan. Segala yang berlaku dianggap Magik. Laila minta diri untuk pulang.

Aku menemani Laila hingga ke muka pintu. Alangkah terkejut aku di pintu pagar kelihatan Nadia sedang berdiri. Jelas aku lihat Nadia tersenyum kepada aku.

Siapa Nadia?

Dengan siapa dia tinggal?

Tidak seorang pun pernah melihat Nadia berkawan dengan sesiapa kecuali Laila.

Mengikut kata Laila, Nadia tinggal bersama seorang nenek di hujung kampung. Tidak pasti nenek itu nenek kandung Nadia atau tidak.

Sejak itu aku berhenti mengusik dan mentertawakan Nadia. Sejak itu juga aku berhenti rasa jengkel terhadap Nadia.

Aku masih ingat Laila pernah berkata,

“Ada masa nanti Nadia nak datang rumah kau lagi,” Perasaan takut tiba-tiba muncul dalam diri aku. Ada masa aku berasa teruja dengan kata Laila.

“Nadia mempunyai magik. Betul ke?” Sebegitulah pemikiran aku pada masa itu ketika berusia 12 tahun. Aku tidak tahu lagi apa erti “Saka” dan hantu. Tunggu cerita seram pendek Nadia lagi.

Tamat.

– Zambri Perasan

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *