Entah II

Hai semua. ZP kembali lagi. ZP brcerita, anda membaca. Mari ikuti sambungan Entah II. Bacaan Entah yang terdahulu boleh tekan link ini, (https://iiumc.com/entah-2/).

Teruja rasanya, saat yang ditunggu-tunggu telah tiba. Ceria seluruh kelas Darjah Enam di sekolah ini. Kem UPSR, tiga hari dua malam diadakan di sekolah.

Walaupun cuma tidur di atas susunan meja seronok betul kami semua. Cikgu sedang mengedarkan kertas jadual program.

Siang hari akan diadakan bengkel menjawab soalan dan malamnya lebih banyak program-program berbentuk kerohanian. Aku berebut tempat tidur dengan kawan-kawan.

“Weh aku nak tidur tengah, tak nak tidur tepi, takut,”

Masing-masing berlumba menanda tempat. Tiba-tiba anak mata aku beralih memandang Nadia.

Dia menarik sebuah meja rapat di hujung kelas, jauh dari kami. Laila kelihatan serba salah kerana Nadia mengajak dia tidur bersama.

Laila tahu jika dia tidur dengan Nadia, bermakna dia akan berjauhan dengan kawan-kawannya yang lain. Laila serba-salah. Laila tiada pilihan. Laila akur akhirnya.

Loceng sekolah dibunyikan.

Cikgu memberi arahan semua murid berkumpul di surau untuk mengerjakan solat Asar, iaitu bangunan sebelah tempat penginapan kami.

Selepas solat, murid-murid diberikan masa untuk beriadah.

Semua murid-murid keluar dari bangunan sekolah kecuali Nadia.

Aku dan kawan-kawan bermain bola jaring. Jeritan dan gelak kami memecah suasana di depan bangunan sekolah, tempat penginapan kami.

Pukul 6 petang, cikgu memberi arahan supaya kami berhenti bermain.

Kami semua masuk ke bangunan tempat kami tidur untuk membersihkan diri dan sebagainya.

Selesai segalanya aku dan kawan-kawan keluar dari bangunan, menuju ke bangunan sebelah yang dijadikan Surau itu.

Kami solat Maghrib di situ. Selesai Solat Maghrib.

Ustazah mengetuai Bacaan Yaasin dengan menggunakan mikrofon. Bacaan Ustazah dapat didengari di seluruh kawasan sekolah.

Tiba-tiba terdengar suara perempuan menjerit dan serta merta seluruh bangunan sekolah gelap gelita. Black out.

Laila menangis, sambil mengadu kepada seorang Ustazah.

“Ustazah, Nadia terbang. Dia kata dia tak suka bacaan tu,”

Ustazah keluar dari surau menuju ke bangunan tempat penginapan kami. Aku dan kawan-kawan hanya menunggu di ruang solat dengan resah gelisah.

Tiba-tiba Ustazah kembali berlari masuk ke ruang surau. Aku hairan.

“Kenapa cepat sangat Ustazah pergi?” Bisik hati aku.

Ustazah memeluk kami semua dalam kegelapan itu.

”Tak apa-apa. Baca Al-Fatihah dan zikir banyak-banyak ye,” itu kata Ustazah seperti merahsiakan sesuatu.

Aku tahu Ustazah menangis.

Selesai solat Isyak.

Kami masuk semula ke tempat penginapan. Dalam hati aku masih tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya. Tapi aku tidak tahu kepada siapa harus aku bertanya.

Ustazah turut berpesan.

“Jangan fikir apa-apa. Kalau nak pergi mana-mana mesti berdua. Ingat Allah paling berkuasa. Jangan lupa baca Al-Fatihah,” serius wajah Ustazah semasa berkata.

Kami saling berpandangan kerana hairan melihat kelakuan Usatazah.

Dari jauh aku melihat tempat Nadia. Nadia membungkus dirinya dalam selimut.

Aku lihat bergerak-gerak permukaan selimut seperti tuan punya diri sedang menggigil.

Nadia tidak pergi ke surau. Begitu juga Laila.

Kami beramai-ramai membaca al Fatihah dan berzikir sehinggalah kami tertidur.

Sejak malam itu kami tidak berjumpa Nadia. Itulah hari dan malam terakhir aku melihat Nadia.

Semasa peperiksaan UPSR berlangsung, tempat duduk Nadia kosong.

Nadia tidak menduduki peperiksaan itu.

Nadia seolah-olah tidak pernah wujud sejak dari itu.

Aku teringat kata Laila tempat hari itu.

“Nadia dapat jadi orang magik dari neneknya. Dia tak ada ibu atau ayah. Nadia boleh terbang dan masuk ke rumah siapa-siapa saja yang dia mahu,”

Seiring dengan waktu yang berlalu, aku semakin melupakan Nadia dan kisah-kisah peliknya.

Sehinggalah baru-baru ini kecoh di Terengganu dengan kisah penanggal. Adakah itu Nadia? Wallahualam.

Tamat..

– Zambri Perasan

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *