Erti Sebuah Kehilangan

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin kalau confession saya ini disiarkan. Ini kisah tentang seseorang yang pernah hadir dalam hidup saya. Saya gelarkannya sebagai R. Kami boleh dikatakan sangat rapat antara satu sama lain. Sering kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Dia juga selalu menjadi pendengar yang setia untuk cerita-cerita saya. Dia juga seringkali meluahkan masalahnya kepada saya.

Dia seorang yang sangat baik. Akan tetapi dia mempunyai jurang diantara adik beradiknya. Mungkin kerana sikap dia yang agak sedikit garang menjadikan adik beradiknya takut padanya. Mereka seringkali bergaduh antara satu sama lain. Tidak bertegur sapa sehingga bertahun lamanya. Saling bermusuhan dan saling menjauhkan diri. Sungguhpun begitu, dia seringkali ada untuk melindungi adik beradiknya. Dalam diam, dia tetap menyayangi mereka dan peduli tentang mereka. Cuma sikap dia yang garang membuatkan adik beradiknya takut padanya.

Suatu hari, kami keluar bersama-sama untuk menemani adik saya ke bandar. Sewaktu kami sedang berjalan-jalan disekitar bandar, dia menerima satu panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenalinya. Dia menjawab panggilan tersebut. Saya hanya memerhatikannya. Seketika kemudian, saya lihat raut wajahnya mula berubah. Bercampur baur semua perasaan. Marah, risau dan sedih semuanya tergambar dari raut wajahnya.

Selepas meletakkan panggilan tersebut, dia bagitahu saya bahawa adiknya lemas dan telah meninggal dunia. Barulah saya faham kenapa dia berkeadaan demikian. Semasa kami dalam perjalanan menuju ke kereta, langkahnya terhuyung-hayang. Dalam fikirannya cuma ada tentang adiknya. Sayu hati saya melihat keadannya. Dia menangis semahu-mahunya. Sepanjang tempoh perkenalan saya dengan dia, itulah kali pertama saya melihat dia menangis. Saya tidak mampu melakukan apa-apa selain membiarkan dia meluahkan semua perasaan sedih yang ada dalam hatinya.Setelah itu dia pergi ke hospital yang menempatkan jenazah adiknya.

Semenjak peristiwa itu, dia mulai berubah. Hubungannya bersama adik-beradiknya yang lain menjadi semakin rapat. Mereka boleh bergurau senda dan ketawa bersama-sama. Saling menghargai dan saling menyayangi antara satu sama lain. Saya sangat gembira melihat perubahan yang berlaku padanya. Sungguh perancangan Allah itu hebat. Kehilangan yang dia rasakan digantikan dengan suatu nikmat kebahagiaan bersama adik- beradiknya yang lain.

Jadi kepada mereka yang pernah merasakan sebuah kehilangan, jangan terus menerus meratapi kehilangan itu. Kita boleh menangis. Cuma jangan terlalu berlebihan. Mereka pergi menemui pencipta mereka. Pencipta kita semua. Ya. Memang kita sayangkan mereka. Tetapi Allah lebih menyayangi mereka. Sentiasalah mendoakan yang baik-baik untuk mereka kerana hanya itu yang mereka perlukan dari kita.

Kepada mereka yang belum pernah merasakan sebuah kehilangan, hargailah setiap saat dan setiap detik yang Allah berikan kepada kita untuk bersama dengan orang-orang yang kita sayang. Jangan sia-siakannya. Terluka macammana sekalipun, marah macam mana sekalipun, sentiasalah ucapkan perkataan yang baik-baik kepada mereka. Mungkin itu akan menjadi kata-kata terakhir yang mereka dengar dari kita. Jadi tinggalkan mereka dengan perkataan yang baik-baik agar kita tidak terus menyesal terhadap pemergiaan mereka nanti. Jangan tinggalkan mereka dengan airmata kerana kita.

– Syarifah

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *